Sunday, July 4, 2010

Sami Alat Politik

Kesian saya kepada sami-sami Thailand. Orang politik buat onar sehingga masyarakat berpecah-belah, tetapi sami-sami Buddha pula diminta memainkan peranan menyatukan mereka. Ceramah Dhamma mesti berkisar pada perpaduan, kerjasama dan cintakan negara. Tidak semena-mena sami-sami yang tidak terlibat dengan politik "dipaksa" memulihkan hubungan masyarakat.

Orang politik memecah-belahkan masyarakat kerana kepentingan diri dan parti mereka. Masyarakat yang tidak reti apa-apa diperalatkan sehingga sanggup berlawan sesama sendiri. Sewaktu bantahan jalanan dijalankan, ramai yang terkorban di hujung senapang tentera lantas kebencian antara masyarakat dan tentera pun tercetus. Keluarga tentera yang terlibat dalam usaha memadamkan rusuhan turut menjadi mangsa kebencian jiran tetangga. Padahal, masyarakat dan tentera itu, kedua-duanya adalah "alat" orang politik.

Malahan, istana juga turut dijadikan alat oleh orang politik. Nama orang istana dikaitkan dengan tindakan kerajaan. Manakala Seh Deng, tentera berjiwa tegar yang ditembak mati dikatakan "putera gundik" kepada istana Thailand. Sebab itulah beliau terlalu liat untuk dijatuhkan walaupun pernah kritik Jeneral Anupong secara terbuka. Bahkan pernah dipecat daripada tentera, tetapi kata beliau, Jeneral Anupong tidak ada kuasa memecat tentera. Hanya kerajaan boleh melakukannya. Sedangkan kerajaan pula tidak berani memecat beliau. Inilah yang menguatkan khabar angin bahawa beliau memang berdarah istana.

Pemimpin baju merah dikatakan telah dibeli untuk menghentikan rusuhan, tetapi tidak berjaya dilakukan kerana Seh Deng tidak setuju. Dia ini tidak mahu terima bayaran. Lalu terpaksalah dihadiahkan peluru. Orang istana dikatakan dalang di belakang pembunuhan Seh Deng. Setelah Seh Deng mati, rusuhan berhenti. Pemimpin baju merah serah diri, ditangkap atau melarikan diri. Mereka ini, kata penyokong baju merah, ialah petualang kerana telah terima sogokan. Begitulah cerita yang tersebar di sekitar Bangkok.

Istana Thailand sangat dihormati rakyat. Tetapi selepas dijadikan alat politik, kebencian kepada istana mula membenih. Selepas rusuhan berdarah, istana terus dibenci oleh penyokong baju merah. Bermacam-macam panggilan atau gelaran "keji" yang diberikan kepada istana yang tidak layak ditulis di sini. Itulah akibatnya apabila istana dijadikan alat politik.

Institusi agama juga turut menerima tempias. Daripada sumber yang boleh dipercayai, sami Thailand terbahagi kepada dua kumpulan - penyokong kerajaan dan penyokong baju merah. Walaupun tidak dinyatakan secara langsung, tindak-tanduk sesetengah sami berpangkat tinggi jelas menunjukkan bahawa institusi sami tidak bebas dalam hal ini.

Ramai sami yang dijadikan alat politik. Caranya begitu mudah. Pemimpin politik tertentu (biasanya ahli Parlimen) diarah oleh ketuanya membawa bantuan kepada Wat. Ketua Sami akan memuji pemimpin tersebut kerana baik hati menghulurkan bantuan kepada institusi agama. Pujian Ketua Sami mempengaruhi orang kampung. Lalu orang kampung pun sokong pemimpin itu dan parti yang dianggotainya. Beginilah cara orang politk menjadikan sami alat mereka. Berikan bantuan - dapat pujian - disertai sokongan orang kampung.

Istana, institusi agama atau individu terhormat lain apabila dijadikan alat politk, lambat-laun akan diketahui rakyat. Apabila rakyat tahu, rakyat akan membenci. Kesan jangka panjang tidak begitu baik. Bayangkan apabila istana dan institusi agama dibenci masyarakat. Siapa yang akan menjadi pendokongnya?

Istana dan institusi agama sukar untuk survival tanpa sokongan masyarakat.

Negara kita juga sedang menjejaki keadaan di Thailand!

