Saturday, May 1, 2010

Metta: Pemangkin Ketenteraman Dunia

Lazimnya, kaum Buddhis apabila melakukan upacara keagamaan akan disertai dengan Phe Metta (แผ่เมตตา). Phe Metta merupakan perkara yang penting dalam agama Buddha yang penganutnya tidak boleh terlepas pandang.

Metta ada dalam Parami 1o perkara, Metta ada dalam Brahma-Vihara dan Arakkha-Kammathana. Ini menunjukkan betapa mustahaknya Metta dalam agama Buddha.

Bahkan Metta sesuatu yang penting kepada semua orang tanpa mengira anutan, keturunan, warna kulit atau gender. Tanpa Metta, dunia akan hancur - manusia saling membunuh antara satu sama lain. Perselisihan faham, pertumpahan darah, pembunuhan dan peperangan yang tercetus akibat daripada manusia tiada Metta.


METTA - bermaksud kasih sayang dan belas kasihan yang ikhlas. Phe Metta (แผ่เมตตา
) pula dalam maksud yang luas ialah berniat ikhlas agar individu lain dapat mengecapi kebahagiaan hidup. 'Individu lain' di sini merangkumi semua makhluk di muka bumi yang berkongsi kesengsaraan akibat kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian.

Kata-kata yang sering dilafazkan ketika Phe Metta ialah "Sabbe satta, avera appatya-pacca, sukkhi attanang pariha rantu" yang maksudnya lebih kurang seperti di bawah:

Semoga semua makhluk yang berkongsi kesengsaraan:

(dapat mengecapi kebahagiaan) tidak saling berdendam;

(dapat mengecapi kebahagiaan) tidak saling menyusahkan;

(dapat mengecapi kebahagiaan) tidak mengalami penderitaan zahir dan batin;

sebaliknya mengecapi kebahagiaan zahir dan batin;

jagalah diri agar bebas daripada segala bahaya dan kesusahan.

Metta tidak boleh sekadar lafaz di mulut sahaja, tetapi mesti disusuli dengan tindakan iaitu perbuatan yang mempunyai Metta. Kaum Buddhis selalu menjadikan Phe Metta sebagai "upacara" semata-mata, tidak diikuti dengan perbuatan. Perasaan hasad dengki, cemburu atau dendam menguasai diri lalu menghilangkan perasaan kasih sayang atau belas kasihan (Metta).

Tidak boleh misalnya, masa di Wat kita melafazkan Phe Metta, tetapi apabila balik ke rumah kita menyepak anjing di tepi pintu kerana menghalang jalan kita; atau membaling lembu jiran yang memasuki kawasan rumah kita dengan parang. Perbuatan menyusahkan atau menganiayai makhluk lain bertentangan dengan Metta. Menyusahkan diri sendiri juga tidak boleh.

Kita membuat Phe Metta di depan Patung Buddha, disaksikan oleh Sangha dan penganut yang lain. Jikalau kita melakukannya sekadar 'upacara' sahaja, tidak dipraktikkan sebagaimana yang kita lafazkan - Sabbe satta ... berdosalah kita kerana berbohong kepada Buddha, Dhamma dan Sangha. Melafazkan Metta bermakna kita berjanji melakukannya, oleh kita mesti mengamalkanya, kalau tidak malu kepada anjing yang berkeliaran di dapur Wat. Anjing-anjing itu akan mentertawakan kita. Kita ada fikiran, ada kebijaksanaan, tetapi pergi melafazkan pembohongan atas nama Tri-Ratana.

Orang yang jiwanya dilimpahi Metta, dia bakal menerima pelbagai balasan baik, antaranya ialah:

1. Tidur bahagia

2. Jaga bahagia

3. Tidak diganggu mimpi ngeri

4. Disayangi umat manusia

5. Disayangi makhluk bukan manusia

6. Dijagai Devata

7. Tidak ditimpa bencana api, racun dan senjata

8. Jiwa tenteram (apabila buat Samadhi, jiwa mudah tenang)

9. Mempunyai wajah yang ceria

10. Apabila hendak mati, hati pun tenang, tidak nyanyuk

11. Jikalau belum mencapai tahap Lokuttara Dhamma, pasti akan memasuki Brahma-Loka (Phroma-Loka).

Ini 11 perkara hasil baik yang diterima oleh orang yang jiwanya dilimpahi perasaan kasih sayang, belas kasihan dan berniat baik untuk kebahagiaan orang lain.

Untuk melahirkan Metta di jiwa bukan sesuatu yang senang. Kebanyakan orang hanya ada Metta di kalangan ahli keluar atau sanak saudara sahaja. Menurut Buddhadassa Bhikkhu, perasaan kasih sayang terhadap keluarga, bukan kasih sayang yang "tinggi nilainya" kerana semua manusia ada naluri semulajadi - iaitu sayang kepada keluarga. Jangan kata manusia, haiwan pun sayang kepada anak-anaknya.

