Monday, December 14, 2009

Sami Pun Masuk Neraka

Bagi kebanyakan orang, tajuk artikel saya tak berapa sedap telinga - sami mana masuk neraka? Sami orang suci, orang agama mana boleh masuk neraka. Orang seperti saya ada kemungkinan masuk neraka kerana suka memfitnah sami. Barangkali ada orang berfikir begitu apabila membaca tulisan saya ini.

Orang bertanya saya melalui E-mail, kenapa saya suka mengutuk sami? Saya hanya tersenyum. Betulkah saya mengutuk sami? Oh, berdosanya saya. Sami merupakan individu sanjungan ibu bapa dan moyang saya sejak zaman berzaman.

Neraka itu di mana letaknya?

Anda silap sekiranya anda menganggap saya mengutuk sami. Saya tak mengutuk sami dan tak pernah terpintas hendak mengutuk sami (Bhikkhu). Yang saya kutuk ialah Sami Alajji. Sami Alajji pada hakikatnya bukan Bhikkhu Buddha. Baginda tak pernah terima sami alajji sebagai murid Baginda. Murid Buddha secara individu bernama Bhikkhu/Biksu dan secara kumpulan bernama SANGHA.

Sangha itu siapa?

Yang anda nampak membawa batil di Jalan Petaling bukan Sangha.


Yang duduk memanggil Cina masukkan duit ke dalam Donation Box bukan Sangha.

Yang pergi jumpa orang politik dengan niat nak bermain politik bukan Sangha.

Yang kebas duit Kathina buat beli kereta untuk anak lelakinya bukan Sangha.

Yang raba-raba bini orang dan anak dara orang bukan Sangha.

Yang mengambil duit wat kemudian menjadikan harta sendiri bukan Sangha.

Yang mengumpul duit "tambun" banyak-banyak, kemudian bawa keluar untuk dijadikan modal kahwin bukan Sangha.

Yang ditunggang oleh kharawat bukan Sangha.

Yang menunggang kharawat juga bukan Sangha.

Yang bergelar Maha atau Phra Kru atau Chau Khun BELUM TENTU SANGHA.

Yang anda dok pergi sujud juga BELUM TENTU SANGHA.

Jadi, Sangha itu siapa?

Dalam Tipitaka, Sangha merujuk kepada 4 jenis dan 8 kelompok individu iaitu:

1. Sodapatti-magga (sodapatti-mark)

2. Sodapatti-phala (sodapatti-phon)

3. Sakadagami-magga

4. Sakadagami-Phala

5. Anagami-magga

6. Anagama-phala

7. Arahatta-magga

8. Arahatta-phala


(Sodapatti-magga ialah jalan/kaedah praktis untuk menjadi Sodaban. Manakala Sodapatti-phala ialah individu yang telah mencapai Sodaban. Sodana ialah Ariya paling rendah. Sodapatti-magga walaupun belum mencapai Sodaban, tapi perasaan mereka telah mencapai tahap ketenangan yang tinggi. Sesetengah Acarn Vipassana berkata Sodapatti-magga mula mempunyai "Nibbana di hati". Maksudnya mereka sentiasa tenang dan tidak begitu terganggu oleh dugaan/godaan kilesa.

Inilah 8 kelompok Sangha (Phra Song) sejati yang juga kita panggil Ariya-Sangha (Ariya Song). Kepada mereka inilah yang kita beri sedekah - SANGHADANA- yang memberi hasil yang banyak kerana mereka ini ORANG SUCI yang diibaratkan sebagai sawah pahala kepada kaum Buddhis.

Apabila anda betul-betul faham maksud Sangha / Phra Song mengikut Tipitaka, anda dengan sendiri dapat membezakan sami tulen daripada sami palsu. Sami palsu bukan sekadar yang minta sedekah di jalanan, tetapi yang berada dalam wat juga ramai yang palsu. Maksud palsu di sini ialah hanya luar nampak tulen, sedangkan dalamnya tidak tulen, kosong dan tidak berisi. Sila dilanggar sesuka hati.

Masih adakah Sangha atau Phra Song sebenar seperti yang disebut dalam Tipitaka itu? Jawapannya, ada kalau merujuk kepada semua sami di Thailand dan Malaysia. Di Thailand masih ramai sami hutan yang mengamalkan Dhamma-vinai dengan ketat. Di Malaysia pun ada, tetapi tak begitu ramai.

