Wednesday, May 26, 2010

Padan Dengan Muka Siam UMNO-BN

Dengarlah luahan Vicsofee: "Berdosakah saya sebagai Siam Malaysia?"


BERJAYA DALAM DUKA... (Dari kiri) Syalit Keowmani Eh Sau, Phisnukh Uttraphan Pim, Elicesa Lalitta Ea Chuan, Maleewan Perashot, Sukeht Thavil dan Vicsofee Sukahut Som mendengar penerangan daripada Boon Som Inong (kanan) mengenai kegagalan mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam SPM di Wat Siam Telok Wan Jah, Alor Setar, baru-baru ini.


BEKAS almarhum Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman ialah seorang berketurunan Siam.

Masyarakat Siam di Malaysia dianggarkan kira-kira 60,000 orang. Kehidupan mereka tertumpu di beberapa negeri utara, iaitu negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand - tanah asal mereka.

Kira-kira 2,000 (bancian 2008) berada di Perak, 6,000 (2008) di Perlis, 30,000 (2007) berada di Kedah dan 13,000 (2008) berada di Kelantan. Menurut ensiklopedia Wikipedia, secara politiknya masyarakat Siam Malaysia dikenali dengan status bumiputera, iaitu status yang sama dengan Melayu, Kadazan-Dusun, Iban dan masyarakat Portugis Melaka.

Mereka juga adalah ahli UMNO dan boleh membuat simpanan dalam saham amanah, ASB dan ASN.

Menurut ensiklopedia itu lagi, kebanyakan masyarakat itu mengamalkan cara hidup Melayu. Ini dibuktikan dalam masyarakat Siam Kelantan. Tiada siapa yang boleh meneka Melayu atau Siam jika mereka bercakap Melayu.

Kitaran masyarakat mereka sedang berkembang, dari segi intelektual dan taraf hidup. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan yang amat menyokong kerajaan BN dan penyokong kuat UMNO. Mereka boleh menjadi penentu pada sesuatu pilihan raya dalam kawasan yang kosentrasi besar masyarakat itu.

Namun apa yang saya temui mengenai masyarakat ini baru-baru ini amat mengejutkan. Apakah mereka ini tercicir? Apakah mereka ini tidak dipedulikan? Apakah anak-anak mereka yang cerdik dan pandai disisihkan?

Persoalan ini bermain di fikiran saya. Boon Som a/l Inong, rakan saya yang juga bekas wartawan agensi berita asing dan bekas setiausaha akhbar dua Menteri Besar Kedah dan menteri Kabinet, seorang aktivis masyarakat Siam, membawa saya menyelami masyarakat beliau itu.

Sayu saya melihat wajah-wajah anak- anak Siam yang cerdik pandai ini tercicir. Mereka ini adalah aset dan modal insan yang berharga bagi masyarakat itu, khasnya dan negara amnya.

Kanak-kanak ini yang amat bangga menjadi sebahagian rakyat Malaysia, belajar dalam sistem pendidikan negara. Di mana mereka ini sekarang selepas peperiksaan SPM baru-baru ini? Di masa kanak-kanak sebaya mereka bergembira dapat menjejaki ke pusat pengajian tinggi atau ke pusat- pusat matrikulasi, ke mana kanak-kanak Siam ini berada?

Sila lihat senario ini. Ia berlaku dalam negara kita ini dan dalam masyakat kita ini.

