Tuesday, July 27, 2010

Masuk Phansa

Tanggal 27 Julai merupakan hari masuk Phansa (Vassa). Tempoh Phansa selama 3 bulan, iaitu sehari selepas bulan purnama, Hari Asalaha Puja. Masa Phansa merupakan musim hujan di daerah kelahiran Baginda Buddha. Musim hujan merupakan musim menanam padi dan tanaman lain. Bhikkhu dilarang keluar berjalan-jalan bagi mengelakkan terpijak dan memusnahkan tanaman petani. Pada masa dahulu bhikkhu tidak berjalan seorang dua, tetapi berkonvoi. Oleh itu para bhikkhu harus berdiam di suatu tempat (wat/vihara) yang telah ditentukan.


Dalam buku Ordination Procedure, tulisan Somdej PhraVajirananavaroros mengatakan bahawa beberapa hari sebelum memasuki Phansa, para bhikkhu dianjurkan untuk membersihkan tempat tinggalnya (wat).



Para bhikkhu yang akan menetap di satu wat selama masa Phansa harus berkumpul di ruang Uposatha untuk membuat suatu pernyataan bahawa mereka berada dalam batas pekarangan wat setiap malam selama masa Phansa.



Kalimat yang harus diucapkan adalah "Imasaming avase imang temasang vassang upema" yang bererti "kita akan tinggal dalam perbatasan wat ini selama tiga bulan masa musim hujan."



Selama masa Phansa, para bhikkhu tidak diperkenankan untuk berjalan-jalan keluar jauh dari wat, kecuali dengan alasan yang munasabah atau dalam keadaan tendesak. Seorang bhikkhu hanya diperkenankan meninggalkan wat, tempat beliau masuk Phansa, selama tujuh malam sahaja dan harus kembali semula ke wat itu. Masa Phansa, seorang bhikkhu dinyatakan sah apabila tidak melanggar batas waktu yang telah ditetapkan itu.



Sepanjang masa Phansa, para bhikkhu mempunyai tugas untuk membina diri dengan baik. Bhikkhu mesti bermeditasi, mempelajari dan mendalami Dhamma serta memberi khutbah agama kepada masyarakat Buddhis. Dengan adanya masa Phansa, para bhikkhu mempunyai kesempatan yang lebih banyak untuk mengisi dirinya dengan Dhamma dan untuk meningkatkan mindanya ke arah kesucian.



Banyaknya masa Phansa yang dilalui oleh para bhikkhu ini menentukan senioriti mereka. Para bhikkhu yang telah masuk Phansa sebanyak sepuluh kali hingga sembilan belas kali akan mendapat gelaran Thera. Para bhikkhu yang telah masuk Phansa sebanyak dua puluh kali atau lebih akan mendapat gelaran Mahathera. Senioriti bhikkhu bergantung pada Phansa bukannya usia.



Para bhikkhu berusaha meninggalkan kesenangan-kesenangan duniawi untuk menjalankan kehidupan suci. Mereka berusaha mengikis kilesa atau kekotoran batin sampai keakar-akarnya, agar mereka dapat mencapai kebebasan sekarang juga. Mereka berusaha mematuhi Vinaya atau peraturan kebhikkhuan dengan sebaik-baiknya, agar mereka dapat mencapai pengakhiran dukkha (Nibbana) secepatnya.



Para bhikkhu hidup amat sederhana. Mereka hanya mempunyai 4 keperluan asas, iaitu :



1. Civara atau jubah ; cukup dengan satu model dan satu warna sederhana.



2. Pindapata atau makanan; cukup dua kali atau sekali sehari.



3.Senasana atau tempat tinggal; cukup satu ruangan sederhana, baik di kediaman, di rumah usang, di hutan, di pangkal pokok besar, di gua, atau di tempat-tempat lain.



4. Gilanapaccayabhesajja atau ubat-ubatan.



Perjuangan seorang bhikkhu adalah perjuangan untuk menakluki dirinya sendiri. Dengan perjuangan batin itulah, seorang bhikkhu sekaligus menjadi contoh moral bagi kehidupan umat manusia. Seorang bhiikhu bukan semata-mata pemberi khidmat sosial. Memberi khidmat sosial dapat dilaksanakan dengan tidak harus menjadi bhikkhu. Seorang bhikkhu adalah pejuang batin dan contoh moral bagi masyarakat.


Kerana bhikkhu adalah contoh moral bagi masyarakat, apabila bhikkhu melanggar moraliti, masyarakat amat kecewa. Kesan daripada kekecewaan itulah yang menyebabkan masyarakat semakin menjauhkan diri daripada bhikku dan wat. Rasa hormat kepada bhikku semakin terhakis. Oleh sebab itu, bhikkhu harus sedar bahawa seandainya mereka sayang kepada agama, mereka harus menjadi contoh moral yang terbaik bagi masyarakat. Mereka tidak boleh menjadi liabiliti kepada masyarakat. Masa Phansa merupakan masa paling sesuai bhikkhu mempraktikkan moral dan kesucian minda.

Apakah peranan kita selaku kaum Buddhis? Seeloknya pergilah wat yang berdekatan, pergi suatmon dan mendengar khutbah Dhamma. Kalau dapat mengamalkan Sila 5/8/Ubosatha dan disertai dengan aktiviti tambun tamtan lagilah bagus.


Nota:


Terdapat kaum Buddhis yang bukan bhikkhu tetapi membuat pernyataan "masuk phansa". Selama masa Phansa mereka berazam meninggalkan tabiat buruk seperti minum arak, berjudi dan berhiburan. Mereka sedaya upaya memegang Sila 5 atau Sila 8 selama tiga bulan itu. Ini amalan yang baik dan patut diamalkan. Sekurang-kurangnya dalam setahun terdapat juga tempoh masa meninggalkan tabiat buruk. Alangkah eloknya jikalau mereka dapat "masuk Phansa" seumur hidup.


Cuma yang tidak enaknya apabila "keluar Phansa" terdapat sesetengah daripada mereka seperti "membalas dendam" dengan minum mabuk sehingga kepala terpacak tanah. Inilah yang orang kata masuk secupak, keluar segantang.




2 comments:

Anonymous said...

love this one thump up for Tuan Pena.

Lukthai America

Anonymous said...

Selamat masuk phansa kepada semua bhikkhu/ bhikkhuni.

Semoga kita semua mendapat pengajaran dan iktibar daripada musim phansa (vassa) ini.


sk tin