Friday, July 2, 2010

Di Mana Akan Kita Cari Ganti?

Saya pernah bersembang dengan veteran Siam keturunan Kelantan yang telah lama menjadi warga Kuala Lumpur. Beliau mengatakan generasi Siam Kelantan sekarang rugi kerana tidak sempat melihat sami-sami yang baik. Sami-sami ini bukan sahaja dihormati orang Siam, bahkan orang Cina dan Melayu serta orang istana hormat kepada sami-sami (beramalan) mulia ini.

Pembesar-pembesar negara dahulu apabila datang menziarahi sami-sami di wat, mereka akan masuk menghadap penuh sopan, tertip dan beretika. Mereka tahu membezakan "kedudukan" sami dengan orang biasa. Oleh itu, mereka termasuk orang istana tidak pernah "merendahkan taraf" sami.

Sami-sami mulia yang dimaksudkan itu antaranya ialah Luang Phor Kron (gambar), Than Kru Kew, Than Deng, Than Lek, Than Lung, Than Chau Khun Chan dan lain-lain yang kesemuanya telah meninggal dunia. Sami-sami ini tidak kenal politik. Mereka hanya kenal "kebajikan masyarakat" iaitu membantu orang yang dalam kesusahan (Dukkha), kesempitan, dan kesakitan fizikal dan mental. Selain mengamalkan Dhama-vinai dengan ketat, fokus utama mereka ialah "melepaskan manusia daripada Vatta Samsara". Keperluan diri diletakkan di belakang.

Bantuan mereka bukan sahaja percuma, malah disertakan Dhamma sebagai penguat semangat. Mereka ini daripada aliran Vipassana secara langsung (kecuali Chau Khun Chan, seorang Maha Parian).

Luang Phor Kron (Bangsek) ada buat Phra Pitta manakala Than Lek (Aril) ada buat takrut (tangkal). Barang-barang ini tidak dijual, melainkan diberikan secara percuma atau "thambun sekadar yang mampu". Luang Phor Kron juga ada menghadiahkan Phra Pitta kepada sami atau orang kampung yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Nak Dham. Inilah sebabnya "barang" luang Phor Kron dan Than Lek "saksit" kerana diberikan secara percuma. Maksudnya tiada benih "ketamakan" di dalam benda-benda tersebut. Orang yang memberi berhati bersih dan ikhlas kerana tidak fikirkan keuntungan.

Than Long pula terkenal dengan "ubat-ubatan" akar kayu. Nama Than Long tersohor ke seluruh bumi Kelantan. Walaupun era kegemilangan beliau terjejas sedikit kerana fitnah, tetapi pembuat fitnah telah menerima Karma berat setimpal dengan perbuatan mereka.

Berbeza sekali dengan sami-sami sekarang. Sudahlah amalannya boleh dipersoalkan, "barang" yang dibuat pula dijual dengan harga ratusan dan ribuan ringgit. Bagi orang miskin, mati hidup balik belum tentu mampu membelinya. Jikalau betul-betul baik, mahal pun berbaloi, tapi ini semuanya menipu belaka.

Masa merancang hendak buat "barang" tersebut, sama ada Somdej, Phra Pitta, tongkat, takrut dan sebagainya, benih ketamakan sudah meresap masuk kerana fikiran asyik fokus pada keuntungan yang bakal diterima daripada hasil jualannya. Masa upacara "Buddhapisek", hati tidak tenang kerana terganggu oleh RM-RM-RM. Bagaimana "barang suci" akan baik jikalau diselaputi RM-RM-RM.

Bukan saya reka cerita, tetapi inilah hakikat yang diberitahu oleh seorang Luang Phor bertaraf "kaycik acarn". Beliau beritahu saya bahawa "barang" yang diberikan percuma paling baik kerana terhasil daripada keikhlasan dan kesucian hati tanpa perasaan tamak.

Sami-sami sekarang juga kurang mengambil berat tentang kebajikan masyarakat. Jauh sekali ingin membebaskan manusia daripada Vatta Samsara. Mereka terlalu fokus kepada (kepentingan) diri sendiri.

Generasi sekarang memang kerugian kerana dilahirkan berlainan zaman dengan sami-sami yang mulia. Oleh sebab mereka tidak pernah jumpa sami mulia, maka sami cacamarba pun dikatakan mulia. Umpama orang yang tidak pernah nampak permata tulen, jumpa permata palsu dia kata tulen. Dipakainya penuh badan. Orang yang kenal permata tulen akan berkata dalam hati: "Orang gila, bangga dengan permata palsu!" Apakan daya kerana mereka tidak pernah kenal yang tulen. Sekarang ini permata tulen hampir mustahil dicari.

Sami-sami sekarang, kata veteran Siam itu sekadar "indah khabar dari rupa". Jadi, sami-sami mulia ini, di mana akan dapat kita cari ganti?

No comments: