Friday, February 13, 2009

Raja Oh Raja!

Sewaktu berkunjung ke Bangkok beberapa bulan lalu, ketika krisis "baju merah" sama "baju kuning" memuncak, seorang kawan tiba-tiba bertanya begini: Engkau suka raja?"

"Raja yang mana satu? Raja judi, raja lawak, atau raja sehari?"

"Raja betul."

"Ada raja tak betul?"

"Raja Rama Siam bukan keturunan Raja Ayuthaya."

"Aku tahu."

"Raja Rama keturunan Panglima, bekas Panglima Perang Raja Krung Thon, Phra Chau Taksin. Dia rampas kuasa dengan alasan untuk selamatkan bumi Siam kerana Phra Chau Taksin gila. Satu pembohongan. Phra Chau Taksin tak gila!"

"Sshhhh! Bahaya! Aku datang Bangkok makan angin. Aku tak mahu makan nasi merah dalam penjara!"

"Betul. Keturunan raja yang dikatakan berasal dari keturunan Dewa di Syurga telah berakhir pada Zaman Ayuthaya."

"Aku tak bantah. Tapi apa yang kita dapat dengan membangkitkan perkara ini?"

"Rakyat ditipu, kononnya raja keturunan syurga, suci dan kudus yang wajib disembah. Itu mitos ciptaan manusia yang sekian lama membodohkan bangsa Thai. Institusi agama turut diperalatkan untuk propaganda tersebut. Buruk akibatnya apabila institusi subahat dalam propaganda membodohkan rakyat!"

"Raja Rama banyak berjasa kepada negara dan Rakyat Thailand. Baginda aktif. Tak seperti sesetengah raja yang hanya tahu ambil elaun tapi masalah rakyat langsung tak dipedulikan."

"Kerana mementingkan diri keterlaluan ramai raja di dunia tumbang satu persatu. Raja Farouk, raja Mesir yang diturunkan takhta berkata: Akhirnya dunia ini hanya tinggal 5 orang raja. Empat raja dalam daun terup dan satu raja England."

"Begitulah lebih kurang."

"Aku yakin hanya 4 raja dalam daun terup yang tinggal. Amerika tak suka negara ada raja. Bagi mereka rakyat yang hidup dalam negara beraja adalah manusia yang fikirannya dikongkong!"

"Tentulah kerana Amerika ada Presiden!"

"Aku bukan tak suka raja, tapi aku benci pihak istana!"

"Pihak istana?"

"Aku tak suka pihak istana yang selalu campur tangan dalam politik. Kata sistem demokrasi, tapi hak rakyat dinafikan kerana nak memenuhi kehendak pihak istana. Itulah apa yang berlaku di Thailand sekarang. Kamu tahu, hanya rakyat biasa yang miskin yang betul-betul hormat raja, sedangkan orang kaya, orang besar cuma hormat luaran sahaja. Kalau orang besar hormat raja, tak akan berlaku rampasan kuasa kerana setiap kerajaan dilantik oleh raja. Malah raja sendiri pernah "dirampas" dan dilarikan ke kapal perang!"

Akhirnya dia mengaku bahawa politik Thailand masih kuat dipengaruhi oleh pihak istana dan tentera. Keadaan bertambah teruk apabila orang kuat istana ialah bekas Jeneral. Apabila istana dan tentera bersatu, maka rakyat tak terjelir lidah!

No comments: