Friday, September 18, 2009

Senator: Ada Orang Masuk Pintu Belakang?

Mimpi belum tentu benar. Sebulan lalu aku mimpi didatangi Tok Selampit membawa perkhabaran duka nestapa. Aku berkira-kira (sebulan lamanya) sama ada wajar aku cerita mimpi itu kepada pembaca blog KSB. Kira punya kira aku buat keputusan perturunkan perkhabaran itu di sini agar dapat direnungi oleh para sahabat semua.

Dalam politik ada persatuan, kata Tok Selampit. Dalam persatuan ada politik. Orang Siam yang jujur tubuhkan persatuan nak bantu masyarakat Siam yang ketinggalan dan mundur agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dan berlari sama pantas dengan kaum lain.

Ini perkembangan yang baik. Ini buktinya bahawa masih ada orang Siam yang jujur nak bantu kaumnya. Tapi, al-jadah dalam kejujuran orang membangun persatuan, tiba-tiba muncul manusia spesis musang berbulu ayam. Depan cakap lain, belakang main lain. Sama kawan rela diperdaya, dibohong, dikelentong dan diperalat agar kehendak hatinya tercapai. Dengan mudah dia dapat duduk di singgahsana persatuan dek kawan yang lurus termakan retoriknya yang manis lagi memukau.

Manusia spesis musang berbulu ayam sedar berjuang seorang diri mustahil cita-cita sucinya tercapai. Dia menyelit masuk ke dalam persatuan. Al- haram punya anak. Orang tubuh persatuan bagi membantu orang Siam. Dia masuk persatuan bagi membantu diri sendiri.

Al-kisah kerana nafsu berahinya kepada jawatan senator yang kosong, dia pun merayap dari kampung ke kampung, dari wat ke wat.

Dia masuk kampung bukan nak cari ayam, tapi nak kutip tandatangan dan cop rasmi JKKKP atau Ketua Tok Sami. Katanya, nak hantar memorandum kepada PM, Najib Razak tentang masalah orang Siam. Hantar memorandum apa. Dia nak tipu PM yang JKKKP dan Tok Sami sokong dia jadi senator.

Mak ooi, ini kira nak masuk ikut pintu belakang! Mudahnya nak peralatkan JKKKP dan Ketua Tok sami untuk realisasikan nafsu diri? Sudahlah kawan telah diperalatakan, sekarang Pengerusi JKKKP dan Ketua Sami pula nak dijadikan alatnya?

Nasib baik ada Pengerusi JKKKP yang hidung tajam, dapat mencium kehadiran musang berbulu ayam. Pelik bin ajaib. Kenapa dia sorang yang datang? Setiausaha persatuan kenapa tak datang sekali? Sembang punya sembang, soal punya soal, telefon punya telefon, barulah pecah rahsia.

Setiausaha persatuan tak tahu apa-apa langsung. Persatuan sedang dipergunakan untuk kepentingan diri. Nasib baik Setiusaha persatuan bukan jenis tidur, kalau tidak habis dijadikan alat oleh musang berbulu ayam yang pentingkan diri. Nak pentingkan diri pun kena tengok keadaan juga. Jangan sampai membelakangkan Jawatankuasa persatuan sendiri, tak wajar. Tersangat tak wajar.

Penyakit pemimpin Siam yang sanggup berbalah sesama sendiri, menipu sesama sendiri dan memperalat sesama sendiri kerana jawatan tak pernah habis-habis. Kena sumpah ke kaum kita? Jangan-jangan sumpah ke atas Mahsuri terkena keturunan kita sekali?

Inilah dia. Nak jadi Pengerusi persatuan ke, Senator ke, jangan sampai menggadaikan maruah diri. Kepentingan kaum mesti diutamakan. Penipuan, selicik mana pun akan terbongkar jua. Peliharalah perpaduan kaum. Kehidupan kita secara individu tak lama, tapi kelangsungan kaum kita mesti dipelihara kerana usianya tiada penghujung (kecuali kiamat).

Nota: mimpi ini tak ada kaitan dengan orang yang masih hidup atau yang sudah mati atau yang akan mati. Hanya mimpi semata-mata.

13 comments:

Anonymous said...

Persatuan mana ni, PSK ke?

Anonymous said...

Kah, kah, kah! Walaupun agak lewat sikit, tapi masih relevan mimpi pena reformasi ni. Aku sendiri ada diberitahu tentang pemimpin pentingkan diri dari bumi Kedah ini.

suk said...

SIAM semoga kamu semua mengharumkan maruah bangsa sendiri,angkat bangsa siam sendiri.
S=Semangat
I=llmu
A=Adil
M=Maruah

IMCurtain said...

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Bercuti dari IMCurtain.

p/s: We would like to invite all bloggers to join our blogging community which can helps you getting more visitors to your blogs. It's totally free! Social Blogger Community

Anonymous said...

Aku pun rasa PSK. Nampaknya la ni setiausahanya keseorangan. Program bagi duit kat sami di wat Praimai juga diboikot oleh puak sendiri. Kesian juga setiausaha tu je. Aku percaya dia tak akan mudah putus asa.

pena reformasi said...

Benda salah (micca ditthi) bila sudah lama diamalkan, ia diterima sebagai betul. Bila ada orang nak ubah supaya "micca ditthi" itu jadi "samma ditthi", orang tersebut akan ditubuh bermacam-macam. Buddha dulu pun bukan mudah nak ubah pemikiran dan perlakuan orang India daripada budaya Brahmana. Berkat ketekunan dan kesabaran, Buddha bejaya juga akhirnya.

Sesiapa saja yang cuba ubah tradisi masyarakat walaupun tradisi itu salah, ia akan ditentang oleh masyarakat, terutamanya golongan tua.

suk said...

Bagus tu kalau kita betoi-betoi ikut buddha kata.Jadikan buddha sebagai teladan,guru agung kita.Tetapi jangan pakai nama buddha sahaja.Buktikan boleh buat sekurang-kurang sedikit seperti buddha kata. yahooo!

Anonymous said...

Memang tak patut main kot pintu belakang. Dia prg PSK jugak ke.

Kesian jugak noh bila tengok SU sorang ni dikejan karma sendiri. Dengar kabar dia sekeluarga dah masuk menginap di pejabat pekemas ye ka? Siap nak buat loan atas nama tanah tu lagi. Sapa2 tau tolong cerita sikit boleh? Ke cerita autar je.

Anonymous said...

Memang SU tu teruk betul. Buat pejabat macam rumah sendiri. Rasa2 hangpa, duit buat pejabat tu datang dari mana. Mungkin dia minta dia wat atau minta duit org kampung. Mari kita lapor kat SPRM baiq padan muka dia.

JST said...

Khun Anon 9:58,

Memang saya telah membawa keluarga tinggal di Pusat Kebudayaan Siam di Kg. Padang Peliang buat sementara waktu. Rumah saya ada di Kg. Thai Pegang, Baling dan di Penang (disewa).

Oleh kerana saya ditranfer ke Alor Setar, saya telah berpindah ke Padang Pusing (rumah mak) selama setahun. Manakala keluarga saya tinggal di Baling kerana isteri saya tak selesa tinggal dgn mertua. Katanya buat apa pun segan, tak macam rumah sendiri.

Kerana kesian kat anak2 maka saya bincang dgn kawan2 utk membawa keluarga tinggal di Padang Peliang. Boleh juga saya jaga Pusat Kebudayaan tersebut. Ramai juga pelajar IPT tempatan dan Thailand datang buat kajian tentang kebudayaan masyarakat Siam Malaysia di pusat tersebut.

Apabila suatu hari nanti saya ditukarkan ke tempat lain pula, saya akan serahkan kepada jawatankuasa pekemas utk menguruskan pusat tersebut. Bila saya pencen pun saya akan balik tinggal di Baling sebab saya ada rumah, dusun dan kebun getah di sana.

Tentang loan, memang saya buat personal loan sebanyak RM60,000 daripada Bank Rakyat Caw. Baling dengan potongan gaji sebanyak RM780 sebulan selama 10 tahun. Kakitangan kerajaan memang mudah buat loan tanpa apa-apa cagaran. Semua bukti saya ada. Duit tersebut saya gunakan untuk membina pusat tersebut.

Orang lain derma kepada wat tapi saya derma kepada masyarakat. Orang kata saya bodoh, biar pi lah mereka kata. Asalkan saya bahagia dengan tindakan saya dan keluarga memahami saya. Masing-masing orang mempunyai citarasa dan minat yang berbeza. Biarlah masyarakat menghina saya sekarang asalkan saya dapat tinggalkan kenangan utk masyarakat selepas saya mati kelak.

Saya rasa penjelasan saya ini sudah cukup kepada anda yg ingin tahu. Sawaddee

Thai SIAM said...

saudara JST, kalau apa yang khun lakukan tu betul n untuk kebaikan komuniti Siam, teruskan saja, tak usahlah denqar suara-suara sumbang yang mencaci cela.

suk said...

kepada JSt....jika niat tuan itu ikhlas memang baik dan patut dipuji.Berkorban untuk masyarakat.Jika tuan dikritik usah takut dan gentar itu dah biasa laa.Kita pun biasa komen orang ,orang akan komen kita juga.Mengapa tidak.Kamma.
Ramai yang berkorban untuk masyarakat tetapi tidak siapa tahu.Ramai rela seumur hidup berkorban.Balasan tidak penting,yang penting dapat membuat sesuatu sebelum hayat ini ke penghujung.Tetapi,baik dan jahat kita sendiri yang tahu,tidak perlu heboh...kamma. sadhu3xnor

JST said...

Terima kasih khun Suk, saya tak pernah takut atau gentar dgn kritikan. Walaupun saya mendapat tentangan hebat daripada puak yg memesong agama. Saya tetap dgn pendirian saya. Saya akan cuba jawab isu yg mereka bangkitkan.