Friday, June 25, 2010

Jangan Heret Sami Ke Pelimbahan Politik

PM Thailand (mantan) sedang memberi penghormatan kepada sami. (Sami kita pula "menyembah" pemimpin politik)



(Sami-sami campur urusan politik. Hal ini sudah lazim bagi sami Burma. Kini berjangkit ke Thailand. Di malaysia keadaan begini belum wujud, tapi bibit-bibitnya mula muncul.)


Sewaktu sami Myanmar beramai-ramai memenuhi Kota Yangon kerana membantah dasar junta tentera, kita geleng kepala kerana sami tak patut campur urusan negara. Tapi apabila sami-sami itu ditembak mati, kita tetap simpati. "Kejam betul tentera Myanmar, dengan sami pun ditembak!"


Apabila sami Thailand naik ke pentas Baju Merah di kota Bangkok tempoh hari, kita juga geleng kepala. Sami kita di Malaysia pun turut geleng kepala sebagai tanda protes. Dalam hati berkata: "Sami apa main politik, lawan kerajaan!"


Di negara kita, sami kita juga main politik. Kita bukan setakat geleng kepala, tapi kita bantah, kecam dan kutuk. Hasilnya, habuk pun tiada. Sami masih giat dalam politik. Politik di sini ialah politik kepartian. Sami main politik boleh dibahagikan kepada dua ketegori. Pertama, main politik secara sengaja dan penuh sedar. Kedua, main politik secara tak sengaja dan tak sedar. Kedua-dua kategori ini dipengaruhi oleh pemimpin Siam kita sendiri.


Sesetengah sami umpama lembu cucuk hidung yang talinya di tangan individu yang bernama pemimpin masyarakat. Mereka boleh diheret ke sana, ke sini, termasuk ke pelimbahan politik. Kesian sami, terutamanya yang terperangkap ke pelimbahan politik tanpa sedar. Pokoknya, sedar atau tak sedar, kesannya kepada institusi agama dan masyarakat Siam tetap sama. Kita bakal menerima kesan "balas dendam" daripada parti yang kita belakangi kerana dunia politik penuh dengan dendam kesumat.


Apakah yang dimaksudkan dengan "sami main politik" sebagaimana yang dihebohkan? Di sini saya senaraikan beberapa keadaan yang boleh dikategorikan sebagai "sami main politik" (kepartian), antaranya ialah:


1. Sami mengeluarkan kenyataan menyokong atau mengutuk mana-mana parti politik.


2. Sami minta masyarakat (Siam) menyokong atau mengundi mana-mana parti politik.


3. Sami pergi ke majlis politik, perhimpunan politik, perjumpaan politik atau apa-apa sahaja yang diadakan yang mempunyai matlamat politik kepartian.


4. Sami naik ke pentas perhimpunan politik atau majlis politik dan memberikan ucapan menyokong mana-mana parti politik dan pada masa yang sama menentang parti politik yang lain.


5. Sami berkempen untuk individu atau parti politik sewaktu pilihan raya.


6. Sami merelakan diri diperalatkan oleh orang politik demi kepentingan politik kepartian.


7. Sami berbual atau bercakap tentang politik (sami sepatutnya bercakap tentang Dhamma). Percakapan sami kemungkinan mempengaruhi masyarakat.


8. Sami menerima peruntukan atau duit daripada individu atau parti politik yang diberikan dengan niat politik (cari pengaruh politik).


9. Sami memberi sagu hati kepada individu politik dengan niat politik (agar individu politik itu rekomen pingat/darjah kehormatan seperti Dato, Tan Sri kepada diri sendiri atau kroni-kroninya).


Dalam konteks sistem politik Malaysia, sami begitu mudah terjebak ke kancah politik kepartian. Kerajaan pusat diperintah oleh Barisan Nasional. Beberapa kerajaan negeri diperintah oleh Pakatan Rakyat. Saya ambil contoh Kedah dan Kelantan. Kedua-dua negeri ini diperintah oleh PAS. Maksudnya PAS adalah kerajaan yang sah bagi Kedah dan Kelantan. Barisan Nasional (Umno) adalah pembangkang. Kita harus fahami perkara ini. Kita jangan keliru dengan media yang cuba membodohkan kita yang sering mengatakan PAS/ Pakatan Rakyat adalah pembangkang apabila bercakap dalam konteks politik Kedah/Kelantan.


