Sunday, May 17, 2009

ฺBila Durian Nak Jatuh?

Masa kanak-kanak dulu, rasanya masih di sekolah rendah, aku, adik perempuan aku dan sepupu kami suka sangat pergi tunggu durian di kebun nenek kami. Pantang nampak langit gelap, kami berlari ke kebun durian yang jauhnya dua ratus meter. Sebelah kebun durian, ada kebun manggis. Kami tak minat manggis. Durian juga yang kami minat. Bukan nak makan, tapi nak kutip dan simpan bagi nenek bawa pergi jual di Pasar Kota Bharu. Nenek seorang peraih di Kota Bharu. Bakat nenek kini diwarisi adik aku, tauke sayur berjaya.

Kami tunggu durian di dalam bangsal kecil. Bila durian jatuh, kami berebut mengutipnya. Aku selalu dapat kerana maklumlah sepupu aku walaupun sebaya, tapi kakinya lebih pendek dan adik perempuan aku 4 tahun lebih muda. Larian aku lebih pantas. Bila aku malas, barulah dia orang ada peluang kutip durian. Kenapa nak berebut kutip durian? Kerana nenek bayar sebiji 20 sen sebagai upah. Kami bukan berebut durian tapi berebut upah.

Bila durian tak jatuh kami kecewa. Kami tunggu juga sampai angin datang. Bila tak jatuh juga kami pulang dengan muka moyok. Durian bukan dengar cakap kita. Kita suruh dia gugur, tapi dia tak gugur. Kita rayu dia jatuh, tapi dia tak jatuh. Hujan lebat dan angin ribut pun kalau jenis tangkainya keras, ia tak jatuh. Kami kecewa campur marah. Apalah durian ni tak jatuh-jatuh.

Orang Siam sekarang umpama menanti durian jatuh, tapi durian tak jatuh-jatuh. Calon senator telah dihantar kepada PM, tetapi PM dulu. PM sekarang tak pernah lihat senarai tu. Orang Siam pun PM tak berapa kenal. Setakat kenal muka, itupun jenis muka tebal lagi berkerutu, susah bagi PM buat keputusan. Jawatan senator kena pikul tanggunjawab yang berat. Setakat nak menyibukkan Parlimen buat apa. Nak hantar senarai baru kepada PM, ada juga rasa malu. PM tak pernah tanya khabar soal senator Siam. Siapa berani menambahkan tebal muka yang sedia tebal hantar nama ke pejabat PM. Akibatnya isu senator yang pernah bising dan dibisingkan dulu sunyi sepi.

Inilah karma namanya. Bila orang beri jawatan senator, kita tak pandai nak manfaatkan jawatan tu dengan baik. Kita gunakan jawatan tu untuk pecah-belahkan orang Siam. Kita kotak-katikkan orang Siam ikut fahaman politik, anutan agama (berlainan wat), semangat kenegerian, daerah, dan kampung. Orang Umno, orang Pas, PKR, Gerakan dan lain-lain kita lakukan diskriminasi sesuka hati. Kita reti junjung Umno saja, parti lain kita pijak. Kita memandai-mandai bunuh demokrasi dan kebebasan di kalangan masyarakat Siam. Kita nak semua orang Siam fikir serupa kita. Mustahil. Orang alim kucing dalam wat kita kepit ketiak, kita heret ke sana ke mari, siang dan malam (nasib baik tak kepit di celah kangkang).

Akibatnya orang Kelantan jauh hati, orang Kedah jauh jiwa, orang Perak jauh mata, orang Terengganu jauh telinga. Hanya orang Perlis yang dekat di hati, orang Jejawi dekat di jiwa, orang alim dalam wat dekat di mata (bukan dekat di dada), dan orang gurkha-gurkha Siam dekat di telinga. Jawatan senator diberi untuk salurkan masalah orang Siam ke Parlimen bukan untuk pecah-belahkan orang Siam.

Orang Siam mesti bersatu barulah jawatan senator dipulangkan. Itu syarat utama. Bersatu buat apa? Bersatu sokong Umno dan BN. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ramai orang Siam pangkah Pakatan Rakyat. Ini bukti bahawa senator tak ada wibawa pengaruhi orang Siam. Senator mesti pastikan undi Siam pangkah calon BN. Pangkah calon lain tak boleh. Walaupun seekor syaitan diletakkan sebagai calon, orang Siam wajib pangkah kalau nak jawatan senator. Dalam situasi sekarang di mana orang Siam semakin bijak, mustahil ada pemimpin Siam yang mampu kontrol semua undi Siam agar tak jatuh ke tangan PR.

Kesalahannya bukan di bahu senator seorang. Para pengampu di sekeliling pinggangnya juga bersalah. Demo ini hanya tahu jaga halaman rumah sendiri sahaja. Halaman rumah orang lain tak peduli. Asal ada jalan tar ke rumah dia, jalan lumpur ke rumah orang lain peduli apa. Asal ada masuk perut sendiri, perut orang lain bermain keroncong bukan hal penting. Inilah jadahnya. Makan seorang, cuci mangkuk beramai-ramai.

Orang Siam yang menggelar diri juga ada saham dalam hal ini. Sikap sombong bodoh yang menebal dalam jiwa pemimpin Siam yang "masuk bakul angkat sendiri" ni jika tak dihapuskan, masa depan Siam tetap akan tergadai. Sikap sombong bodoh punca orang Siam tak boleh bersatu padu. Tak ada senator, minta senator. Bila kerajaan beri senator, pakat-pakat kutuk senator. Senator bukan dewa atau superman yang mampu laksanakan semua kehendak kita. Masuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah wat, kolej, maktab, universiti; ada sijil, ada ijazah, ada PhD tapi sikap sombong bodoh tak dapat dihakis. Sombong bodoh tak sama dengan bodoh sombong. Bila nak sombong, pilihlah sombong cerdik.

Siam sedang menunggu durian jatuh. Bila agaknya durian akan jatuh? Jangan sampai penunggu durian diusung ke kubur barulah durian nak jatuh. Siapa yang ada mata tolong jenguk ke atas pokok kejap, masih adakah durian?

2 comments:

Anonymous said...

Kalau kita bersatu bawah PSM maka bersatu utk dicucuk hidung la. Depa dapat makan kenyang2. Kita yang kena usung tak tentu boleh minum air kosong ke tak?

Anonymous said...

Janagn takut utk bersatu, masalah siam dicucuk hidung dlm PSM bukan kerana apa, kerana SIam sendiri tidak bersatu hati. Dah tak suka terus lari, padah awalnya bukan tak suka pada PSM. Cuma tak suka apabila idea ditolak dan terasa disisih.

Dalam komuniti hari ini, Saya fikir kita kena berani dicucuk lagi. Kali ini kita bersatu utk dicucuk. Pastu sama2 buat evolusi baru utk semua Siam. Manusia dipilih utk naik jadi pemimpin kerana undi, kalau kita tak layak mengundi...masakan kita boleh memilih pemimpin yang betul2 kita rasa sesuai utk semua.

Sampai bila2 pun akan terus ada org yang dicucuk hidung kalau yang mampu buat perubahan terus menyepikan diri.

Fikir-fikirkanlah

Wdd