Friday, April 23, 2010

Dhamma Pasangan Bercinta

Pernah ada orang bertanya kepada saya, bolehkah suami isteri atau pasangan kekasih berjumpa lagi pada kelahiran akan datang? Saya bertanya balik, belum puas lagikah berjumpa pada kehidupan sekarang sehingga teringin bersambung pada kehidupan akan datang?

Pasangan yang bahagia semestinya ada keinginan untuk berjumpa lagi dengan orang yang dicintai. Manakala pasangan yang tidak bahagia, mungkin minta dipertemukan dengan orang lain. Dalam masyarakat Siam ada pepatah yang berbunyi: "Tambun bersama banyak-banyak agar pada kehidupan akan datang dapat berjumpa lagi!"

Pepatah ini ada benarnya. Masyarakat Siam dahulu tidak sewenangnya mencipta pepatah jika kebenarannya tidak ada. Moyang kita memang tahu Dhamma Buddha, cuma mereka tidak memperincikan maksud tambun sahaja. Dalam maksudnya yang umum tambun bererti membuat kebaikan.

Dalam satu Sutta, ada diterangkan bahawa jikalau suami isteri berhasrat untuk berjumpa pada kehidupan sekarang dan kehidupan akan datang, kedua-dua orang itu mesti:

1. mempunyai Saddha (kepercayaan/keyakinan) yang sama atau setaraf;

2. mempunyai Sila (moraliti) yang sama atau setaraf;

3. mempunyai Caga (memberi, menderma) yang sama atau setaraf;

4. mempunyai Panya (kebijaksanaan) yang sama atau setaraf;

*(Caga membawa maksud yang luas iaitu memberi, menderma, bermurah hati, dan "mengeluarkan" sifat tidak baik daripada diri).

Sekiranya seorang suka masuk wat dan seorang lagi suka masuk kasino; seorang pencinta haiwan, dan seorang lagi pemburu haiwan; seorang setia pada pasangan dan seorang lagi sentiasa cari pasangan lain; sahih tak akan bertemu lagi pada kehidupan akan datang.

Jadi, bagi pasangan yang ingin bertemu lagi, berusahalah agar 4 kebaikan di atas dapat dipenuhi.

2 comments:

Anonymous said...

Kalau saya tidak mahu hidup semula apa yang patut saya lakukan. Hidup saya kini sudah cukup,tidak mahu kelahiran depan lagi.

hongsa

pena reformasi said...

(hongsa) Jikalau tak mahu hidup semula, jangan buat Karma baru dan Karama sedia ada mesti dihapuskan agar Vatta Samsara atau Peredaran Kehidupan dapat diputuskan yakni mencapai Arahant. Hanya Arahant yang tak akan dilahirkan semula. Individu yang belum Arahant, mahu atau tidak mahu, Karma tetap akan membawa kita ke kelahiran semula.