Sami harus berhatiu-hati. Sebagai anak negeri kita mesti sokong kerajaan yang memerintah negeri kita. Anak negeri Kedah mesti sokong kerajaan PAS Kedah. Anak negeri Kelantan mesti sokong kerajaan PAS Kelantan. Walaupun mereka bukan ahli PAS, tetapi oleh sebab PAS adalah kerajaan negeri yang sah, anak negeri mesti sokong. Sokong di sini bukan bermaksud mengundi, tetapi sokong dasar-dasar yang dijalankan oleh kerajaan negeri.


Selain itu, selaku rakyat Malaysia kita juga terikat dengan kerajaan pusat. oleh sebab kerajaan pusat ditadbir oleh Barisan Nasional, kita juga mesti sokong BN. Sokong di sini juga bukan dalam bentuk undi, tapi sokong dasar-dasar kerajaan. Soal mahu undi mana-mana parti, terpulang kepada individu masing-masing. Atau kiranya kita pilih untuk memihak kepada mana-mana parti (BN atau PR) tanpa mempedulikan sistem negeri/pusat, terpulang kepada cita rasa masing-masing kerana kita diberikan "kebebasan" untuk memilih.


Tapi sami tak ada "kebebasan" ini. Sami tak boleh memilih untuk memihak kepada mana-mana parti politik, kerajaan negeri atau kerajaan pusat. Jikalau sami memilih untuk memihak, bermakna sami telah main politik. Sami mesti sokong kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Sami tak boleh sokong kerajaan pusat dan kutuk kerajaan negeri atau sebaliknya. Vinai (Peraturan) sami tidak membenarkan sami memihak kepad mana-mana parti politik.


Sami Kelantan misalnya boleh melahirkan sokongan kepada DS Najib Razak kerana beliau PM kita, atau melahirkan sokongan kepada TG Nik Aziz kerana beliau MB kita. Tapi sami tak boleh melahirkan sokongan terhadap Umno atau PAS kerana itu parti politik. Sami harus bijak membezakan antara pemimpin politik kepartian dengan pemimpin kerajaan (negeri/pusat). Jangan tersalah kerana buruk padahnya.


Lagi satu hal, kebanyakan Wat Siam di Kelantan (Kedah?) tiada geran tanah kerana tanahnya tanah wakaf. Soal tanah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri. Jadi, Wat Siam dibina di atas "hak milik" kerajaan negeri. Oleh itu, tidak elok jikalau ada sami menyokong kerajaan pusat sahaja dengan membelakangkan kerajaan negeri.

Contoh, apabila terdapat sami Kelantan naik ke pentas politik, bercakap berdegar-degar menyokong parti Umno dan pemimpinnya, bermakna sami itu telah memilih untuk memihak. Apakah perasaan kerajaan negeri yang dikuasai PAS? Jangan lupa tanah Wat adalah tanah wakaf? Masyarakat Siam, terutama pemimpin Siam harus ingat perkara ini. Jangan heret sami masuk ke pelimbahan politik. Sokong kerajaan tidak salah, malah digalakkan tapi jangan sokong kerajaan pusat saja. Kerajaan negeri juga mesti disokong.


Saya tulis hal ini kerana tak mahu sami dan institusi agama Buddha (Siam) ditimpa bencana balas dendam politik. Kita harus sedar bahawa negara kita mengamalkan politik "menghukum" terhadap musuhnya. Kita tidak boleh menjadi "musuh" kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. Seeloknya sami-sami kita memilih UBEKKHA (tidak memihak) dalam soal politik kepartian. Sekiranya dianjurkan perhimpunan politik, sami tak patut pergi. Malah perhimpunan politik tak patut diadakan di dalam Wat Siam.