5 comments:

Pemerhati said...

Memang benar institusi Sami di Malaysia sudah menjadi alat politik. Sejak wujudnya Senator, proses pembersihan pesaing pun mula digiatkan. Semasa Senator 1, usaha pembersihan mula dilakukan ke atas Trustee Wat Nikhodharam yg dikatakan penghalang lubuk kekayaan dan digantikan dgn Pertubuhan Pengurusan Wat Nikhodharam.

Kemudiannya pembersihan terhadap NGO-NGO kecil dilaksanakan dgn slogan 1SAM 1PAYUNG. Tetapi mereka sendiri tubuh NGO baru bagi mengawal Wat Nikhodharam dan mengawal semua sami seluruh Malaysia.

Seterusnya pembersihan pemimpin beliathai yg agak agresif yg tak mahu tunduk kepada kehendak mereka. Hinggalah pembersihan terhadap Pegawai Khas MB Kedah yg menggugat kedudukan Presiden.

Pengarah Kebudayaan juga tidak terlepas drp proses pembersihan apa tempat beliau selaku Tim. Presiden boleh menggugatkan jawatan Presiden. Beliau telah digantikan dgn pesara guru besar yg kurang berpengaruh di peringkat federal.

Hanya pembersihan terhadap pemimpin beliathai saja kurang berjaya kerana golongan beliathai mendapat dana drp kerajaan setahun agak lumayan utk terus hidup dalam onak dan duri.

Maka tugas yg belum selesai diteruskan lagi oleh pemimpin generasi seterusnya. Beberapa langkah telah digunakan tetap gagal utk menyekat kemaraan pemimpin2 Siam yg disingkir.

Langkah terakhir utk membantu merealisasikan proses pembersihan ini menjadi kenyataan maka institusi Sami telah dipergunakan. Kebetulan pula ada 2, 3 org Sami muda yg pantang dipuji terus angkat ekornya.

Setelah pemimpin2 yg disingkir rasa tidak sesuai lagi bergerak tanpa NGO maka wujudlah 2 NGO serpihan yang baru dalam masyarakat kita. Akhirnya kedua-dua NGO lama telah lingkop. Siapa yg rugi?

Lama-kelamaan, kehormatan masyarakat terhadap institusi sami juga semakin hari semakin berkurangan. Maaf aku katakan sekiranya sami tidak boleh menjadi neutral, lama-kelamaan masyarakat kita pandang serong kpd institusi ini..

Anonymous said...

Sami boleh main politik juga tidak salah.Tetapi main politik untuk satu padu orang ramai,untuk kepentingan orang tidak salah.Korbankan diri untuk orang ramai tidak salah...ajaran agama buddha kwanyin.

Pemerhati said...

Sami main politik hingga tergadai sebuah wat seperti wat Ipoh. Dulu sami siam yg bina.. Lepas tu gaduh, cina masuk tubuh persatuan. la ni depa dah conquer habis. Sami siam jilat jari kena sembah AJK Cina dlm rumah sendiri.

Wat seterusnya Telok Wanjah selepas Thanlap mati, cina akan ambik alih semua. kalau tak caya, tunggu lihat.

Anonymous said...

Masalah berkenaan wat-wat timbul di mana-mana saja.Thailand dengan Kemboja pun sama juga,lihatlah.Pasal apa?Wang juga kan?
Ramai diantara penganut buddha tidak ramai yang berminat membuka wat untuk orang ramai.Bagi mereka membuka wat-wat ini mendatang masalah kepada mereka dan merugikan masa mencari makan.
Setengah-tengah penganut agama buddha ini suka komen dan batu penghalang kepada orang membuka wat.Tidak minat kritik pula.
Seterusnya,bila wat-wat ini dibina dengan siap dan mendatangkan wang,mulalah hendak menjadi trustee atau sebagainya.Dah nampak buah putik (duit).
Sikap ini sudah lama lahir rasanya bukan kelahiran ini saja tetapi yang telah lahir dulu pun sama juga rasanya pasal TAMAK HALOBA.
Jadi macam mana hendak kata Wat Siam,Wat cina pula? Cina yang menderma kepada wat-wat ini.Siam hanya mahu tawan selepas indah saja.
siamkel

Anonymous said...

Bukan Istana dijadikan alat politik tapi ahli politik jadi alat politik istana..istana yg main politik