Thursday, July 22, 2010

Kematian Bukan Pengakhiran Kehidupan

Sering kita mendengar ada orang yang dalam kesusahan akan merungut begini: "Dari hidup menderita begini, mati lebih baik!"

Persoalannya, kematian bukan pengakhiran kepada penderitaan. Penderitaan akan terus wujud walaupun orangnya telah mati. Dalam agama Buddha, penderitaan (Dukkha) seseorang akan terus wujud dari satu kitaran kehidupan ke satu kitaran kehidupan yang lain.

Pendek kata, manusia sebenarnya "tidak mati" walaupun dia sudah tidak bernafas dan badannya sudah reput. Kehidupan manusia adalah satu tranformasi daripada satu bentuk ke bentuk yang lain. Kematian adalah pengakhiran daripada "bentuk lama" dan permulaan kepada "bentuk baru".

Manusia sebenarnya tidak tahu bilakah kehidupan pertamanya bermula. Kita mungkin pernah melalui beratus kehidupan lampau, atau sekarang baru kehidupan pertama kita. tiada siapa yang tahu. Begitu juga dengan kehidupan terakhir. Tiada siapa tahu. Jikalau kita berusaha sehingga mencapai tahap kehabisan Karma, tahulah kita bahawa kehidupan kita telah berakhir. Umpama biji benih yang tidak akan bercambah lagi. Itulah Arahant.

Hari ini kita dilahirkan dalam "bentuk" manusia kerana dalam kehidupan yang lepas kita melakukan Karma yang layak untuk kita dilahirkan sebagai manusia. Untuk dilahirkan sebagai manusia bukan senang kerana kita mesti mengumpulkan Karma baik. Selepas nafas berhenti, badan hancur, kita akan bertukar kepada "bentuk" lain lagi. "Bentuk" apa? Terpulang kepada Karma kita.

Jikalau kita berbuat baik banyak-banyak ada Hiri - Ottapa sebagai asas, kita akan dilahirkan ke alam Devata atau Phroma. Sebaliknya, kita akan dilahirkan di alam Peta, haiwan atau makhluk neraka apabila kita melakukan banyak Karma jahat. Mungkin juga kita akan dilahirkan kembali ke alam manusia, terpulang pada jenis Karma kita.

Apakah "pengganti" diri kita yang membawa kita pelbagai-bagai alam? Kebanyakan orang Siam menyebut "pengganti" diri ini sebagai vinyan(roh?). Apabila kita mati, vinyan kita tidak mati dan akan lahir di alam lain. Vinyan akan menggembara dari satu alam ke satu alam. Ini kepercayaan kita, kepercayaan orang Siam.

Sedangkan, dalam ajaran Buddha, vinyan tidak membawa pengertian sebagaimana yang kita fahami. Vinyan tidak akan menggembara dari satu alam ke satu alam. Vinyan hanya akan wujud apabila Ayatana wujud. Tanpa Ayatana, vinyan tidak akan wujud. Ayatana dalam ialah mata, telinga, hidung, lidah, badan dan minda. Ayatana luar pula objek, suara, bau, rasa, sentuhan dan objek minda.

Contohnya, apabila mata melihat objek akan lahir vinyan melalui mata (cakkhu vinyan). Begitu juga halnya apabila telinga mendengar suara, hidung menghidu bau, lidah mengecap rasa, badan menyentuh benda dan minda mengingatkan sesuatu, semuanya akan melahirkan vinyan. Seseorang mempunyai 6 jenis vinyan bergantung pada jenis Ayatana.

Jadi, vinyan tidak sama dengan pengertian "roh" dalam agama lain. Habis, apa yang akan menjadi "pengganti" diri kita selepas kita mati? Dalam ajaran Buddha, "diri" itu sendiri pun tidak ada. Selepas kita mati, semua "milik kita" seperti mata, teliga, kaki, limpa, jantung, tulang, dan kulit turut hilang. Harta, rumah, kereta, isteri, anak dan semuanya tidak membawa sebarang makna. Yang tinggal cuma Karma. Hanya Karma yang berkuasa menentukan kehidupan baru kita. Karma baik membawa kita ke alam baik. Karma jahat membawa kita ke alam tidak baik.

Selagi ada Karma, selagi itulah penderitaan akan wujud. Penderitaan akan terhapus selepas kita tiada Karma iaitu kita berjaya memutuskan kitaran kehidupan (vatta samsara). Oleh itu, kematian tidak akan menghapuskan penderitaan. Mereka yang merungut meminta disegerakan kematian atau bertekad membunuh diri bagi menghilangkan penderitaan adalah kesilapan besar.

Penderitaan harus didepani dengan bijaksana. Penderitaan berpunca daripada Karma tidak baik. Oleh itu, bagi menghilangkan penderitaan, kita mesti berbanyak melakukan Karma baik. Berbuat baik hari ini, dalam kehidupan kini, adalah penentu alam mana, dan kehidupan bagaimana bakal kita kecapi selepas mati?

Kesimpulannya, kehidupan kita hari esok adalah hasil daripada Karma kita hari ini. Kita tidak akan mati, melainkan satu tranformasi kehidupan daripada satu bentuk ke bentuk lain, daripada satu alam ke alam lain!

Perjalanan kita masih terlalu panjang. Berbuat baiklah sebanyak yang mampu sebagai bekalan perjalanan!








6 comments:

fan ksb said...

Tuan Pena!!

benarkah dlm agama Buddha, sembahyang adalah tdk penting spt mana dlm agama lain??

