Friday, November 20, 2009

Jangan Menunda Kebaikan

Semua orang pernah buat salah, sengaja atau tidak sengaja; besar mahupun kecil. Oleh itu, kesalahan atau kesilapan lampau bukan perkara yang penting yang harus difokuskan.

Buddha sendiri sebelum menjadi Buddha iaitu sewaktu bergelar Putera Siddhartha hidup penuh dengan keseronokan. Beliau (Siddhartha) mempunyai 3 buah istana iaitu istana musim sejuk, istana musim panas dan istana musim hujan. Beliau berana dalam istana musim sejuk sepanjang 4 bulan menikmati hiburan muzik dan tarian oleh ribuan dayang-dayang. Namun, selepas sedar akan kehidupan yang sia-sia itu, beliau meninggalakan segala keseronokan duniawi lalu keluar mencari "kebaikan sejati" (kusala-dhamma) sebagai Samana sehingga berjaya mendapat Pencerahan Sempurna (Trassaru).

Ong Kulimarn pernah membunuh ribuan nyawa kerana terpengaruh dengan ajaran sesat, tetapi akhirnya mencapai Arahant setelah berjumpa dengan Baginda Buddha.

Luang Phor Kron Wat Bangsek, Kelantan merupakan seorang budak yang nakal masa mudanya. Kenakalannya "menggerunkan" (kron) penduduk kampung. Setelah jadi Phra, beliau meninggalkan tabiat lama, menuntut ilmu di merata tempat dan akhirnya berjaya menjadi Ariya Sangha yang dihormati masyarakat Siam.

Jadi, bukan kenakalan, kejahatan atau kesilapan masa lalu yang menentukan kehidupan seseorang, tetapi kesanggupan meninggalkan kejahatan tersebut.

Perkara yang penting ialah kita sedar dan insaf. Selepas insaf, berhenti daripada kejahatan tersebut dan memulakan membuat kebaikan. Di samping itu, berusahalah memelihara kebersihan hati agar tidak menjerumus semula ke kancah kejahatan seperti dahulu.

Inilah ajaran Buddha yang merupakan inti segala ajaran - tinggalkan kejahatan, buat kebaikan dan bersihkan hati.

Cakap mudah, tapi buat susah. Begitulah rungutan kebanyakan daripada kita, termasuk saya. Saya pernah merungut kenapa susah sangat hendak meninggalkan kejahatan dan membuat kebaikan. Jawapannya kerana kita sudah biasa dengan kejahatan sehingga kita tak nampak bahawa itu adalah kejahatan. Kalau nampak pun mungkin kita berasa itu perkara remeh dan tidak perlu difokuskan sangat.

Buat jahat memang ada daya tarikan tersendiri. Buat jahat ada keseronokannya. Tapi kita harus beringat bahawa kejahatan juga ada racunnya. Kehidupan kita akan musnah kerana racun tersebut. Kerana bimbang kehidupan kita musnah, Buddha mengembara mencari jalan bagi umat manusia keluar daripada kejahatan. Namun, Baginda hanya menunjukkan jalan, kita sendiri yang memutuskan sama ada mahu keluar atau kekal dalam kejahatan. Umpama sekumpulan lembu di dalam kandang. Buddha telah membuka pintu kandang. sekiranya kumpulan lembu itu tak mahu kelaur, Baginda tidak boleh buat apa. Manusia pun sama. Buddha cuma mengharap kita dapat meninggalkan kejahatan dan membuat kebaikan kerana Baginda tahu bahawa racun akibat kejahtan itu tersangat bisa.

Hendak lahir jadi manusia bukan senang. Buddha mengumpamakan kelahiran jadi manusia seperti seekor penyu buta dalam lautan luas yang akan memasukkan kepalanya ke dalam lingkaran rotan yang terapung di permukaan laut. Lautan begitu luas, lingkaran rotan cuma satu, penyu itu pula buta - adalah tidak mudah bagi penyu itu timbul tepat pada lingkaran rotan dan memasukkan kepalanya.

Begitulah sukarnya hendak lahir jadi manusia. Oleh itu, tak usah membuang masa atau mensia-siakan kelahiran kita. Berbuat baik dari sekarang kerana kematian kita mungkin esok lusa, mungkin juga malam ini. Kerana ini jugalah Buddha mengajar kita selalu mengingati kematian (morana sati) agar kita tak lalai akan kebaikan.

Saya menulis ini sekadar memperingatkan kita semua, termasuk saya yang suka "menunda" kebaikan. Mustahil bagi kita meninggalkan kesemua kejahatan kerana kita belum Arahant, tapi amat bagus bila kita dapat mengurangkannya dari tahun ke tahun di samping itu kita juga mesti menambahkan kebaikan agar karma hitam dapat berkurangan.
Selain itu, kita mesti berusaha "menyucikan" hati agar kita tidak dipengaruhi untuk kembali semula kepada kejahatan. Cara paling mudah "menyucikan" hati ialah selalu berkawan dengan orang baik. Kalau ada waktu pergi Samadhi-Vipassana lagi bagus. Buat Samadhi di rumah pun boleh jika kita ada pengalaman dalam perkara ini.

Meninggalkan kejahatan walaupun sedikit demi sedikit lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa langsung, dan lebih mulia daripada mereka yang mempertahankan kejahatan.




2 comments:

Anonymous said...

Semoga kita semua dapat melawan dengan kejahatan dalam diri kita.Walaupun dia selalu mengajak kita melakukan kejahatan tetapi kita mesti menepis sedikit demi sedikit dari jiwa kita.
sikamma

pena reformasi said...

Kejahatan dalam diri merupakan musuh utama manusia. Siapa dapat menewaskan musuh ini dialah wirawan terulung.