Wednesday, December 16, 2009

Masuk Sami, Jangan Masuk Neraka!

Saya tak tahu apa hendak diperkatakan dengan sami Siam kita. Saya juga kesian melihat mereka terapung-apung umpama lotus di tengah tasik di mana langit tidak tergapai, bumi tidak terpijak. Jadi sami sekadar memenuhi tradisi. Niat mahu masuk sami sehari dua, atau sebulan dua, tetapi kerana "parami" yang terkumpul sejak berzaman menyebabkan hati terbuka ingin menjadi sami lebih lama. Walhasilnya terdapat sami-sami yang telah jadi sami melepasi masa yang terniat di hati sebagaimana masa masuk sami dahulu. Anomodana sadhu.

Tetapi dalam ramai-ramai yang "terbuka hati" itu, tidak ramai yang mempunyai "parami" yang mencukupi. Hanya sekelumitn yang cukup "parami" dan mampu mengamalkan Dhamma-Vinai menuju Nirvana tanpa menoleh ke belakang. Mereka inilah bergelar Sangha. Walaupun di kiri kanan perjalanan "Phaya Marn" (Raja Setan) dan anak gadisnya, Puteri Tanha dan Puteri Raga sedang menunggu dengan seribu godaan, tetapi tidak mampu mengubah hala tuju sami mulia ini.

Manakala sebahagian besarnya tidak mampu ke mana-mana kerana tak cukup "parami" lalu SESAT di pangkal jalan. Bagaimana hendak tiba di hujung jalan kerana di pangkal jalan pun sudah tersesat.

"Jalan ke arah kiri!" titah Baginda Buddha, tetapi mereka menghala ke arah kanan.

"Jalan ke arah kanan!" titah Baginda Buddha, tetapi mereka menuju ke arah kiri.

Bagaimana tidak sesat kerana arahan Baginda Buddha tidak dipedulikan. "Hiduplah seperti orang miskin!" pesan Buddha, tetapi mereka hidup seperti orang kaya.

"Belajar dan amalkan Dhamma-Vinai dengan tekun, kemudian ajar kepada orang-orang lain agar mereka juga dapat lepas dari Dukkha (sengsara). Jangan lalai!" pesan Baginda Buddha dengan menekankan frasa JANGAN LALAI kerana "lalai" musuh utama pengamal Dhamma-vinai. Pesanan terakhir sebelum Parinibbana adalah Baginda Buddha mengingatkan pengikutnya agar TIDAK LALAI. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Ramai sami lalai dalam pengamalan Dhamma-vinai. Akibatnya mereka sesat dan terjerumus di dalam keseronokan, kegembiraan dan kekayaan duniawi.

Keadaan bertambah parah apabila ramai antara mereka tak tahu kenapa mereka jadi sami selain memenuhi tuntutan tradisi. Orang jadi sami, mereka juga jadi sami. Orang tahu matlamat jadi sami, tetapi mereka langsung tak tahu. Bila ditanya, jawabnya: "Nak balas jasa ibu bapa. Bila ibu bapa masuk neraka, nampak hujung kain kuning anak yang jadi sami berkibar-kibar, boleh pegang hujung kain tersebut untuk naik dari neraka!"

Senangnya untuk naik dari neraka. Ingat neraka itu seperti perigi buta di belakang rumah?

Penganut agama Buddha tak boleh buat sesuatu yang kita tak tahu sebab musababnya. Sebelum jadi sami, mesti tahu siapakah yang dikatakan sami dan apakah matlamat atau tujuan jadi sami. Kain kuning tak mampu mengubah seseorang jadi orang baik melainkan kita mendalamai dan mengamalkan Dhamma.

BUARD bermaksud meninggalkan semua jenis kejahatan. Buard (banpacha/pabbajja) dalam agama Buddha berpunca daripada kesedaran bahawa kehidupan sebagai Kharawat begitu sempit, sukar dan penuh penderitaan. Kehidupan kharawat terlalu banyak tanggungjawab sehingga sukar untuk mendalami dan mengamalkan Dhamma-Vinai ke tahap tinggi. Sebaliknya kehidupan sebagai Bhikkhu lebih mudah untuk mendalami dan mengamalkan Dhamma-Vinai kerana Bhikkhu tidak banyak tanggungjawab seperti kharawat.

Jadi, tujuan BUARD PHRA atau masuk sami adalah bagi mendalami dan mengamalkan Dhamma-Vinai ke tahap tinggi sehingga mencapai Nirvana.

Tetapi sekarang ini individu yang mahu masuk sami (anak lelaki) dan individu (ibu bapa dan masyarakat) yang menggalakkan perbuatan masuk sami ini tak faham maksud "masuk sami" yang sebenar. Kebanyakannya masuk sami mengikut adat tradisi yang dicipta sendiri oleh golongan kepala geliga. Bermacam-macam ganjaran dijanjikan kepada individu yang masuk sami dan mereka yang memberi sokongan. Kononnya, masuk sami pahalanya banyak. Diwar-warkan juga bahawa "kain kuning" boleh selamatkan ibu bapa dari neraka atau bawa ibu bapa masuk syurga dan sebagainya.

Padahal hakikatnya masuk sami tetapi mengabaikan Dhamma-vinai merupakan perbuatan mengumpul dosa - jalan masuk neraka secara beramai-ramai. Niat di hati ingin naik ke syurga dengan memegang hujung kain kuning, sebaliknya kain kuning bawa masuk neraka.