1. Vicsofee Sukahut a/p Som 921216-02-5300, SPM 2009 ( 8A 1B), SMK Bandar Baru Darul Aman - tercicir.

2. Sukeht a/p Thavil 920831- 02-5412, SPM 2009 (10A), MRSM Kubang Pasu - tercicir.

3. Maneewan a/p Perashot 920212- 02-5712, SPM 2009 (9A1B), Sekolah Menengah Sains Mohd. Jiwa, Sungai Petani - tercicir.

4. Elicesa Lalitta a/p Ea Chuan 921005-03-5146, SPM2009 (6A2B3C) SMK Tumpat, Kelantan - tercicir.

5. Syalit Keowmani a/l Eh Sau 920210-02-5727, SPM2009 (7a, 2b) SM Sains Pokok Sena, Kedah - tercicir.

Turut tercicir dan gagal mendapat sebarang tempat ialah:

Phisnukh Uttraphan a/l Pim, 900904-03-5146 memperoleh keputusan 11A SPM 2007, antara pelajar paling cemerlang Maktab Sultan Ismail Kota Bharu.

Menurut bapa Phisnukh, Pim, 57, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Siam Kelantan, kegagalan itu telah menyebabkan anaknya hilang semangat untuk belajar. Beliau terpaksa pindahkan anaknya ke sekolah lain ke Tingkatan 6, kerana Phisnukh malu untuk menghadapi rakan sekolahnya.

Pim dari Kampung Terbak Kelantan berkata, pada pemerhatian beliau tiada seorang pun masyarakat Siam Malaysia yang mendapat keputusan cemerlang Peperiksaan SPM 2009 berjaya ke pusat-pusat matrikulasi atau ke IPTA.

''Kami masyarakat keturunan Siam, yang rata-rata ahli UMNO dan layak melabur dalam ASB dan dianggap bumiputera memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan persepsi negatif tentang dasar meritrokrasi dan 1Malaysia.

''Ini kerana pelajar dan ibu bapa masyarakat Siam mengetahui bahawa rakan pelajar bumiputera setingkatan dengan mereka yang mendapat keputusan kurang daripada 5A mendapat pelbagai tawaran sama ada ke program matrikulasi, IPTA atau program Asasi Sains.

''Sebagai kaum yang memiliki taraf ekonomi dan taraf pendidikan yang masih rendah (rata-rata terdiri daripada petani dan penoreh getah) saya memohon pihak kerajaan mempertimbangkan atau memberi kelonggaran bagi pelajar keturunan Siam untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam institusi kerajaan.

Dengar suara Perashot a/l Pom, 54, pula. ''Saya amat kecewa kerana anak saya Maleewan mendapat kelulusan 9A gagal ke kursus matrikulasi dan IPTA.

''Saya tidak mampu lagi menghantar anak saya ke IPTS memandangkan pendapatan saya agak rendah dan menanggung seorang lagi kakaknya yang masih belajar di tahun kedua IPTS," kata juruteknik dari Air Hitam, Kedah ini.

Walaupun anaknya gagal. Perashot masih menaruh harapan. ''Pihak berwajib tolong semak sama ada mereka terlepas pandang. Harap masalah anak saya mendapat perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia untuk masa depan adik-adiknya kemudian.

''Anak saya belajar bersungguh- sungguh harap kerajaan tidak mensia-siakan harapannya dan cita-cita untuk menjadi seorang doktor," katanya.

Dengar pula suara Vicsofee Sukahut a/p Som, 18, dari Kampung Huma, Jalan Wang Tepus, Jitra, Kedah. Beliau mendapat 8A1B.

''Saya tidak tahu apa yang perlu saya sebutkan lagi, semuanya gagal, terserah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia mempertimbangkan permohonan saya.

''Bukan irihati dan berhasrat dengki kepada sesiapa tetapi rakan saya yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang daripada saya hampir semuanya mendapat tempat di matrikulasi dan IPTA.

''Kadang-kadang saya tertanya apakah dosa saya dilahirkan sebagai rakyat berketurunan Siam di Malaysia. Kami sentiasa mendokong dasar kerajaan, penyokong setia kerajaan BN tetapi dalam pendidikan kami dipinggirkan malah boleh dianggap dianaktirikan.

''Saya berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan dan menggubalkan kembali dasar pengambilan masyarakat Siam di matrikulasi dan IPTA. Kecemerlangan sepatutnya dihadiahkan imbuhan bukannya kekecewaan," kata bekas pelajar SMK Bandar Baru Darul Aman, Jitra ini.

