Thursday, August 5, 2010

Sentiasalah Mengingat 10 Perkara

Ini memang cantik. Hati manusia mudah "melekat" pada benda cantik.








Jikalau macam ini cantik tak?


Fikiran manusia tidak pernah berehat daripada memikirkan sesuatu. Masa tidur sekalipun fikiran manusia masih bekerja. Banyak perkara yang difikirkan dan diingati oleh manusia. Buddha mengajar kita agar sentiasa mengingat perkara-perkara yang baik. Terdapat 10 perkara utama yang mesti selalu diingat, dikenang dan dibicarakan dalam hati, terutamanya dalam masa Phansa begini. Antaranya ialah:


1. Mengingat Buddha - Kita mesti sentiasa mengingati kebaikan dan kesucian Buddha. Baginda ialah Maha Agung yang telah memberi petunjuk Jalan Benar kepada kita. Tiada makhluk lain mampu menyamainya, sama ada manusia mahupun dewa, di dunia mahupun di syurga.

2. Mengingat Dhamma - Kita mesti sentiasa mengingati kebaikan dan nilai-nilai yang terkandung dalam Dhamma. Dengan Dhamma (mengamalkan Dhamma) kita mampu menjadi manusia yang baik, berbudi pekerti tinggi, mengecapi kebahagiaan sejati dan bebas daripada segala penderitaan.

3. Mengingat Sangha - Kita mesti sentiasa mengingati kebaikan, ketekunan dan kesucian Sangha yang menjejaki langkah Buddha. Sangha merupakan manusia mulia yang mewariskan ajaran Buddha kepada kita.

4. Mengingat Sila (moral) - Kita mesti selalu mengingat dan membicara di dalam hati berkenaan Sila yang jadi pegangan kita, sama ada bersih, cukup atau terputus. Sekiranya Sila kita tidak berapa bersih, kita mesti berusaha agar ia jadi bersih.

5. Mengingat Pemberian - Kita diajarkan agar sentiasa membuat kebajikan, menghayati kemuliaan hati orang yang selalu membuat kebajikan dan faedah-faedah yang diperolehi daripada kebajikan. Kita harus beringat bahawa tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. Oleh itu, perbanyakkan membuat kebajikan tanpa mengira batasan agama, bangsa atau negara. Manusia ialah "Saudara Sependeritaan" yang berkongsi kematian, ketuaan, kesakitan dan kematian yang sama.

6. Mengingat Devata (Dewa) - Kita mesti sentiasa mengingat para devata dan perbuatan-perbuatan atau ciri-ciri yang menyebabkan manusia dilahirkan di alam devata. Dua ciri asas yang harus diingat ialah Hiri (malu) dan Ottappa (takut) kepada dosa. Dua ciri ini mampu membawa manusia lahir di alam devata.

7. Mengingat Kematian - Sesetengah orang berasa takut apabila disuruh mengingat kematian. Apa yang harus ditakutkan? Kematian sesuatu yang pasti, lambat atau cepat sahaja akan tiba juga masanya. Mengingat kematian akan mendorong kita agar tidak lalai dan segera membuat kebaikan kerana kita entah mati esok, atau lusa.

8. Mengingat Tubuh Badan - Kita mesti mengenal dan menghayati tubuh badan kita bahawa ia terbentuk daripada pelbagai elemen. Anggota tubuh badan kita bukan sesuatu yang bersih. Apabila nafas menemukan noktahnya, tubuh badan tidak lebih daripada ketul-ketul daging yang busuk dengan tulang-tulang yang reput. Oleh itu, tiada sebab bagi kita "melekat" kepada kecantikan tubuh badan. Orang yang "tidak kenal" tubuh badan akan menanggung penderitaan yang amat sangat apabila kehilangan anggota tubuh badan atau kehilangan kecantikan.

9. Mengingat Pernafasan Masuk dan Keluar - Setiap kali kita menarik nafas masuk dan menghembus nafas keluar, kita mesti lakukannya dengan penuh kesedaran. Ini bermaksud kita mesti sentiasa ada kesedaran setiap detik pernafasan kita agar kita tidak cuai, leka atau lalai dalam pemikiran, pertuturan dan perbuatan (nafas meditasi).

10. Mengingat Dhamma Yang Membawa Ketenangan - Di sini kita disuruh mengingat kebaikan Nirvana yang merupakan kebahagiaan dan ketenangan hati yang sebenar. Tiada kebahagiaan dan ketenagan lain yang dapat menyamai kebahagiaan dan ketenangan Nirvana.


4 comments:

Anonymous said...

Tuan Pena, apakah yang Tuan tulis ialah Anussati 10?

Siam Jati

Bekas Sami said...

Sekarang Facebook sedang hot. Kenapa KSB tak buka Facebook, boleh sembang-sembang.

pena reformasi said...

(Siam Jati) Betul, Anussati 1o.

(Bekas Sami) Akan dipertimbagkan. Sebelum ini pun ada pembaca KSB cadangkan hal sama.

Anonymous said...

Cuba cakap politik Siam dlm FB dlm ruangan SUARA MASYARAKAT SIAM KEDAH. Polis Bukit Aman, YB, Menteri pun baca.