Sunday, January 3, 2010

Tipitaka (2)

Dalam ketiga-tiga Pitaka, Vinaya Pitaka dan Sutta Pitaka (Suttanta Pitaka) lebih tua daripada Abidhamma Pitaka. Vinaya Pitaka dan Sutta Pitaka wujud sejak zaman Buddha dalam nama "Dhamma-Vinaya".

Buddha mengajar Dhamma-Vinaya di tempat mana dan bila, para Savaka yang mendengarnya akan menghafalnya dengan baik, kemudian diwariskan kepada murid mereka secara lisan. Penulisan Dhamma-Vinaya belum dilakukan walaupun zaman Buddha tulisan/aksara sudah diguna pakai.

Penulisan Dhamma-Vinaya tidak dilakukan mungkin kerana tradisi masyarakat India ketika itu yang suka menghafal dan mengingat ajaran agama dalam hati. Bagi mereka ajaran agama sesuatu yang suci dan tidak patut disimpan dalam "benda" luar (kulit kayu, kertas dll) yang mungkin terdedah kepada bahaya kepupusan.

Dalam beberapa Sutta, ada dinyatakan 5 kaedah pembelajaran iaitu:

1) Mendengar ;

2) Mengingat;

3) Menghafal dengan mulut;

4) Berusaha memahami maksudnya dengan hati;

5)Memahami maksudnya dengan jelas.

Setelah Buddha parinibbana (wafat), pembelajaran Dhamma-Vinaya masih dilakukan secara lisan. Oleh sebab ajaran Buddha selama 45 tahun terlalu banyak dan mustahil dapat diingat dan dihafal dengan baik oleh seorang individu, lalu dilakukan pengkhususan di kalangan Bhikkhu. Bhikkhu yang mahir Vinaya; mengingat dan menghafal Vinaya dipanggil Vinai-thorn. Bhikkhu yang mahir Sutta; mengingat dan menghafal Sutta dipanggil Dhamma-thorn. Bhikkhu yang mengingat dan menghafal Sutta dibahagikan kepada 2 lagi iaitu Bhikkhu yang mengingat dan menghafal Sutta panjang dan Bhikkhu yang mengingat dan menghafal Sutta sederhana panjang. Pembelajaran Dhamma-Vinai melalui tradisi lisan (oral tradition) ini berlanjutan sekian lama.

Mengikut bukti yang terdapat dalam Kitab Thipa-Wangsa (Sri Lanka) yang ditulis sekitar tahun 400M, Tipitaka dan Atta-katha ditulis kali pertama dalam daun lontar (bai larn) di Sri Lanka sekitar tahun 103-77 SM sempena "Sanghayana" yang dianggap oleh Theravada sebagai kali ke-4(tiga kali sebelum itu diadakan di India).

Seandainya bukti dalam Kitab Thipa-Wangsa boleh dipercayai, bolehlah kita rumuskan bahawa kali pertama tipitaka ditulis dalam daun lontar 500 tahun selepas Baginda Buddha wafat atau lebih kurang 2000 tahun dahulu.

Sebelum Dhamma-Vinaya ditulis kali pertama dalam daun lontar, terdapat tulisan dalam bentuk "batu bersurat" pernah dijumpai di India. Batu bersurat ini dikatakan ditulis pada abad ke-2 atau ke-3 tahun Buddha, iaitu sebelum era Raja Asoka. Dalam batu bersurat itu dicatatkan nama-nama individu yang mahir agama mengikut bidang masing-masing.

Malahan dalam Batu Bersurat Raja Asoka yang dijumpai terdapat catatan tentang Vinaya Pitaka dan Sutta Pitaka. Beliau turut menggesa Bhikkhu, Bhikkhuni, Ubasaka dan Ubasika tekun mendengar Dhamma-Vinaya dan memahami maksudnya dengan betul.

Selain daripada bukti di atas, terdapat banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa Vinaya Pitaka dan Sutta Pitaka wujud terlebih dahulu daripada Abidhamma Pitaka.

1 comment:

bekas sami said...

Posting yang banyak beri info berguna. TQ Tuan Pena!