Saya tergamam mendengar kata- kata gadis manis Vicsofee ini.

Saya juga tiada daya untuk membantunya dan rakan-rakan senasibnya yang cemerlang itu.

Kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan - Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia dan IPTA yang bersimpati untuk menyelamatkan potensi kanak-kanak itu. (Utusan Malaysia)


Kah ... kah ... kah ... kah ... padan dengan muka pengampu UMNO. Bapa pengampu UMNO, anak-anak jadi mangsa mainan politik perkauman. Ingat anak Samy Vellu saja tak puas hati sama UMNO. Anak Siam juga kesal dengan pemimpin UMNO yang dijulang-julang bapa mereka. Yang berdiri dalam gambar itulah pembodek nombor satu. Jawatan Senator macam mana? Najib telah terlupa ke? Tolonglah ingatkan beliau. Anak-anak Siam yang cemerlang bila besar nak jadi apa jika jawatan Senator tak ada?


Dulu siapa yang menjaja kalau anak Siam tak dapat sambung belajar, tolong beritahu kerana dia ada kabel baik. Dulu siapa yang melalak-lalak dekat kampung Siam bahawa masuk UMNO lebih baik dari masuk MCA atau Gerakan? UMNO dahan, sedangkan MCA dan Gerakan cuma ranting. Jangan masuk PAS atau PKR kerana mereka pembangkang. Maka meleleh liur basi orang Siam. Bertimbun-timbun serah borang keahlian UMNO. Jangan marah, cuma nak tanya, borang tu masuk pejabat UMNO atau masuk tong sampah?


Persatuan Siam Malaysia (PSM) ejen nombor 1 UMNO 'mengkonvert' orang Siam Gerakan dan MCA masuk UMNO. Siam PAS dan Siam PKR mereka tak boleh 'konvert' kerana Siam ini fikir pakai kepala otak. Siam yang fikir pakai kepala lutut ada yang 'konvert'. Hasilnya, Siam tetap seperti Siam.

Tapi, nak beritahu kepada yang tak tahu bukan semua Siam sokong UMNO. Ramai Siam masih jadi ahli Gerakan dan MCA. Sekarang jenuh masuk PAS dan PKR. Sikit masa lagi bakal masuk DAP. Era mengampu UMNO-BN telah berakhir. Ampu punya ampu, anak sendiri tercicir daripada pandangan kerajaan UMNO-BN.

Kalau ikut artikel di atas seolah-olah semua orang Siam ialah UMNO. Bila ada masalah mulalah merayu kepada kerajaan. Minta belas kasihan kepada pemimpin UMNO. Sekali lagi nak beritahu. Bukan semua orang Siam jenis suka merayu dan minta belas kasihan. Orang Siam bukan pemimta sedekah. Ramai antara mereka ada maruah yang tak akan merayu belas kasihan daripada sesiapa kerana mereka lahir, membesar dan mati di atas tanah ibunda mereka. Jikalau kerajaan tak menghargai jasa orang Siam selaku 'anak pribumi', itu kerajaan punya pasal. Orang Siam tak perlu merayu. Biar saja Siam UMNO yang merayu kerana mereka dididik dengan falsafah 'tongkat' UMNO.

Siam harus jadikan orang Cina atau India sebagai contoh. Dua bangsa ini tak ada sebarang hak istimewa dalam pendidikan. Mereka terpaksa bertarung dengan dasar 'Pendidikan Nasional' yang tidak adil bagi melanjutkan pelajaran. Tapi mereka berjaya. Mungkin ada yang menjawab, anak Cina kaya tak dapat IPTA, bapa mereka hantar ke IPTS. Betul, tapi tidak semuanya dari keluarga kaya. Ramai anak India dari estet yang jadi peguam, doktor, jurutera walaupun tidak 'dibiayai' oleh kerajaan. Siam harus pandang jauh ke depan. Asyik berfikir di bawah tempurung, tunggulah 100 tahun lagi Siam tetap seperti Siam hari ini - mengharapkan bantuan kerajaan daripada berdikari.

