Friday, July 30, 2010

Siapa Kita - Tanya Kepada Karma!

Dalam Akhanna-sutta ada diterangkan bahawa golongan Brahmana mendakwa bahawa hanya golongan mereka yang mulia, golongan lain tidak mulia; warna kulit mereka putih, warna kulit golongan lain hitam; golongan mereka sahaja suci, golongan lain tidak suci; golongan mereka adalah putera/puteri kepada Phra Phrom (Kuasa Tertinggi Brahmana), lahir dari mulut Phra Phrom, berasal daripada Phra Phrom, dicipta oleh Phra Phrom dan mereka adalah pewaris sah Phra Phrom.

Begitulah kepercayaan golongan Brahmana ketika itu. Kepercayaan begini seolah-olah meletakkan golongan lain pada tahap yang rendah kerana bukan "pewaris" Phra Phrom yang dipercayai sebagai Yang Maha Kuasa pada zaman tersebut.
Kepercayaan begini masih wujud sehingga sekarang.

Apakah pandangan Buddha dengan kepercayaan ini? Buddha mengatakan bahawa orang pasti tahu bahawa puteri (wanita) kepada golongan Brahmana masih datang bulan, mengandung dan melahirkan cahaya mata. Ini bermakna golongan Brahmana juga lahir daripada rahim ibu seperti golongan lain (bukan dari mulut Phra Phrom), tetapi masih mendakwa lebih mulia dan suci daripada golongan lain. Pendakwaan Brahmana ini adalah satu pendustaan dan penghinaan terhadap Phra Phrom.

Kepercayaan Brahmana ini menyebabkan golongan mereka tenggelam dalam keangkuhan sendiri. Mereka asyik memuji diri dan memandang rendah orang lain sehingga terlupa kekhilafan yang diamalkan sekian lama. Akibatnya, tiada seorang pun antara samana mereka yang berjaya mencapai Kesucian Mutlak. Oleh itu, setelah kelahiran Buddha, ramai samana Brahmana yang dengan rela hati mengabdikan diri kepada Buddha. Dan ramai antara mereka telah berjaya mencapai Arahant. Sekiranya mereka masih angkuh dengan "Aku ciptaan Phra Phrom," mereka tidak mungkin mencapai pembebasan sempurna.

Penganut agama Buddha ditegah daripada bersikap angkuh dengan menganggap kita lebih mulia daripada orang lain, kepercayaan kita lebih baik daripada kepercayaan orang lain, kelahiran kita lebih sempurna daripada orang lain dan kehidupan kini dan akan datang kita terjamin berbanding dengan orang lain.

Baginda Buddha mengajar kita bahawa semua manusia sama iaitu lahir daripada Karmanya, pewaris kepada Karmanya dan mulia atau hina seseorang bergantung pada Karmanya. Tiada siapa yang akan terlepas daripada Karma yang dilakukannya. Orang yang berbuat jahat biarpun memohon dikecualikan daripada balasan jahat, dia tetap akan menerima Karma jahat. Orang yang berbuat baik, biarpun tidak meminta dibalas baik, tetapi dia tetap akan terima balasan Karma baik. Balasan Karma tidak bergantung pada "permohonan" kita. Balasan Karma tepat dengan perbuatannya.

Contohnya, kalau kita mencurahkan garam ke dalam tempayan, kemudian kita minta air itu manis. Air tidak akan manis walaupun kita memohon seratus kali sehari. Sebaliknya, kalau kita mahu air jadi manis, kita mesti mencurahkan gula. Ini hukum Karma yang tidak mampu diubah oleh sesiapa.

Kemuliaan seseorang tidak bergantung pada kelahiran dan keturunannya, sebaliknya bergantung pada Karmanya.

Pada zaman dahulu, keturunan Bangsawan sangat dimuliakan kerana meraka dikatakan lahir daripada keturunan Dewa. Sekarang manusia sudah bijak. Mereka tahu bahawa Bangsawan juga manusia biasa yang mungkin Karma dahulunya lebih baik daripada orang lain lalu dilahirkan sebagai Bangsawan. Namun, kerana tenggelam dalam sikap "kebangsawanannya" yang dimuliakan, menyebabkan mereka lupa diri dan lupa mengumpul Karma baik. Apabila Karma lama habis, yang tinggal hanya Karma jahat. Akibatnya, kemuliaan mereka terhakis.

Kemuliaan dan kesucian seseorang tidak bergantung pada kelahiran dan kepercayaannya. Hanya Karma yang menentukan mulia atau hina; suci atau kotor seseorang itu. Jadi, sesiapa yang ingin dipandang mulia, dihormati, bahagia, dan sebagainya tiada jalan lain, melainkan berbuat Karma baik.








No comments: