Saturday, July 24, 2010

Jaga Diri, Bukan Jaga Dunia

Baginda Buddha yang mulia lagi suci mengajar kita bahawa tiada sesiapa dapat menolong kita melainkan diri kita sendiri.

Pepatah dalam bahasa Pali: Attahik Attano Natho yang bermaksud "kitalah pelindung diri kita" harus difahami dengan bijak. Hanya "kita pelindung diri kita" kerana tiada orang lain atau kuasa lain yang mampu melindungi kita. Melindungi kita daripada apa? Melindungi kita daripada kesengsaraan. Melindungi kita daripada dihumban ke dalam neraka. Melindungi kita daripada dilahirkan ke alam yang lebih rendah daripada alam manusia.

Dalam pengertian yang luas Attahik Attano Natho bermaksud kehidupan kita; sengsara atau bahagia, sakit atau sihat, gagal atau berjaya, miskin atau kaya, dihormati atau dikeji dan sebagainya hanya bergantung pada kita sendiri. Hanya kita yang mampu mencorakkan kehidupan kita yang sebenar. Orang lain; kawan-kawan, keluarga, masyarakat hanya pembimbing.

Begitu juga dengan Baginda Buddha. Baginda cuma penunjuk jalan. Keputusan akhirnya di tangan kita sendiri.

Seorang Brahmana pernah bertanya kepada Baginda berapa ramai Baginda berjaya melepaskan manusia daripada kebelengguan sengsara?

Buddha menjawab secara perumpamaan. Manusia umpama sekawan lembu di dalam kandang. Pintu kandang telah dibuka, terpulang kepada lembu sama ada mahu keluar atau tidak. Baginda tidak boleh paksa. Ini menunjukkan bahawa keputusan untuk keluar daripada kesengsaraan terpulang pada kita sendiri. Orang lain hanya pembimbing atau penunjuk jalan.

Bagaimana jikalau kita tidak mahu keluar? Jawabnya kita akan berada dalam kandang selamanya sehingga kita sudi untuk keluar.

Buddha tidak memaksa kita, apatah lagi menghukum kita. Buddha Maha Pengasih. Baginda tidak akan menghukum umatnya yang tidak patuh kepada ajarannya. Baginda cuma mengingatkan bahawa hukum Karma ialah hukum alam yang tidak akan berubah. Tiada sebarang kuasa yang mampu mengubah hukum Karma. Oleh sebab itulah, siapa yang berbuat baik akan menerima hasil baiknya. Sesiapa yang berbuat jahat akan menerima hasil jahatnya.

Buddha juga mengajar kita menjaga diri, bukan menjaga orang lain. Sepintas dengar seolah-olah kita diajarkan mementingkan diri. Tidak sama sekali. Menjaga diri di sini bermaksud kita mesti mengawal indera kita iaitu mata, telinga, hidung, lidah, badan dan hati. Keenam-enam indera inilah pintu segala kejahatan dan kebaikan. Kita mesti memasang penapis pada mata, telinga, hidung, badan dan hati agar segala keburukan di luar tidak masuk ke dalam diri.

Misalnya, apabila mata kita terpandang wanita berpakaian seksi, kita mesti segera mengawal hati kita agar tidak tergoda. Kita mesti memasang penapis pada mata agar ia melihat wanita itu sebagai "objek biasa", bukannya objek yang meruntun nafsu. Kita tidak boleh menjaga atau mengawal wanita tersebut. Bukan seorang wanita berpakaian seksi sekarang ini. Jumlahnya tidak terbilang. Mampukah kita meminta kesemua mereka berpakaian sopan?

Begitu juga dengan perkara lain. Internet dikatakan sumber keruntuhan akhlak remaja masa kini. Bahan-bahan lucah mudah didapati daripada internet. Mampukah kita mengawal internet? Tentulah tidak mampu. Jadi, kaedah terbaik ialah mengawal indera kita.

Orang lain atau dunia luar terlalu rumit dan sukar dikawal. Godaannya 1001 macam. Konsep "menjaga orang lain" adalah terlalu sukar dan hampir mustahil untuk berjaya. Apabila wanita seksi menggoda kita, kita minta wanita berpakaian sopan; apabila bahan lucah menggoda kita, kita arahkan internet ditutup; apabila bola sepak piala dunia mengganggu kita, kita minta dibatalkan perlawanan; apabila TOTO mencuit ketamakan kita, kita mohon pusat jualan TOTO ditutup; apabila tomyam melelehkan liur kita, kita takut gemuk lalu minta kedai tomyam diharamkan; apabila restoran dibuka masa kita diet, kita cadangkan restoran ditutup; apabila ada kedai jual arak di depan rumah kita, manakala kita pula tidak minum arak, kita piket minta ditarik balik lesen; apabila ada orang ajarkan ajaran sesat, kita tangkap orang itu; dan banyak lagi contoh yang tidak habis ditulis biarpun dijadikan langit sebagai kertas. Kita tidak mamu mengawal orang lain. Kita hanya mampu mengawal diri sendiri.

Kaedah "mengawal dunia" agar selari dengan kehendak kita tidak akan berjaya sepenuhnya. Kuasa kita terhad. Kita hanya mampu mengawal secebis sahaja. Oleh itu, kita mesti mengawal diri kerana kita berkuasa penuh ke atas diri kita.