Di wat di kampung anda bagaimana? Masih ada Bhikkhu bertaraf Sangha? Kalau tak ada, bagaimana dengan status Sanghadana anda? Hasilnya ada, tetapi tersangat kurang. Hanya anda sahaja berniat buat Sanghadana, sedangkan Sangha tiada, kerana yang ada hanya sami yang melanggar Sila. Niat kita membuat Sanghadana, tetapi hasilnya tidak sebagaimana yang diharapkan.

Silap-silap tanam padi, tumbuh lalang!

Dalam Tipitaka ada disebutkan bahawa buat "dana" (sedekah) kepada sami tiada Sila pun dapat hasil yang banyak asalkan niat kita untuk buat Sanghadana. Sami itu cuma wakil Sangha. Masalahnya sekarang di wat kita masih ada Sangha? Yang berjubah kuning belum pasti Sangha. Mungkin Sangha pada nama sahaja. Alajji pasti ramai. Buat Sanghadana kepada Alajji sahih masuk neraka dia dan kita sekali. Sanghadana untuk Sangha, tapi kita buat kepada Alajji, kenapa tak masuk neraka!

Sekiranya Sangha tiada, dana yang kita buat tak akan jadi Sanghadana. Hanya kita memanggilnya Sanghadana, tapi hakikatnya bukan Sanghadana kerana tidak memenuhi ciri-ciri Sanghadana. Sangha tak ada. Yang ada cuma musang berbulu ayam.

Sangha penting agar dapat terus menjadi sawah pahala kita. Masalahnya sekarang ini Sangha tulen sukar dicari. Yang ada cuma Sangha pada nama sahaja, ciri-cirinya tiada. Kuantiti atau jumlah Bhikkhu tidak mencukupi untuk mereka menjadi sawah pahala kita. Kualitinya mesti ada. Kuantiti tanpa kualiti tidak berguna.

Keadaan menjadi teruk apabila terdapat sami sendiri tak faham maksud Sanghadana. Apabila ada orang memberi sedekah atas nama Sanghadana kepada seorang sami (wakil Sangha), sami itu menjadikan miliknya secara peribadi. Misalnya orang memberi "duit" kepada seorang sami atas nama Sanghadana, tapi sami tersebut pergi simpan dalam ASB. Apakah hukumnya? Sami tersebut akan masuk neraka. Mengambil milik Sangha (milik bersama) untuk dijadikan milik sendiri, neraka hukumnya. Perkara ini banyak terjadi kepada sami di Malaysia.

Membuat Sanghadana tak semestinya melalui upacara agama sebagaimana yang sering kita lakukan masa upacara tertentu. Kita boleh buat Sanghadana hanya dengan ungkapan sahaja: "Barang ini saya nak buat Sanghadana" sambil menyerahkan barang kepada sami. Jikalau sami itu menerima dan memakai barangan itu seorang diri, dia berdosa dan masuk neraka. Bukan saya yang berkata, tetapi Luang Phor yang kata begitu. Saya tak berani kata sami masuk neraka kerana takut dikatakan menyumpah sami pula. (tak percaya, baca di sini).

Sami kita selalu berkata, duit atau barang yang diberikan kepada mereka ialah milik mereka. Betul milik mereka sekiranya pemberi berniat memberi kepada beliau secara individu (bukkhalik-dana). Tetapi silap besar, sekiranya pemberi berniat memberi kepada Sangha. Barang tersebut ialah milik Sangha. Orang Siam lazimnya memberi sesuatu kepada sami dengan niat memberi kepada Sangha kerana orang Siam lebih biasa dengan "Phra Song" daripada Bhikkhu. Oleh itu, kebanyakan pemberian daripada orang Siam dituju kepada Phra Song. Malah, orang Cina juga memberi sedekah/derma dengan niat memberi kepada Sangha. Malangnya, kebanyakan "harta" Sangha dikebas oleh sami yang berkuasa.

