Sunday, April 25, 2010

Berubah Sebelum Terlambat


Semalam seorang sahabat melahirkan hasrat murninya ingin pergi buat Vipassana. Dia memberitahu bahawa sudah lama membuang masa dengan perbuatan yang sia-sia yang tidak layak dipanggil "penganut agama Buddha". Moral asas penganut agama Buddha ialah Sila 5. Sedangkan dia tak pernah cukup Sila tersebut. Pada hujung minggu, tak ada kerja lain, selain cari jalan "melanggar" Sila.
Dia mengaku, pengaruh kawan yang "tak bermoral" tidak akan membuatkan seseorang itu jadi orang baik.

Baguslah jikalau sudah insaf dan ingin jadi penganut yang baik. Berniat untuk membuat kebaikan sudah mendapat kuson Karma (Karma baik), apatah lagi apabila betul-betul melakukannya. Kuson Karma bermula dengan niat yang baik.
Tidak ada istilah terlambat bagi membuat kebaikan. Malah Buddha mengajar kita bahawa kebaikan boleh dibuat sehingga ke nafas terakhir. Meninggalkan kejahatan atau berhenti daripada kejahatan merupakan satu kebaikan. Meninggalkan kejahatan dan membuat kebaikan merupakan kebaikan berganda. Meninggalkan kejahatan, membuat kebaikan dan berusaha membersihkan minda merupakan triple kebaikan. Vipassana ialah kaedah membersihkan minda yang terulung. Minda yang bersih bakal melonjak tinggi ke tahap Lokuttara Dhamma.
Di Thailand, terdapat pelbagai kaedah Vipassana yang boleh diikuti oleh penganut agama Buddha mengikut kesesuaian masa dan diri seseorang. Bagi mereka yang sudah pencen, mereka boleh mengikuti Vipassana sepenuh masa. Bagi orang yang masih bekerja, Vipassana bermusim menjadi pilihan. Misalnya, Vipassana musim cuti sekolah amat diminati oleh gugu-guru di Thailand.

Vipassana mesti dilakukan secara berterusan. Kita pergi buat Vipassana di Pusat Vipassana selama beberapa bulan, minggu atau, hanya untuk mendapatkan asas ilmu Vipassana sahaja. Apabila kita balik, kita menggunakan ilmu yang dipelajari bagi buat Vipassana di rumah. Kita mesti menjadikan Vipassana sebagai rutin kehidupan kita barulah kita dapat menikmati hasilnya. Hangat-hangat tahi ayam hanya membuang masa.

Buddha mengajar kita bahawa Dhamma 2 perkara membawa kita kepada Vijja. Dhamma 2 perkara itu ialah Samatha dan Vipassana. Samatha merupakan cara mengasuh minda. Minda yang terasuh dengan baik mampu membendung nafsu jahat. Manakala Vipassana merupakan cara meningkatkan Panya. Panya yang tinggi mampu menyingkirkan Avijja.

Minda yang dikuasai nafsu jahat tidak akan mendapat kebebasan. Panya yang dicemari dengan Avijja tidak akan subur. Apabila berjaya menghapuskan nafsu jahat barulah dipanggil (mendapat) Ceto-Vimutti dan apabila berjaya menghapuskan Avijja dipanggil (mendapat) Panya-Vimutti.

Mungkin ada orang kata, dia pergi Vipassana bukan untuk mendapatkan Vimutti. Itu terlalu tinggi. Sekadar dapat ketenangan atau dapat kebaikan tahap asas pun sudah memadai. Terpulanglah kepada niat masing-masing. Pokoknya, Vipassana, selain menyuburkan Panya, dapat juga menenangkan jiwa, megurangkan tekanan, mengubati penyakit yang berakar daripada tekanan dan sebagainya. Pendek kata, Vipassana yang betul banyak faedahnya. Belum cuba, tidak tahu. Setelah cuba barulah tahu. Hasilnya amat berbaloi.

Cuma harus diingat bahawa Vipassana juga ada yang tidak betul (Micca Vipassana). Vipassana yang tidak betul ini lazimnya datang daripada aliran melampau atau ajaran sesat. Dalam agama Buddha, banyak juga aliran terpesong, maka Vipassana atau meditasinya juga terpesong. Meditasi bogel misalnya tidak selaras dengan ajaran Buddha, tetapi terdapat penganut agama Buddha mengamalkannya terutama di Barat atau di Eropah.

Vipassana yang betul bakal menjelmakan hasil yang baik.


1 comment:

Anonymous said...

Vipassana dan karma adalah konsep yang penting dalam ajaran Buddha. Namun perkara ini turut disentuh dalam agama lain, mungkin dengan perkataan dan pengertian yang berbeza.

Vipassana (meditasi, tafakur)semakin popular terutama di Barat kerana orang-orang Barat lebih suka benda yang pratikal. Yang boleh diamalkan dan dirasai kesannya.

Acarn-acarn dari Burma dan Acarn-acarn dari wat pa mengamalkan vipassana (tafakur) dan mempopularkan latihan minda ini.

Tentang karma pula, umat buddhis perlu betul-betul memahami hal ini kerana karma tidak bergantung kepada konsep ketuhanan. sebaliknya konsep ketuhanan dalam ajaran Buddha itu sendiri terikat kepada hukum karma-vipaka.

Setiap makhluk (nyata atau ghaib) terikat kepada karma kecuali mereka yang telah memutuskan rantaian samsara (karma yang meyebabkan kelahiran semula)dengan mencapai tingkat arahant.

Tuhan tidak boleh membuatkan kita bebas dari samsara. jalan pembebasan harus ditempuh dan direalisasikan oleh diri sendiri. Inilah hakikat kehidupan.

sk tin