Saturday, September 25, 2010

Agama Buddha Penyubur Kebijaksanaan

Sila, Samadhi, Panya merupakan 3 teras agama Buddha. Sila menjadi asas kepada Samadhi. Samadhi menjadi asas kepada Panya. Panya menyuburkan minda sehingga mencapai Nirvana. Nirvana ialah pembebasan minda yang mutlak daripada segala kemelekatan duniawi.

Sila dan Samadhi tidak mampu menyuburkan minda. Sila hanya menghalang seseorang melakukan kejahatan fizikal. Manakala Samadhi hanya mententeramkan minda. Minda/hati tidak akan berkembang dan subur dengan Sila dan Samadhi.

Pernah ada orang tanya kepada saya, kenapa ada orang yang pegang Sila 8 tapi masih tamak dan berhasad dengki? Orang yang pergi Samadhi, apabila balik masih suka mengumpat orang?

Saya kata Sila dan Samadhi tidak mampu mengubah hati orang. Jikalau orang itu mempunyai hati yang tamak haloba dan berhasad dengki, walaupun pegang Sila 5, Sila 8, Sila 10 atau Sila 227 dan pernah pergi Samadhi, hatinya tetap tamak haloba dan berhasad dengki. Ini kerana Sila dan Samadhi tidak ada kuasa mengubah hati orang. Mungkin secara fizikal dia tidak melakukan kejahatan kerana berpegang pada Sila, tetapi hatinya tetap seperti sediakala. Oleh itu, tidak hairanlah apabila orang yang ada pegangan Sila masih melakukan kejahatan dalaman; marah, dengki, dendam, tamak, cemburu dan lain-lain.

Hanya Panya yang mampu mengubah minda/hati seseorang. Orang yang jahat jadi baik kerana Panya. Orang jahil jadi berilmu kerana Panya. Orang tamak jadi pemurah kerana Panya. Orang sesat jadi tidak sesat kerana Panya. Orang berfikiran kelam jadi terang kerana Panya. Boleh dikatakan hidup kita; jahat atau baik ditentukan oleh Panya. Baginda Buddha mencapai Pencerahan Sempurna (Trassaru) kerana Panya. Pembebasan minda jenis Panya-Vimutti dan Ceto-Vimutti mesti melalui Panya. Walaupun Ceto-Vimutti tidak disebutkan Panya, tetapi ia tetap mesti ada Panya barulah berjaya mencapai pembebasan. Panya sangat penting dalam agama Buddha.

Oleh sebab itulah Panya amat ditekankan dalam agama Buddha. Malahan agama Buddha ialah agama yang menyuburkan Panya. Ajaran Baginda Buddha tiada lain yang lebih penting selain menyuburkan Panya. Dalam Kitab Tipitaka terdapat 84,000 tajuk ajaran yang kesemuanya menjurus kepada Panya; umpama ribuan aliran sungai dari ratusan gunung yang kesemuanya mengalir ke muara dan berkumpul di lautan. Puncak kepada segala Panya ialah Nirvana.

Dalam agama Buddha Panya terbahagi kepada 2 jenis utama.

Pertama, Panya yang berkaitan pemikiran dan kedua Panya berkaitan pengetahuan benar. Panya jenis pertama semua orang ada kerana ia berkaitan dengan fungsi otak. Panya jenis kedua hanya ada pada mereka yang mengamalkan Vipassana. Panya jenis ini mampu membezakan yang mana benar dan yang mana tidak benar; yang mana tulen, yang mana palsu; yang mana kekal, yang mana sementara dan sebagainya.

Panya jenis kedua ini mampu melihat kebenaran Anicca, Dukkha, Anatta. Setelah mampu melihat kebenaran 3 ciri alam ini (Trailak), barulah seseorang mampu "melepaskan" kemelekatannya terhadap duniawi. Kemelekatan duniawi menjana Kilesa. Oleh itu, Kilesa dapat dikurangkan, dikikis atau dihapuskan hanya melalui Panya.

Kata Buddha, kehilangan saudara mara, harta benda dan pangkat merupakan kehilangan yang sangat kecil berbanding dengan kehilangan Panya. Mempunyai ramai saudara mara, kaya harta benda dan tinggi pangkat merupakan keberuntungan yang kecil berbanding dengan kemajuan Panya.

Panya lebih penting daripada saudara mara, harta benda dan pangkat atau darjat. Orang yang kehilangan saudara mara, rakan taulan, kerja, harta benda, pangkat dan darjat masih dapat hidup dengan baik sekiranya dia tidak kehilangan Panya. Sekiranya kita "dikarmakan" terpaksa kehilangan perkara yang kita sayangi, biarkanlah asalkan tidak kehilangan Panya.

Putera Siddharta "kehilangan" kesemuanya selepas meninggalkan istana untuk hidup sebagai Samana. Namun, Baginda berjaya dalam pencariannya kerana Panya yang Baginda miliki sehingga menjadi Manusia Agung (Gautama Buddha) yang tiada mana-mana manusia mampu menandinginya.

Selaku penganut agama Buddha, kita patut mengasah minda untuk meningkatkan Panya. Perkara-perkara yang menghalang kemajuan minda patut dielakkan. Kita mesti berusaha menyuburkan minda kita agar selaras dengan agama kita, iaitu agama penyubur kebijaksanaan.

Perkara asas bagi menyuburkan Panya ialah belajar berfikir melalui "acuan fikiran" agama Buddha dan berusaha melihat sesuatu melalui "mata" agama Buddha. Kalau tidak, sukarlah bagi kita melihat kebenaran abadi. Hanya agama Buddha yang mampu melihat kebenaran abadi.

Kita tidak mungkin dapat melihat atau mengenal kebenaran abadi melalui "acuan fikiran" Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star, China Press, Tamil Nesan, Bangkok Post atau Thairath. Kita hanya boleh mengenal kebenaran abadi melalui "fikiran Dhamma" yang diajarkan oleh Buddha. Fikiran Dhamma berteraskan Panya.

Berfikirlah sebagai penganut agama Buddha yang tulen!


(เอกนิบาต อังคุตตรนิกาย ๒๐/๑๗,๑๘)

1 comment:

Anonymous said...

Betul tuan pena....orang-2 sekarang kurang pannya.

pannya ialah tingkat kebijaksaan akal yang tertinggi.

Orang yang memiliki pannya akan melihat dukkha, anicca dan anatta dengan jelas tanpa berselisih denan Buddha.

Orang yang memiliki pannya akan lebih cepat capai Nirvana (dengan dilengkapi dengan sila dan samadhi).

sk tin