Pernah dengar Buddha sendiri pun tdk pernah sembahyang??..sejauh mana kebenaran hal ini, bolehkah Tuan Pena berikan sedikit ulasan??..

pena reformasi said...

(fan ksb) Sembahyang atau suatmon penting. Cuma yang jadi persoalan ialah sejauh mana pentingnya. Ada pendapat mengatakan Sila, meditasi dan mengamalkan Dhamma lebih penting daripada suatmon. Ada pula pendapat yang mengatakan sebaliknya.

Suatmon ialah menghayati dan menghargai kebesaran Tri Ratana. Ia akan jadi penting apabila kita faham isi kandungnya. Kalau setakat jadi seperti burung Tiong, rasanya tak sepenting mana.

Kita seharusnya faham apa yang kita suat, dan cuba menghayati kebenarannya. Suatmon dengan hati yang tenang dan kusyuk akan melahirkan satu "kebanggaan" yang sukar diceritakan. Mereka yang menjadikan suatmon sebagai rutin tahu hal ini.

Mengikut Buddhadas Bhikkhu, sewaktu kita suatmon, kita sebenarnya sedang menghadap Baginda Buddha. Inilah masa kita berjumpa Baginda dan "melihat" kebesaran Baginda dengan minda. Jadi, masa suatmon ialah masa kita "berjumpa" dengan Buddha - bukan untuk meminta itu dan ini, tapi berusaha mengikut jejak Baginda.

Dalam agama Buddha tiada unsur paksaan. Kalau kita tak suatmon,kita tak dosa. Tapi kalau kita langgar Sila, kita dosa. Amalan Dhamma menjadikan kita manusia baik. Meditasi melahirkan panya. Sebab itulah ada orang berpendapat suatmon tak penting. Namun, hakikatnya mereka yang malas suatmon, juga malas pegang Sila dan meditasi.

Bagi saya, suatmon penting agar kita sentiasa mengingati dan mendekati Tri Ratana.

Anonymous said...

pengertian sembahyang itu sendiri berbeza-beza menurut kaca mata orang/ penganut agama yang berbeza-beza.

Untuk memahami apakah sembahyang penting dalam agama Buddha,

pertama, apakah pengertian sembahyang?

kedua, apakah tujuan sembahyang itu?

ketiga, adakah sembahyang itu selari dengan Dhamma?

Pada pandangan saya:
pertama dan kedua, sembahyang bermaksud menghadap Tuhan, memuji tuhan, meminta pertolongan dan keampunan daripada tuhan. Sembahyang juga mendekatkan diri dengan tuhan.

Dalam Buddhisme, kita ada puja (suatmon) yakni memuji Triratna (Buddha, Dhamma dan Sangha) dan merenungkan kemuliaan permata yang bertiga itu.

Kita tidak boleh meminta pertolongan dan keampunan daripada Buddha.

Dalam Buddhisme, manusia adalah sebaik-baik makhluk untuk menolong dirinya sendiri. Diri sendiri ialah juruselamat yang terunggul. Hanya diri sendiri yang boleh menyucikan minda sendiri dan mengarahkan ke jalan Nibbana.

Ketiga, sembahyang dalam pengertian berkait dengan ketuhanan tidak selari konsep Nibbana.
Namun Buddha tidak melarang umatnya besembahyang kepada tuhan (dewa-dewa yang dipuja turun-temurun). Bahkan Buddha menyuruh kita menghormati dewa-dewa yang dipuja di rumah.

Ini bermakna, untuk wismawan (penganut biasa), kita boleh bersembahyang kepada tuhan(dewa). Tetapi untuk praktis Dhamma yang menuju ke jalan Nibbana, konsep sembahyang tidak mempunyai apa-apa erti.

sk tin.

Anonymous said...

Manusia kita mempunyai pelbagai peringkat.Ini bergantung kepada boon (kamma putih) yang dilakukan di dunia dulu membawa diri ke dunia kini.
Begitu juga dengan perihal suatmon. Bagi setengah orang yang memerlukan setakat suatmon,jadi mereka amalkan dengan baik,baik jugalah. Kalau mereka yang samadi,mereka selalu lakukan,jadi baik jugalah...
Cuma sekadar idea.

1siam1wawasan

fan ksb said...

bagi saya sembahyang dlm agama Buddha adalah berbeza dgn sembahyang dlm agama lain. Sembahyang dlm agama lain bertujuan utk memohon rahmat dr Tuhan dan juga sbg menunaikan kewajipan sbg seorang hamba terhadap tuannya. (dlm agama lain manusia dianggap hamba manakala Tuhan adalah tuan)..

Dlm agama Buddha, Buddha tdk pernah menganggap bhw pengikut baginda adalah hamba..Walaopun terdapat dlm "Bod Suatmon yg berbunyi"..Buddhassahas sami taso wabhuddho me samikit saro"

tentu yg menulis text ini bukan baginda Buddha kan??

pena reformasi said...

Kita sembah Buddha sebagai tanda hormat dan terima kasih "murid kepada gurunya."

Manusia umpama berada dalam sebuah gua gelap yang tiada setitik cahaya. Buddha datang membuka pintu gua itu lalu memberi kita cahaya. Daripada cahaya tersebut kita dapat mengenali diri kita, kenal orang lain, kenal baik dan jahat, kenal dosa dan pahala, kenal Arahat dll. Begitu juga dengan Dhamma dan Sangha.