Wednesday, December 30, 2009

Kenapa Kita Dilahirkan Cerdik?

Setiap manusia dilahirkan dengan tahap kecerdikan yang berbeza. Ada yang sangat cerdik, sederhana cerdik, kurang cerdik dan ada yang bodoh. Apakah pandangan agama Buddha tentang perkara ini?

Baginda Buddha menjelaskan bahawa semua orang dilahirkan mengikut karma masing-masing kerana setiap orang mempunyai karma sendiri yang tidak boleh dikongsikan dengan sesiapa. Siapa pernah berbuat karma apa - baik atau jahat - hasil karma itulah yang menentukan benih dan bakanya.

Agama Buddha menyatakan bahawa mereka yang dilahirkan cerdik ialah mereka yang selalu pergi menghadap Samana atau Brahmana (termasuk Bhikkhu atau para bijak pandai) untuk bertanya tentang perkara yang baik (kusala/kuson) dan perkara yang tidak baik (akusala-akuson); perkara yang patut dilakukan dan tidak patut dilakukan; perkara yang apabila dilakukan akan membawa faedah atau tidak membawa faedah; perkara yang apabila dilakukan akan membawa kesengsaraan atau kebahagiaan; dan sebagainya. Mereka ini kaya dengan ilmu kehidupan.

Mereka ini apabila mati akan ke syurga. Jikalau tidak ke syurga, akan lahir semula ke dunia sebagai manusia yang cerdik.

Manakala mereka yang dilahirkan kurang cerdik atau bodoh ialah mereka yang tidak pernah (jarang) pergi menghadap Samana atau Brahmana dan bertanya tentang perkara baik dan tidak baik; tidak pernah bertanya tentang perkara yang patut dilakukan dan tidak patut dilakukan; perkara yang apabila dilakukan akan membawa faedah atau tidak membawa faedah; dan sebagainya. Mereka ini miskin dengan ilmu kehidupan.

Mereka ini apabila mati akan ke neraka. Jikalau tidak ke neraka, akan lahir semula ke dunia sebagai orang yang kurang cerdik atau bodoh.

Kalau kita perhatikan kita dapati kecerdikan seseorang ada kaitan dengan ilmu pengetahuannya. Ilmu pengetahuan itu pula ialah ilmu yang berkaitan dengan kehidupan yang baik atau kehidupan yang tidak baik. Cerdik dan kaya ilmu boleh dikatakan sinonim. Dalam kehidupan harian kita, orang yang miskin ilmu selalunya tidak dianggap sebagai orang cerdik. Orang cerdik mesti kaya ilmu. Orang kaya ilmu barulah dipanggil cerdik pandai. Jadi, dalam agama Buddha CERDIK ATAU BODOH SESEORANG ADA KAITAN DENGAN ILMU YANG DIMILIKI.

(Nota: Dalam Sutta asal digunakan istilah Chalieu-chalat lalu saya padankan dengan cerdik. Saya tidak menggunakan istilah bijak kerana bijak (wisdom) lebih sesuai dengan Panya.)

Neraka (dunia) = kehidupan yang menderita.

Syurga (dunia) = kehidupan yang bahagia.

Orang kaya ilmu lazimnya hidup senang. Manakala orang yang miskin ilmu biasanya hidup susah.

Secara tersiratnya, Sutta ini memberi pengajaran kepada kita bahawa sekiranya kita mahu menjadi orang cerdik, hidup senang (syurga dunia) kita mesti kaya ilmu pengetahuan. Kita jangan malas mencari ilmu pengetahuan.

Oleh sebab kecerdikan ada kaitan dengan ilmu, jadi tahap kecerdikan boleh diubah. Orang kurang cerdik, apabila dia menambahkan ilmu dia akan jadi orang cerdik. Orang yang berasa dirinya kurang cerdik atau dilahirkan kurang cerdik, cepat-cepatlah meneroka ilmu kehidupan agar boleh menjadi cerdik pandai. Jangan menjadikan karma kelahiran sebagai alasan untuk terus tidak cerdik.

Fikir-fikirkanlah!

(Sumber Rujukan: Tipitaka Jilid 14 - Chulla Kamma Vipangkha Sutta)

2 comments:

fan ksb said...

kalo byk ilmu tapi tdk pandai bawa diri mcm mana pula Tuan Pena?..
peri bahasa Siam sebuat "kwam roo thuam hua au tua mai rod""...hahhaa

pena reformasi said...

Banyak ilmu tak tahu bawa diri masalah juga. Mungkin ilmunya tak cukup masak.