Pemimpin politik dan pemimpin Siam tak sepatutnya menggunakan sami untuk kepentingan peribadi. Jangan jadi seperti pemimpin anjing yang gemar membawa kawan-kawan anjing pergi kejar itik-itik di bendang. Akhirnya kena tuan itik tembak mati.


Saya respek dengan pemimpin Siam Kg Terbak, Tumpat, Kelantan yang mengadakan "Pemimpin Bersama Rakyat" dengan Ku Li lewat tahun 90-an. Mereka tak buat di dalam wat, tapi di padang sekolah berhampiran. Sami juga tidak dijemput berucap. Hanya pemimpin Siam yang berucap berdegar-degar kutuk PAS (Kerajaan negeri). Tapi tak mnegapa, pemimpin Siam itu bukan seorang sami. Dia orang politik. Perhimpunan pula bukan dalam Wat Siam. Ini teladan yang bagus. Penganjurnya tidak mencampur-adukkan antara politik dan agama (sami). Orang kata politik itu kotor. Agama Buddha pula suci. Apabila politik dicampur-adukkan dengan agama Buddha, apa yang terjadi?


Saya tidak berniat untuk kritik sesiapa atau mana-mana pihak. Siapa mahu aktif dalam politik mana-mana parti, dipersilakan. Berpolitik kalau kena dengan caranya ada kebaikannya. Tapi, janganlah heret sami "bercemar diri" dengan kotoran politik.


Kekal UBEKKHA adalah pilihan terbaik bagi sami-sami Siam agar dipandang tinggi dan dihormati oleh semua parti politik!




































12 comments:

Anonymous said...

tabik brader ... balun jangan tak balun. gomol jangan tak gomol. yam seng ksb!!!!

monkey siam

ruam thai said...

Ambo lemah lutut dengar Than Tit kecek depan PM hari itu .. berbau politik!

Thai SIAM said...

Ucapan/kata-kata Phor than (Tok Cha/Sami) lebih power dari ucapan pemimpin Siam, tak kiralah dari wat latan @ kedoh..

Sebab itulah jika pemimpin politik @ orang besar nak jumpa orang Siam, tempatnya memang diadakan di wat. Bukan apa khun pena, semua kemudahan yang diperlukan sudah sedia ada, khemah, kerusi, meja termasuklah dapur, pinggan mangkuk. Tak perlu sewa, boleh jimat belanja, bolehlah masuk tabung/tin/botol...

Lagi satu, kebanyakkan kegiatan @ aktiviti orang siam diadakan di wat, termasuklah pertunjukkan amal/tak amal.

Bagi saya, kebanyakkan pemimpin Siam tak ambil berat sangat tentang akibat daripada penglibatan sami atau institusi keagamaan dalam arena politik, yang penting hasrat/tujuan mereka tercapai.

Manakala sami pula harus berhati-hati, jangan sampai dikalangan merekapun pun berpuak-puak kerana berpolitik....kesian kat orang kampung yang menyara....

Anonymous said...

main politik kena cerdik, main bodoh hancus semua. apa pun jangan sampai peralatkan orang siam serta agama buddha demi pentingkan diri sudahla.

khan eng

Anonymous said...

Sami memang tidak boleh terlibat dalam politik. saya sokong 100%. memang itu dasar agama Buddha.

tetapi dalam hal-hal dasar yang melibatkan kemanusiaan, saya rasa boleh. Atas nama kemanusiaan.
Bhagava Buddha sendiri pernah menghalang bala tentera seorang bekas putera kaum Sakya untuk menyerang kaum Buddha itu. Dasar Buddha ialah kemanusiaan. Untuk mengelakkan pertumpahan darah.

Di Myanmar itu, junta tentera telah lama memerintah dengan kuku besi, namun sami hanya berdiam diri, cuma beberapa tahun ini, mereka bangkit kerana tidak tahan melihat kekejaman yang berleluasa.

Di Thailand pula, itu satu kesalahan kerana sami berpolitik. mereka sokong kumpulan berbaju merah. Memang jelas salah.