Buddha telah menetapkan "syarat" yang jelas kepada bakal sami tentang apa yang harus diamalkan sebelum jadi sami, sewaktu jadi sami dan selepas jadi sami. Buard (masuk sami) jenis yang menetapkan tempoh hari keluar sami (la sikkha); buard depan mayat/depan api; buard sementara; buard musim cuti sekolah; buard bagi melepaskan niat; buard bagi mempelajari ilmu dunia TIDAK ADA dalam agama Buddha.

Individu yang masuk sami tanpa ada niat suci untuk mendalami dan mengamalkan Dhamma-vinai dengan betul; atau mempunyai niat yang suci untuk mendalami dan mengamalkan Dhamma-vinai dengan betul tetapi tidak mampu melakukannya, sebaliknya melakukan kejahatan; atau melanggar Dhamma-vinai sesuka hati; adalah individu yang dengan sengaja menutup pintu syurga - magga - phala - Nibbana diri sendiri. Pada masa yang sama indivitu itu membuka pintu neraka untuk diri sendiri.

Individu seperti ini tidak sesuai masuk sami. Dia hanya akan merosakkan diri, ibu bapa dan masyarakat. Dia hanya sesuai mempelajari Dahmma-vinai dan mengamalkannya dalam kehidupan kharawat kerana ia "lebih selamat". Kehidupan kharawat juga ada peluang bagi semua orang menjadi individu suci walaupun sukar sedikit. Kehidupan kharawat mampu membawa seseorang mencapai Magga - Phala - Nibbana juga.

Pelajari dahulu selok belok alam sami sebelum masuk sami. Jangan dengar kata-kata orang kerana yang akan "masuk neraka" ialah kita bukannya orang. Ajaran Buddha - Magga - Phala -Nibbana bukan perkara gurauan kerana Karmanya berat!



ขุททกนิกาย คาถาธรรมบท เล่ม 43 หน้า 83

"ผู้ไม่มีวัตร พูดเหลาะแหละ ไม่ชื่อว่าเป็นสมณะเพียงเพราะศีรษะโล้น ผู้ประกอบด้วยความอยากและความโลภ จะเป็นสมณะอย่างไรได้ ส่วนผู้ใด ยังบาปน้อยหรือใหญ่ให้สงบโดยประการทั้งปวง ผู้นั้นเรากล่าวว่า เป็นสมณะ เพราะยังบาปให้สงบแล้ว."

บทว่า มุณฺฑเกน ความว่า เพราะเหตุสักว่าศีรษะโล้น. บทว่า อพฺพโต คือเว้นจากศีลวัตรและธุดงควัตร. สองบทว่า อลิกํ ภณํ ความว่า ผู้กล่าวมุสาวาท ประกอบด้วยความอยากในอารมณ์อันยังไม่ถึงและด้วยความโลภในอารมณ์อันถึงแล้ว จักชื่อว่าเป็นสมณะอย่างไรได้.

(พระพันธกานต์ อภิปญฺโญ)

5 comments:

Anonymous said...

Buard di rumah juga boleh. Orang-orang tua di kampung mereka buard di rumah. Kelakuan mereka lebih mulia dari setengah sami.

ukm boy

Anonymous said...

DHAMAMAPADA RANGKAP 6
"Sebahagian besar orang tidak mengetahui bahawa dlm pertengkaran mereka akan binasa, tetapi mereka yang dapat menyedari kebenaran akan segera mengakhiri semua pertengkaran."

Marilah kita dengar pesanan dan sabda Bhagava Buddha yang lain pula.

DHAMMAPADA RANGKAP 375
"Pertama-tama, inilah yang harus diamalkan oleh seorang bikkhu yg bijaksana, iaitu mengendalikan (mengawal) indera-indera, merasa puas dengan apa yang ada, mengikuti peraturan-peraturan (patimokkha), serta bergaul dengan teman sejati (sabrahmacari) yg rajin dan bersemangat (untuk menempuh kehidupan suci)."

DHAMMAPADA RANGKAP 9
"Barang siapa yg belum bebas dari kekotoran-kekotoran batin, yg tidak memiliki pengendalian diri serta tidak mengerti kebenaran, sesungguhnya tidak patut dia mengenakan jubah kuning"

Harap saudara-saudari sedar daripada sabda-sabda Bhagava tersebut. Jangan terpengaruh dengan cakap-cakap orang yang tolol.

sk tin

Anonymous said...

Saudara-saudari yang dikasihi, marilah kita dengar sabda Bhagava lagi.

DHAMMAPADA RANGKAP 307-308
"Apabila seseorang menjadi bikkhu dengan mengenakan jubah kuning tetapi masih berkelakuan buruk dan tidak terkendali (terkawal diri), maka akibat perbuatan-perbuatan jahatnya sendiri, dia akan masuk ke alam neraka."


"Lebih baik menelan bola besi panas seperti bara api daripada selalu menerima makanan daripada orang lain dan tetap berkelakuan buruk serta tidak terkendali (dirinya)."

Jadi, barangsiapa yang masih meragui sabda Bhagava Buddha, tidak mahu faham sabda baginda, maka itulah agama dan ajaran yang diciptanya sendiri.
Kita tidak boleh kata apa lagi.

sk tin.

kapcai said...

Tuan Pena tolong perbanyakkan perbandingan antara sami/sangkha ori dengan sami/sangkha celup bagi pengetahuan orang ramai. Saya dengar sami tak dibenarkan simpan makanan lebih satu malam, tapi kini sami ada freeze simpan sebulan tak rosak.

Anonymous said...

Bukan pasal bikkhu sahaja tetapi juga pasal kaum buddhist kita yang elok dan yang tidak elok.
Begitu kaum buddhist yang berjaya dan yang merana.Tunjukkan kepada umum.ok.
mat jenin