Saya ingin bertanya, duit yang anda masukkan ke dalam kotak derma, niat anda nak berikan kepada siapa? Jikalau niat anda berikan kepada Wat (Sangha), tetapi diambil oleh Ketua Sami dan disimpan dalam bank sebagai milik pribadi Ketua Sami itu bakal masuk neraka. Sama ada beliau Phra Kru atau Chau Khun atau Somdej, dosanya serupa iaitu MAKAN BARANG SANGHA. Walaupun kaya, tetapi "panas" kerana kekayaannya datang daripada sumber panas.

Oleh itu, apabila mahu BUN YAI buatlah dengan cara yang betul, kepada orang yang betul dan tempat yang betul. Tambun kepada sami yang suka "makan barang Sangha" tak dapat "bun" seperti yang dihajatkan. Tambah lagi sekararang ini Sangha terlalu sukar dicari, kecuali "Sangha pura-puraan" yang indah khabar dari rupa.

Sebagai kaum Buddhis yang menekankan "Panya" kita tidak harus terperangkap dengan tradisi ikut-ikutan. Kita mesti tahu apa yang sedang kita lakukan. Kita tak akan mendapat buah nangka jikalau yang kita tanam ialah benih cempedak!



12 comments:

Thai SIAM said...

Tuan Pena,

Berapa kerat kaum Buddhis kita yang sedar dan betul-betul faham tentang Sanghadana tersebut. Bahkan komen tentang keburukkan sami pun dah dimarahi oleh orang tua, kata dosa nanti masuuu neraca..

Saya pernah menonton ceramah ugama yang disiarkan oleh "Dharma TV" yang berkisar dengan kualiti/ fahaman Dhamma dikalangan kaum Buddhis di Thailand.

Penceramah tersebut ada menlontarkan satu soalan berkaitan dengan junmlah (membandingkan bilangan) sami (Sangha) yang menyebar/mengajar Dhamma dengan bilangan penduduk kaum Buddhis di Thailand. Nisbahnya sangat kecil jika hanya bergantung 100% kepada pihak Sangha. Jadi beliau menyarankan agar kharawart biasa yang mempunyai fahaman/amalan yang tinggi dalam Dhamma supaya berganding bahu dengan pihak Sangha di dalam menyebar/mengajar Dhamma kepada kaum Buddhis.

Kita balik kepada masalah kita di Malaysia, bilangan Sangha yang tak ramai (mungkin sami Allaji lebih ramai dari Sami tulen di Malaysia), jadi kalaulah kita hanya bergantung hanya kepada Sangha untuk menyebarkan Dhamma, saya percaya sampai bila pun tak akan berjaya mewujudkan kaum Buddis yang celik Dhamma.

Sebagai seorang Buddis yang masih samar-samar dalam Dhamma, di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Khun Pena Reformasi kerana memaparkan postx2atau isu-isu berkaitan Dhamma untuk dikongsi bersama.

TERUSKAN PERJUANGAN ANDA...NIAT YANG BAIK AKAN DIBALAS DENGAN YANG BAIK. SAHDUx3..

pena reformasi said...

(Thai SIAM) Dhamma TV merupakan saluran yang bagus untuk mendalami Dhamma.

Saya setuju dengan pendapat anda bahawa kharawat boleh memainkan peranan menyebarkan Dhamma.

Saya, anda dan sahabat-sahabat yang memberi komen dalam KSB sebenarnya sedang memainkan peranan tersebut.

sahabat baru said...

terima kasih Khun Pena kerana sebarkan dhamma. biar apa orang kata tak payah ambil pusing, cara khun beri dhamma disanjung tinggi.

saya setuju pendapat thai siam kharawart tahu agama mengajar agama (online). nak tunggu phra entah bila. phra sekarang sibuk ... banyak kerja kena buat.

Anonymous said...

patutla orang siam ditimpa karma buruk sebab buat sangkathan tak ikut ajaran Buddha. Buddha suruh kita buat sangkathan kepada Phra Song phu mi sin, kita buat kepada alajji. kah...kah...kah! suwei, suwei!

nujum pak belalang

budak said...

Kat kampung aku gerenti tak ada Sangha seperti Tuan Pena kata.

Anonymous said...

Kalau lebih ramai yang sedar akan pentingnya mengikut ajaran Buddha yang tulen, memang bagus.

Ajaran Buddha tidak memerlukan perantaraan. setiap orang perlu mempelajari dan mendalami Dhamma sendiri, bukan ikut kata-kata orang tua, ikut telunjuk orang secara membabi buta.

