Sunday, November 8, 2009

Setan Sentiasa Mengintai Kita

Buat baik dapat baik. Buat jahat dapat jahat. Saya tak tahu sejak bila ungkapan ini masuk ke dalam otak saya. Tetapi itulah yang selalu dengar orang tua-tua pesan kepada anak cucu mereka. Maksudnya buat baik, sama ada orang lihat atau tidak, balasan baiknya tetap ada. Buat jahat pun serupa.

Buat baik walaupun sebesar gajah bukan mudah dinampak orang. Buat jahat, sebesar tahi hidung orang mudah nampak, dan sekejap sahaja heboh satu kampung. Ini lumrah manusia. Kehidupan duniawi memang begitu.

Buat baik juga banyak cabarannya. Setan seperti cemburu tengok manusia buat baik. Ada-ada sahaja halangannya. Setan ini berkuasa sekali. Dia boleh menyamar menjadi pelbagai bentuk untuk menghalang manusia buat kebaikan. Dia boleh menyamar menjadi Maharaja, Menteri, Tok Sami, Pak Lebai, Ketua Kampung, Pengerusi Persatuan, pegawai kerajaan, orang biasa, lelaki, wanita dan apa-apa sahaja. Setan juga boleh menyamar menjadi duit bagi menghalang usaha manusia buat baik.

Untuk mencapai Pencerahan Sempurna (Trassaru) Buddha terpaksa berdepan dengan setan (Mara). Selepas Buddha mendapat Pencerahan Sempurna, Setan ini datang lagi. Kali ini dia menyamar jadi lelaki muda datang menghadap Buddha. Dia mohon Buddha meninggal dunia (wafat) kerana takut Buddha mengajar manusia buat baik. Bila Buddha mengajar manusia jadi baik, dengan sendiri pengikut setan akan berkurangan. Itulah yang dibimbangi oleh setan yang sarat dengan dosa-dosa itu. Bukan sekali setan itu menghadap Buddha, tapi tiga kali. Betapa TAKUT setan (Mara) kepada orang yang hendak menyebarkan kebaikan.

Sekarang ini setan masih wujud dan menyelinap di tempat-tempat suci agar manusia melihatnya sebagai "individu suci" yang patut dihormati, padahal dia setan. Oleh sebab itulah, setiap kali ada orang, kumpulan orang, persatuan dan lain-lain mahu buat baik, setan cepat-cepat membantah dengan pelbagai cara. Dia akan menyamar dalam pelbagai bentuk agar orang mempercayainya. Tapi orang yang ada pegangan Dhamma dapat membezakan yang mana manusia yang mana setan.

Kepada kaum Buddhis, jangan takut buat baik kerana balasan baiknya tetap ada. Walaupun halangannya banyak, tapi semua itu perbuatan setan. Peduli apa dengan setan-setan kerana pekerjaannya memang menghalang manusia membuat kebaikan.

"Setan tak tahu buat baik. Dia hanya tahu buat jahat. Sebab itu dia cemburu tengok orang buat baik. Dia mahu semua manusia buat jahat seperti dia agar neraka tak sunyi!"

1 comment:

Anonymous said...

Saya tidak bersetuju dengan konsep Mara dan Neraka.
Saya rasa kita tidak patut menggunakan istilah-istilah seperti ini untuk mendekati ajaran Buddha.
konsep syaitan menyesatkan manusia dan neraka tidak mendapat tempat di kalangan generasi muda.

saya rasa konsep kesedaran, keinsafan, karma, kebijaksaan (pannya) itu lebih utama.
Ajaran buddha patut didirikan atas konsep-konsep ini supaya setiap orang memahami segala sesuatu itu akibat perbuatan sendiri.

Mara yang ada dalam diri kita itu adalah kejahilan (kerana belum sedar), tamak dan nafsu.

Jika kita menyalahkan Mara (syaitan), maka kita tidak akan berusaha memperbaiki diri.

SK TIN