Wednesday, January 6, 2010

La Sikkha

Mat Salleh berasa hairan apabila melihat sami Siam la sikkha setelah jadi sami beberapa tahun. Bagi Mat Salleh, orang jadi sami adalah untuk mempraktis Dhamma-Vinai (Brahma-cariya). Praktis Dhamma-Vinai belum mencapai destinasi - Nirvana - sami telah la sikkha iaitu keluar dari alam sami.

Sedangkan, bagi orang Siam, jadi sami adalah kerana tuntutan tradisi sahaja. Tidak ramai yang jadi sami dengan niat untuk mempraktis Dhamma-Vinai. Oleh itu, ramai pemuda Siam telah "menetapkan masa" untuk tinggal dalam alam sami - 7 hari, 15 hari, 3 bulan, 3 tahun dan sebagainya. Jikalau Parami mengizinkan boleh tinggal lebih lama. Padahal, hakikatnya mempraktis Dhamma-Vinai masa boleh menetapkan masa kerana tiada sesiapa tahu berapa lama seseorang sami mampu tiba ke destinasi akhir - Nirvana.

Orang Siam jadi sami bukan kerana Nirvana. Mereka jadi sami kerana adat tradisi. Oleh itu mereka akan la sikkha apabila hati terasa bosan di alam sami dan ingin menikmati alam duniawi. Inilah yang tidak diketahui oleh Mat Salleh. Sebab itulah mereka berasa hairan melihat pemuda Siam jadi sami terlalu sekejap; kuali gulai babi belum kering, sami telah la sikkha!

Pada zaman Buddha, pemuda India jadi sami (Bhikkhu) untuk menuju destinasi Nirvana. Jumlah yang la sikkha tidak ramai. Malah, terdapat sami yang tak pernah pulang ke pangkuan keluarga seumur hidup kerana "mengabdikan" diri kepada Dhamma-Vinai Buddha. Mereka rela berkorban diri kerana Nirvana (Paramattha-Parami). Phra Sariputra, Mongganlana, Assachi, Mongganli, Ananda (Anon), Kassapa, Anurut dan lain-lain bergadai nyawa demi Nirvana.

Apakah yang dikatakan la sikkha? Singkatan bagi la sikkha ialah seuk atau sik. La bermaksud tinggal/meninggalkan. Sikkha bermaksud pelajaran atau perkara-perkara yang perlu dipelajari atau peraturan-peraturan yang harus dipatuhi untuk melatih diri.

Jadi, LA SIKKHA bermaksud meninggalkan pelajaran atau perkara-perkara yang perlu dipelajari atau peraturan-peraturan yang harus dipatuhi untuk melatih diri. Melatih diri untuk apa? Melatih diri untuk membersihkan hati, membebaskan minda bagi mencapai Nirvana.

Apabila sami itu la sikkha, bererti sami itu telah meninggalkan pelajaran atau perkara-perkara yang harus dipelajari untuk melatih diri bagi mencapai Nirvana.

Daripada penyataan ini, jelaslah bahawa jadi sami bukan untuk suka-suka, mengumpul harta atau memenuhi adat tradisi sebagaimana anggapan kita. Sebaliknya, jadi sami adalah untuk mengikuti pelajaran yang bakal membawa sami ke destinasi Nirvana.

Apakah pelajaran yang wajib diikuti oleh sami? Tri-sikkha/ti-sikkha/Trai-sikkha adalah pelajaran yang bakal membawa sami ke destinasi Nirvana, antaranya ialah:

1. Ati-sila-sikkha atau Sila;

2. Ati-citta-sikkha atau Samadhi;

3. Ati-panna-sikkha atau Panna (Panya).

Tri-sikkha ini bertujuan melatih pertuturan, perbuatan dan minda sami. Minda yang terlatih bakal membawa sami ke tahap yang lebih tinggi dan bebas daripada duniawi. Matlamat akhirnya ialah pembebasan sempurna (vimutthi).

Sila 227 apabila disimpulkan akan terangkum dalam Sila, Samadhi dan Panya. Maksudnya, Sila 227 (150 dalam Patimokha) bertujuan agar sami dapat mengamalkan Sila, Samadhi dan Panya dengan berkesan. Ariya Magga 8 juga apabila disimpulkan akan terangkum dalam Sila, Samadhi dan Panya. Sila 227, Ariya Magga 8 dan Sila, Samadhi dan Panya merupakan "perkara yang sama". Hanya nama sahaja berbeza.

Oleh itu, Sila, Samadhi dan Panya (Tri-Sikkha) merupakan kaedah pengamalan dalam agama Buddha yang bertujuan untuk meningkatkan tahap minda. Semakin tinggi tahap minda seseorang, semakin tinggi jugalah kedudukan orang tersebut dalam agama Buddha.

Seseorang individu menjadi sami atas permintaan dan kerelaan hati sendiri tanpa paksaan daripada sesiapa. Dia minta "ditasbihkan" sebagai sami di dalam Ubosatha di depan Upaccaya dan disaksikan oleh para sami lain serta ibu bapa dan masyarakat. Ini bermakna dia yang minta untuk "mengamalkan Tri-sikkha" secara rela hati. Habis, kenapa setelah menjadi sami dia tidak mempedulikan Tri-sikkha tersebut? Sekadar bermain-main?