Siam harus kenal akar keturunan mereka bahawa mereka bukan bangsa yang "perlu disuap" baru boleh hidup. Siam tidak malas. Tengoklah di kampung orang Siam, tanah terbiar tak ada kerana semua diusahakan. Siam tidak pernah duduk berpeluk tubuh menunggu rezeki jatuh dari langit. Siam jadi Siam seperti hari ini kerana usaha sendiri. Tapi itu dahulu. Sekarang 'jatidiri' Siam telah berubah.

Sejak dasar subsidi diperkenalkan oleh kerajaan, Siam perlahan-lahan jadi masyarakat subsidi. Sikit-sikit hulur tangan minta bantuan kerajaan. Bahkan dalam soal pembanguan pusat ibadat atau wat, pemimpin Siam masih minta peruntukan kerajaan. Malulah sikit Siam. Wat Siam wujud sejak ratusan tahun hasil titik peluh orang Siam sendiri. Kenapa pula terpaksa 'merendah diri' minta bantuan daripada kerajaan?

Berbalik kepada masalah pelajar tercicir di atas. Lulus cemerlang dalam SPM bukan lesen masuk IPTA. Setiap tahun ramai pelajar Melayu lulus cemerlang. UMNO akan berikan mereka keutamaan kerana mereka ialah aset masa depan UMNO. Pelajar Siam? Berapa sangat nilainya. Jikalau semua undi Siam berpihak kepada BN, tak tercabut bulu hidung pembangkang. Cermin-cerminlah diri bapa-bapa dan ibu-ibu Siam.

Kalau nak merayu, melutut, menyembah UMNO, lakukanlah, tapi jangan kata semua Siam sokong UMNO. Masih ada, bahkan ramai orang Siam yang benci parti perkauman yang cakap tak serupa bikin.

Dan satu perkara, janganlah berusaha nak jadi Melayu. Cara hidup Siam walaupun ada persamaan dengan cara hidup Melayu, tapi ia bukan cara hidup Melayu. Ia cara hidup Siam. Bukalah mata sikit. Siam hidup dengan budaya dan jatidiri mereka. Jangan kerana nak bodek pemimpin UMNO, bangsa digadai, kononnya Siam adalah sebahagian daripada Melayu.

Siam tetap Siam dan akan jadi Siam selama-lamanya tanpa sedikitpun berasa kesal dilahirkan sebagai Siam. Walaupun dilayan sebagai warga kelas dua, kelas tiga atau tanpa kelas sekalipun, 'tanah semenanjung' yang menjulur dari Tanah Besar yang dipanggil Malaysia ini adalah tanah ibunda orang Siam sejak sebelum kedatangan penduduk dari Jawa, Sumatera, Cina, India mahupun Timur Tengah.





Add to  Google

9 comments:

Thai SIAM said...

Ambo setuju 101%, kite tunggu PRU- 13, berapa kerat Siam yang X BN..

Kawe baru hantar anak buah (Anak SIAM yang gagal masuk IPTA) SPM 2009 score 9AB1 masuk TAR kolej ambik kursus A level (sponsor 100%). Yang malangnya di TAR kolej,isu perkauman masih tebal, nampak muka macam khek, mereka kata khek sesat. Nasib baiklah anak buah kawe ni boleh kecek Cina..

putera siam said...

Bun Som ooi, hang takleh nak menolong ke? Dahulu kata kenal pak manteri. Karang pak mankera pun dah tak pandang ke?

Anonymous said...

Hangpa x kenai ke Bun Som tu?? Pi jumpa dia buat apa??...waris bon sum

Anonymous said...