Jika tidak, apalah guna ajaran Buddha dalam Kalama Sutta.

Salah satu kejayaan Buddhis Mahayana di Malaysia ialah persatuan Buddhis mereka yang bergerak aktif (dipimpin oleh umat awam). Umat awam merancang program Buddhis secara sistematik.

Umat Buddhis memerlukan Sangha kerana Sangha ialah salah satu cara hidup yang lebih dekat dengan jalan pencerahan (nibbana) dan merupakan lapangan pahala umat awam.

Saya percaya kita di sini bukan hendak meruntuhkan atau mengabaikan institusi sangha, tetapi untuk membawa institusi yang mulia ini ke jalan yang benar.
Memang benar bukan semua sami itu menyeleweng tetapi masih banyak yang begitu.

Dan saya juga berharap lebih banyak anak-anak muda yang sedar tentang cara hidup Buddhis yang sebenar.

sk tin

Anonymous said...

Selepas membaca komen-2 yang lepas, saya berasa hairan kerana ada yang mengeluh kerana (pernah) menjadi sami yang 'miskin'/ kurang wang.

mungkin ada yang lupa sejarah dan hukum(vinaya) agama Buddha.

Makanan sangha adalah dari pindapata (sedekah orang ramai). Keperluan yang lain pula adalah dibekalkan oleh umat awam. Bikkhu boleh meminta keperluan mereka dengan orang awam.
Jadi di sini, apa perlunya wang atau menjadi kaya????

Nak hadir kursus/ seminar/ mesyuarat, orang awam boleh tolong hantarkan. wat ada di mana-mana, apa perlunya tidur di hotel mewah?

Memang betullah bekas sami keluar sami kerana tidak tahan dengan 'kemiskinan' material di wat-wat. ini lebih baik daripada membuat penyelewengan di dalam wat.

Tugas sami bukan mengumpul harta. Kalau mengumpul harta, niatnya sudah tidak betul.
sebab itu ada yang terus kahwin dan buka bisnes selepas keluar dari sami.

Namun, kita lihat ada perkembangan positif hari ini.Semoga kegemilangan sangha pada zaman Buddha akan muncul suatu hari nanti.

sk tin

saeng som said...

Jadi sami dangkal ilmu dhamma, malu kharawat.

Munculnya KSB membuka mata ramai orang Siam di mana kharawat lebih tinggi ilmu dhamma dari sesetengah sami.

Anonymous said...

Buat pahala dengan sesiapa pun boleh asalkan niat kita ikhlas.Kalu buat dengan puak allaji atau phra arahant pasti hati kita dulu...Kalu masih was-was buatlah balaslah budi ibubapa dulu.Anda akan tahu seterusnya siapa yang benar.Tuan2-puan2 pun kena bwewaspada juga,ramai puak niat dalam internet.
mat jenin

Anonymous said...

Tuan Pena,kalau orang kepala botak (AJK wat Buddha Jayanti) dia masuk neraka tak?Dia ada power sebab kepala botak walaupun bukan sami.Kerjanya buka box donation.Neraka bawah mana untuk dia.?..kah kah kah!
cina campuran

pena reformasi said...

Banyak komen yang saya tak siarkan. Mereka tak dapat terima "sedekah hanya kepada Sangha" baru dapat BUNYAI. Jikalau mereka ini Sangha tentu mereka tak marah-marah.

Mungkin mereka ini Alajji atau spesis sejenisnya yang tidak diterima oleh Buddha sebagai "Anakanda Baginda" yang sah. (Kalau tak sah, orang panggil anak haram jadah). Sebab itulah melenting seperti cacing kepanasan bila saya tulis posting ini.

Apalah nak jadi dengan "kuman lilin" ni, fakta dari Tipitaka pun mereka tak boleh terima.

Siam KL said...

Betul kata SK Tin, kalau takut miskin harta jangan masuk sami. Sami Buddha kaya ilmu, kaya Panya, bukan kaya harta.

Kalau mahu kaya harta pergi buat kerja, jangan peluk tubuh tunggu orang bagi makan. Kalau nak tidur, malas belajar agama pergi tidur dalam kubur, tak ada orang kacau!