Kasih sayang yang "bernilai tinggi" seharusnya kasih sayang terhadap "orang luar" yang tiada kaitan persaudaraan dengan kita. Misalnya, kita membeli ais krim kepada anak kita dan pada waktu yag sama kita juga membeli untuk anak orang lain yang tidak kita kenali yang berdiri berdekatan anak kita. Ini contoh Metta yang bernilai tinggi. Tetapi Metta begini sukar dilakukan.

Metta yang paling sukar wujud dalam jiwa manusia ialah Metta terhadap musuh. Apabila disebut musuh, pasti pasangannya ialah dendam. Tetapi jikalau kita mampu mempunyai perasaan Metta terhadap musuh - orang yang pernah menyusahkan kita, menyakitkan kita, mengutuk kita, memfitnah kita, merampas harta kita, melarikan anak dara kita, membunuh saudara kita dan sebagainya - kita dikatakan mempunyai Metta yang bernilai amat tinggi. Metta sebegini tidak ramai orang yang ada. Kalau ada, tenteramlah jiwa.

Bagaimana dengan Tok Sami dan Pemimpin Persatuan Siam? Adakah mereka mempunyai Metta terhadap kaum Buddhis dan orang-orang Siam?

Kaum Buddhis sesat jalan, remaja Siam ketagih dadah, masyarakat Siam menyabung nyawa berdepan masalah kehidupan global - mereka ditimpa kesengsaraan (Dukkha) - tetapi Tok Sami berdiam diri, tiada ajaran Dhamma diajarkan, tiada bantuan wajar dihulurkan. Sebaliknya, pangkat dan darjat yang dikejar.

Pemimpin Siam turut membisu, masalah masyarakat disapu ke bawah tikar, sebaliknya perihal pribadi dijadikan agenda perjuangan.

Jiwa mereka kekeringan kerana tiada Metta. Orang-orang tiada Metta tidak patut dipuja dan dihormati.

Marilah kita saling menzahirkan Metta di kalangan umat manusia agar dunia terus aman.









10 comments:

one siam said...

sunyinya kat sini. pembaca ksb telah lari, tinggal seorang dua aje. dari dok buang masa, tutup aje blog ni, pergi buat kerja lain yang ada faedah. aku nasihat baik tak mau tuan buang masa.

Thai Lantu said...

Tuan Pena, tak sah dok ikut apa yang disuruh oleh One Sial....

Kalu teror sangat, tulislah sikit tentang Dhamma, ambo nak belajar..

Tapi kalu nak mencarot, baik belah...

fan ksb said...

dlm diam tp masih punya isi..spt org kata diam2 ubi berisi..

masih ramai yg mengikuti blog ini walo pun tak ramai yg komen..

Anonymous said...

Masih ramai lagi yg kunjungi blog ini..cuma tak buat comment saja..

Lukthai America

JST said...

Saya masih ada, buatpa tutup.

pena reformasi said...

Selagi Barami mengizinkan, saya akan terus menulis. Saya tahu siapa one siam itu ... menyorok di belakang Tok Sami pun boleh nampak ...

JST said...

Di Kedah, masyarakat Siam dah mula bersatu di bawah Persatuan Siam Kedah (PSK). Mana2 Bhikkhu yang cuba nak menentang kharawat juga sudah mula reda sebab NGO yg satu lagi sedang bergelut dengan hayatnya sendiri. Dah sampai tahap nyawa-nyawa ikan. Pihak Than Chau Khun juga mula sedar dan ingin bersua muka dengan En. Nop Nai Samrong, Timbalan Pengerusi PSK. Kami bergerak secara berkumpulan dlm PSK, kami juga akan pergi berjumpa dengan Than Chau Khun secara berkumpulan. Harap2 Kharawat dan Song dapat bersatu kembali. Bhikkhu paria kita letak kat tepi.

pena reformasi said...

(JST) Baguslah bila dapat bersatu menuju matlamat bersama.

Anonymous said...

Bagus saudara JST.

Bersatu di dalam metta dan sasana.

Kita perlu menjunjung sasana Buddha. Yang lain-lain tu tidak penting.

sk tin

Thai SIAM said...

Tak ada yang komen tak semestinya topik-topik yang diposkan itu tak mendapat sambutan.

Saya berpendapat topik-topik yang tak ada komen adalah kerana apa yang dipaparkan itu adalah bernas walaupun bukannya 100%.

Saya juga bersetuju dengan fan ksb, berdasarkan kpd nombor/indek blog KSB, memang blog ini adalah antara blog yang mempunyai ramai pengikut, terutamanya orang Siam/Thai yang ingin mendalami Dhamma, sebab itulah ada dikalangan Allaji sendiri yang cemburu.