Siam tetap SIAM itu saya sangat setuju......Tapi sebelum saya mula bercakap lebih lagi, janganlah menuding jari kepada siapa..Bon Som ka sapa ka?? Dia cuma akan tolong sekadar yang dia boleh, dia bukannya menteri..OK. Masyarkat Siam dari dulu lagi memang kena bersaing dengan Cina dan India untuk masuk ke Universiti, ini kerana Siam tak ada pun dalam kolum bangsa kat Malaysia ni, cuma yang ada lain-lain....Ha Haaa spesialkan, Ini sebab orang Siam dia bising sekejap saja lepas tu lupa la dan tak ada yang nak menyibuk membawa perkara ini kepada pengetahuan yang sepatutnya tahu. Sikap orang Siam yg kuat berusaha memang tak dapat dinafikan...Oleh itu pada pandangan saya lah..pihak yang berkenaan patut fikirlah dan bagi lah peluang sama rata dalam proses pendidikan ini kerana anak anak ini tak tahu apa pun pasal politik. Fikir dan bangun lah wahai Siam, janganlah menyalah sesama insan dalam perkara ini, tanyalah kepada pemerintah negara yang menyebabkan benda ini berlaku.....Sekian
Khon Siam

Anonymous said...

Buke nok menyangkal...tapi nok woyak kok seg-seg Sie ni kenolah berdikari...memperbaguskan diri......kalu doh setakat dapat A tok seberapo mengharap masuk IPTA tu meme lah tok leh...hok lain dapat IPTA biar A tok seberapo jugo tu lainlah cerita dioghe,dio tu 'keno bantu'.Kito oghe Sie pulo...?Nok guno 'tongkat' serupo demo jugo ko...?Jange memalukan namo Sie......keno ado 'evolution',mungkin kito patut tukar namo Sie jadi Thai dok...?Pengertiannya lebih berbeza,maksudnya lebih kepada kebebasan...Jadi,kito oghe bebas ni nok lagi ko 'tongkat' tu...?Buang jelah,kito siap boleh terbang lagi......!Hok dapat straight A tu tak dapat takpo lah,bagi sayo ni mesti belum cukup bagus lagi ni...kenolah usaha lagi,jadi hok terbaik kebangsaan baru layak salayak-layaknya 'complain' pasal kelayakan...!Jangan harap diberi 'tongkat' je......Tapi kan, tok patut jugo demo tok bagi 'tongkat' langsung kok kito...1 Malaysia...!Hang pikngiak lah sendighi yo...!

Anonymous said...

Klu yang stakat SPM 5a,6a x dapt pi IPTA tu kira biasala sbb kita ni org siam..tapi kalau dah 11A dan 11A1 pulak mcm Pissanuk tu.. tak dapat ke IPTA dah kira kes naya!!!!...

Anonymous said...

Hari itu dalam tv1 ada sorang adun di kedah kata orang siam ialah bumiputera dan berhak mendapat keistimewaan spt bumiputra.

tetapi mengapa masih berlaku keciciran?
ini menunjukkan double standard.
ada orang cuba menjadi Napoleon kecil dalam sistem pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Mereka cuba buat undang-undang dan peraturan sendiri.

Kerajaan pula cakap saja lebih. Adakah saudara saudari sekalian percaya bahawa rasuah dan segala penyelewengan dapat dihapuskan? Lihatlah pemimpin2 kita sendiri. Cakap tak serupa bikin.

sk tin

pena reformasi said...

Cakap orang politik tak lebih dari retorik politik. Hakikatnya dalam Perlembagaan Persekutuan, "orang Siam" tak termasuk dalam kumpulan Bumiputera/Pribumi.

Anonymous said...

teringat kawan aku siam, aku ni melayu.....kitorang sama cikgu2 tolong dia isi borang matrik, nak kasi mudah diterima masuk matrik..kitorang letak bangsa melayu walau pun nama siam...alhamdulillah, dia dapat masuk matrik. skrang ni dia sambung ijazah sarjanamuda senibina