Umpama seorang kanak-kanak yang minta buah mangga daripada seorang tua, tetapi tidak dimakannya, sebaliknya dibuang ke longkang. Apakah perasaan orang tua itu?

Kita minta jadi sami di depan patung Buddha dan disaksikan oleh para sami, ibu bapa dan para penganut agama Buddha yang lain, tetapi kita tidak mengamalkan kewajipan sami (praktis tri-sikkha), sebaliknya membuat perkara lain. Berdosalah kita kepada Buddha, Dhamma, Sangha, ibu bapa dan orang ramai.

Sekiranya kita belum bersedia mempraktis Tri-sikkha, tidak usah kita masuk Uposatha minta dijadikan sami (Bhikkhu) kerana kita akan menanggung dosa yang maha besar. Dan andainya kita sedang praktis Tri-sikkha, tiba-tiba "kain kuning terasa panas" segeralah la sikkha. Kita tidak akan berdosa, malah kita akan dihormati kerana tidak "merosakkan diri dan agama".


สิกขา 3 หรือ ไตรสิกขา (ข้อที่จะต้องศึกษา, ข้อปฏิบัติที่เป็นหลักสำหรับศึกษา คือ ฝึกหัดอบรมกาย วาจา จิตใจ และปัญญา ให้ยิ่งขึ้นไปจนบรรลุจุดหมายสูงสุดคือพระนิพพาน — the Threefold Learning; the Threefold Training)
1. อธิสีลสิกขา (สิกขาคือศีลอันยิ่ง, ข้อปฏิบัติสำหรับฝึกอบรมในทางความประพฤติอย่างสูง — training in higher morality)
2. อธิจิตตสิกขา (สิกขาคือจิตอันยิ่ง, ข้อปฏิบัติสำหรับฝึกหัดอบรมจิตเพื่อให้เกิดคุณธรรมเช่นสมาธิอย่างสูง — training in higher mentality)
3. อธิปัญญาสิกขา (สิกขาคือปัญญาอันยิ่ง, ข้อปฏิบัติสำหรับฝึกอบรมปัญญา เพื่อให้เกิดความรู้แจ้งอย่างสูง — training in higher wisdom)

เรียกง่ายๆ ว่า ศีล สมาธิ ปัญญา (morality, concentration and wisdom)

สิกขา การศึกษา, การสำเหนียก, ข้อที่จะต้องศึกษา, ข้อปฏิบัติสำหรับฝึกอบรม มี ๓ อย่างคือ
๑. อธิสีลสิกขา ฝึกอบรมในเรื่องศีล
๒. อธิจิตตสิกขา ฝึกอบรมในเรื่องจิต เรียกง่ายๆ ว่า สมาธิ
๓. อธิปัญญาสิกขา ฝึกอบรมในเรื่องปัญญา
รวมเรียกว่า ไตรสิกขา


D.III.220;
A.I.229. ที.ปา. 11/228/231;
องฺ.ติก. 20/521/294.

5 comments:

Anonymous said...

Apabila sesuatu itu menjadi adat tradisi maka ada dua kemungkinan,
1.sesuatu bangsa akan menjadi kuat kerana tradisi tersebut memperkuatkan bangsa itu.

2.sesuatu bangsa akan kekal mundur kerana tradisi tidak dapat memberi manfaat kepada bangsa itu.

Oleh itu adalah lebih baik mereka yang menjadi sami itu betul-betul ikhlas untuk mencapai pembebasan. Hanya orang yang ikhlas dan berdedikasi layak menjadi sami supaya dia dapat berbakti kepda diri dan bangsanya.

sk tin

Thai SIAM said...

Tuan Pena,
Saya berpendapat hampir 99% yang menjadi sami (buath Phra)dikalangan orang Siam Malaysia adalah mengikut tuntutan tradisi.

Bagi yang "La Sikkha" atau menempatkan masa untuk keluar itu lebih baik dari yang menjadi sami bertahun-tahun tapi tak praktiskan Sila, Samadhi dan Panya (Tri-Sikkha), hanya tahu makan dan tidooooo..yang ni lebih teruooook.

Yang lebih teruk sekarang ni, ada yang berlumba-lumba nak (beli) pangkat phrakru... sumbangan langsung takdaq, dok giler pangkat..

Anonymous said...

Tiada phra tulen dahulu.Ramai orang jahat yang menjadi phra kemudian bertukar menjadi phra yang baik dan tulen.
Sejarah zaman buddha dahulu pun banyak menunjukkan orang yang tidak baik menjadi phra,kemudian menjadi baik. sadhu.
orang timur

pena reformasi said...

Orang baik, atau orang jahat tak penting kerana apabila dia jadi phra dia insaf dan mengamalkan Brahma-cariya dengan tekun, pasti akan jadi Ariya Song.

Anonymous said...

semakin ramai orang yang ragu-ragu, masih adakah ariya sangha di kalangan sami-sami kita.
Banyak sangat penyelewengan yang berlaku dan tidak diperbaiki.

mereka yang pergi buad pun beri masalah. tak banyak yang kekal dan mahu menjalani kehidupan suci.

mungkin suatu hari nanti, kita perlu bergantung kepada sami-sami kelompok lain yang lebih ariya dan patibat.

sk tin