11 comments:

Anonymous said...

tuan pena bukan sami tapi tulisan dhammanya ada kalas tersendiri. syabas tuan. saya peminat setia blog ksb. biar orang kata apa tak payah pedulikan. usaha tuan mulia dari sami-sami mata duitan yang tau menipu ang pau orang tapi tak tau ajar dhamma.

budak kelate

Anonymous said...

Memang betul hanya diri kitalah penyelamat kepada diri kita sendiri.

Buddha pada mulanya enggan mengajarkan Dhamma kerana beliau tahu manusia biasa tidak akan memahaminya apatah lagi untuk mempercayainya.
Memang orang yang menuju ke nibbana itu sedikit. Demikian juga orang-orang yang berada di jalan yang lurus.
Buddha mungkin tidak menjangka seluruh dunia akan mengikut jalan nibbana. Kerana Bhagava tahu bahawa manusia masih kuat dibelenggu oleh dosa, moha dan tanha.

Oleh itu, tidak usahlah kita cuba mengubah dunia melainkan diri kita sendiri dan orang-orang yang mahu mengikut jalan yang benar.

sk tin.

Anonymous said...

Maha Virak bertanya kepada Phra Saribut Dalam dunia ini orang cerdik pandai dengan orang bodoh siapa banyak? Phra saribut jawab kata orang bodoh lebih banyak.
Maha Virak jawab kata biar orang bodoh duduk dengan beliau,orang cerdik pandai pergi berguru dengan Buddha.
1siam1wawasan

Anonymous said...

Saya sangat setuju pendapat budak kelate dan sk tin.

Saya dapat lebih banyak pengajaran dari blog ksb dari tempat lain.
Rasa kalau Tuan pena jadi sami..ramai orang akan pengikut belieu. Sayang beliau bukan sami sebab itu pendapat beliau dipandang dingin oleh sesetengah masyarakat. Encik SK Tin juga sangat arif dalam agama. Rasa rasanya Tuan pena dan Encik sk tin ni pernah jadi sami.Betul tak tekaan saya?

Lukthai america

pena reformasi said...

Betul tekaan Lukthai amerika.

Anonymous said...

Aku ni bukan reti sangat hal-hal agama ni..tapi aku rasa istilah "sami" yang diguna untuk merujuk kepada "phrak" tak berapa sesuai..aku rasa istilah "Bhikku" lebih sesuai sebab sami lebih kepada agama hindu..sami dlm hindu aku rasa buleh kahwin..klu salah tlg betulkan...sedangkan Bhikku x leh kahwin..

..kor ar kar..

pena reformasi said...

(kor ar kar) Memang betul apa yang anda katakan. Istilah "sami" tak tepat digunakan kepada Phrak. Istilah Bhikkhu paling tepat. Saya gunakan istilah "sami" kerana orang Siam sudah biasa dengan istilah tersebut.

Di Indonesia mereka gunakan Bhikkhu/Bhikkhuni. Kita patut mencontohinya.

Anonymous said...

Takat baca buku pastu mai tulis blog sapa pun boleh buat. Kalu terror napa tak masuk sami sampai mati. Arak dalam darah belum habis, nak tulis dhamma. Sedarlah kau tu sapa nak ajar dhamma. Phra Maha kampung aku pun tak lagak pandai seperti kau. Aku tau kau tak siar tulisan aku, tapi takpa aku puas boleh luah hati.

Anonymous said...

Untuk encik yg tengah sasau (july 29.2010 11:11 pm) kat atas tu..Tuan pena bukan nak mengajar,beliau cuma tulis pendapat dan pengetahuan beliau agar kami yg jahil ini boleh boleh belajar serba sedikit.

Beliau tak paksa siapa pun untuk baca blog ini jadi jika encik tak suka apa yg beliau buat..tak usahlah masuk blog ini. Beliau tu manusia biasa bukan buddha atau tuhan jadi jika dahulu dia kaki judi ke ,kaki mabuk ke atau kaki perempuan sekali pun sekurang- kurangnya beliau sudah sedar tulah adalah satu kesalahan dan cuba untuk memperbaiki diri. Tak ada manusia yg sempurna didunia ini. Saya bukan mahu macam campur urusan encik jauh sekali untuk cari gaduh, cuma saya rasa adalah salah encik mengungkit tentang arak atau latar belakang Tuan pena atau sesiapa pun.Pak long saya dulu kaki minum ,setiap hari mabuk tak ada hari yg beliau tak minum tapi semenjak bonda saya meninggal 30 tahun lepas beliau berhenti minum dan jadi sami sampai sekarang. Jadi haruskah kita menghemtam beliau juga hanya kerana latar belakang beliau tak seindah dan wangi yg kita mahukan?

Jadi tak usahlah encik sakit hati dengan apa yg Tuan pena lakukan..kang nanti encik sakit jantung pula..siapa pula yg susah..encik sendiri juga LOL!

Peace and blessing always..

Lukthai america

Anonymous said...

KEPADA ANON 29 JULY 11:11

Memang patut tuan pena tak siar tulisan saudara kerana saudara tak patuhi syarat iaitu kena ada nama.

Kalau saudara berani silalah tulis nama penuh dan asal kampung mana.

berbudaya sedikit jangan jadi macam orang tak bersekolah.
Tak berpelajaran.

sk tin.

pena reformasi said...

Terima kasih kepada para sahabat yang terus memberi sokongan kepada KSB.

Kepada yang tidak senang dengan kehadiran KSB atau berdendam kepada penulisnya secara pribadi, saya AHOSIKAM sempena masuk Phansa ini.

Marilah kita sama-sama masuk Phansa!

Sathuk! Sathuk! Sathuk!