Di Malaysia, sami boleh membangkitkan tentang kebajikan rakyat dan kemudahan untuk agama buddha. Tidak salah bagi saya.
Tetapi apabila bercakap hal-hal politik, memang salah.

sk tin.

JST said...

Di Kedah pon sama. Aku anjur majlis dgn EXCO Kerajaan Negeri utk serah derma. Ada juga sami pi kempen seluruh Kedah jgn bagi org mai ambik derma. Call dgn hp lagi tu. Time khaophansa setiap Wanphrak depa masuk Ubosot Suatpatimok. Depa guna kesempatan dlm ubosort utk nasihat semua sami benci saya. Bukan semua sami, sorang dua je yg diperalatkan oleh bekas Senat utk memporak-perandakan kaum Siam di Kedah. Dah sampai tahap parah...

bekas sami said...

Masuk sami untuk praktis dhamma untuk dapatkan nippan. kalu asyik main politik bila masa nak praktis dhamma. biarlan layman yang main politik. sami tak perlu main politik. pilih jalan tengah tak masuk pihak mana paling baik bagi sami. saya setuju dengan tuan pena. sami jangan bagi parti politik benci.

Anonymous said...

Kalu sami tak main politik tak ada power pula,kat kelantan puak siam nak ajak tok sami main politik.Puak siam kelantan tak cukup power nak ajak PM ke kelantan,tumpang parami tok sami aje.
dengarnya ...tengah rebut2 wang rm 200,000 pula.Puaknya nak buat ada kuasa,tak mau pakai duit untuk bahasa siam pula...khabarnya...wanita geng dengan puak lelaki geng tengah rebut2 duit tu..kesian tok sami kena dok tengah2 puak ni pula.
siam kel

Anonymous said...

rebut pitis? belum dapat dah rebut ke? bewok sungguh baka siam mata duitan ni. reti rebut pitis saja.

pm pi kelantan bukan kerana kemaruk nak tongkat tok sami. pm nak buat apa dengan tongkat. nak buat tilik nasib ke?

adun kawasan tu yang bawa pm pergi wat jubakar. harap orang siam dan tok sami kelantan, pm tak pergi.


siam kacukan

Anonymous said...

Ada satu kg dikedah..tak usah lah saya nyatakan nama kampung tu kat sini sudah kacau bilau pasal orang kampung guna sami untuk main politik. Kg tu dah ada dua puak sekarang.Satu puak ketua kampung{ juga mewakili bomoh} satu lagi puak sami.Puak bomoh melarang konco konconya masuk wat tanpa memikir baik buruk kesannya pada anak anak mereka.Puak sami pula tak fikir berpolitik kat wat adalah salah. Saya kesian anak cucu mereka.Wat adalah tepat untuk buat pahala..tapi jika datang hanya nak bercakap hal politik dan bergossip..macam mana anak anak nak pelajari tentang agama?

Anonymous said...

minta semua kembali kepada landasan ajaran Buddha.

Tingkatkan amal kebajikan dan baik sangka antara kita.
Di mana-mana ada kebaikan dan keburukan. Pilih yang baik dan tinggalkan yang buruk. Bercakap lebih banyak kebaikan.

Tuan pena boleh tunjukkan mana wat-wat yang akur menjalani ajaran Buddha. Pembaca juga boleh tunjukkan jalan.

Kepada saudara JST, teruskan beramal dan kerja-kerja yang baik. Selagi kita di jalan yang lurus, Buddha dan kebaikan akan bersama kita.
Karma tidak pernah menyeleweng, hanya kita yang tidak mahu memahaminya.

sk tin.

Anonymous said...

Aku nampak KSB dan JST dianggap sebagai musuh kpd Sami. Nasib baik KSB tiada siapa kenal tapi JST semua org kenal. Terang2 mereka kata JST anti sami. Tak kira di mana mereka berjumpa mereka akan sebarkan maklumat JST anti sami. Ada yg kata, org kampung sendiri pun takleh terima dia. Allahualam.. Kes 21 buah rumah kg JST yg dok tanah org pun JST balik bantu... Sabar je la JST. Teruskan perjuangan anda.