Saturday, January 30, 2010

Minda Buddha

Istilah Buddha (พุทธะ) sudah sebati dengan mulut kita. Setiap hari sewaktu kita suatmon (chanting), kita akan sebut Buddha, Dhamma dan Sangha. Apabila terkejut mulut kita akan berkata "Buddho" yang berasal daripada istilah Buddha. Tetapi sejauh manakah kita memahami maksud istilah Buddha?


1. Buddha bermaksud individu (Individu Agung) yang mencapai Pencerahan Sempurna (trassaru Ariya Sacca 4) dengan usaha sendiri;

2. Buddha bermaksud individu yang telah bangun, tidak lena atau lesu;

3. Buddha bermaksud individu yang membangunkan individu lain daripada lena;

4. Buddha bermaksud individu yang mencapai pengetahuan sempurna dalam segala kebenaran;

5. Buddha bermaksud mengetahui semua perkara (yang ingin diketahui);

6. Buddha bermaksud melihat semua perkara (yang ingin dilihat);

7. Buddha bermaksud mengetahui segala perkara dengan sendiri bukan diberi oleh orang lain, Dewa atau Kuasa lain.

8. Buddha bermaksud telah berkembang (seperti teratai) atau senantiasa ceria;

9. Buddha bermaksud telah kehabisan kilesa;

10.Buddha bermaksud bebas daripada ketamakan;

11.Buddha bermaksud bebas daripada kemarahan;

12.Buddha bermaksud bebas daripada kesesatan atau kekeliruan;

13.Buddha bermaksud sedang berjalan di Jalan Agung (Magga 8);

14.Buddha bermaksud telah berjaya memperolehi ilmu agung;

15.Buddha bermaksud telah berjaya menghapuskan segala kejahilan;

Istilah Buddha bukan diberi oleh manusia, Brahmana, atau Dewa, tetapi merupakan istilah yang merujuk kepada Individu Agung yang telah bebas daripada kilesa, mencapai Pencerahan Sempurna dan mengetahui segala pengetahuan (Maha Mengetahui) dengan usaha sendiri.

Maksud Buddha masih boleh diperincikan lagi, tetapi cukuplah setakat ini.

Selaku penganut agama Buddha, berapa banyak ciri-ciri Buddha yang kita miliki? Sekiranya kita belum memilikinya, sudah sampai masanya kita berusaha menerapkan ciri-ciri itu ke dalam minda kita.

Menurut seorang pakar agama Buddha Mahayana, setiap manusia mempunyai "minda Buddha"
di dalam dirinya, tetapi tertutup oleh kilesa. Sekiranya kilesa dihapuskan, "minda Buddh" akan terpancar dengan terang. Kerana ada "minda Buddha", semua orang mampu mencapai kebebasan sempurna.


2 comments:

Anonymous said...

ajaran theravada menyatakan tahap tertinggi pencapaian seseorang individu ialah menjadi arahant.

ajaran mahayana pula menyatakan bahawa semua orang boleh menjadi buddha.

ada juga orang kata kita tidak perlu jadi buddha kerana buddha hanya wujud apabila dhamma yang mulia sudah lenyap. Buddha wujud untuk menemui dhamma dan menyampaikannya kepada semua orang.

mahayana kata sifat buddha ada dalam semua orang dan kita semua berpotensi untuk menjadi buddha.

apa pendapat tuan pena.
apakah kita semua boleh menjadi buddha? atau perlukah kita menuju ke arah itu?

sk tin

pena reformasi said...

Bagi Theravada, tak perlu jadi Buddha. Cukup jadi Arahant.

Bagi Mahayana, matlamat tertinggi mereka jadi Buddha.

"Minda Buddha" yang dikatakan oleh pakar Mahayana itu merujuk kepada "benih kebaikan" yang ada pada setiap orang.

Pada saya, kita tak perlu jadi Buddha kerana kita tak perlu "membuang masa" berpuluh-puluh kali kelahiran semula jika kita mampu capai Arahant dalam kelahiran sekarang.