Saturday, September 11, 2010

Jangan Marah Dikutuk, Jangan Bangga Dipuji

Sejak kebelakangan ini agama sering jadi sasaran fitnah dan kutukan daripada individu atau kumpulan berlainan agama. Penganut agama yang melakukan kesalahan, tetapi agama yang menjadi sasaran kutukan. Sedangkan penganut dan agama merupakan dua perkara yang berlainan. Penganut yang "jahat" tidak menggambarkan agama juga "jahat". Hakikatnya tiada agama yang "jahat" di muka bumi. Semua agama mengajar penganutnya jadi baik, walaupun cara dan pendekatan pengajarannya mungkin berbeza mengikut tempat dan zaman kemunculan agama tersebut. Tahap pemikiran, budaya setempat dan sikap masyarakat menentukan bentuk dan pendekatan pengajaran agama. Perbezaan dalam agama tidak seharusnya dijadikan hujah bahawa "agama aku lebih baik" dan agama engkau tidak baik.

Orang yang betul-betul memahami sejarah kelahiran agama tak akan fitnah atau kutuk agama lain kerana dalam soal agama "tiada siapa yang mampu memutuskan agama mana lebih baik" kerana semua agama baik dan menuju ke matlamat yang sama - membebaskan manusia daripada kejahatan agar dunia lebih aman didiami. Sesiapa yang menuruti ajaran agama diberikan ganjaran pahala iaitu tiket ke syurga. Manakala bagi sesiapa yang mengingkari ajaran agama diberikan ganjaran dosa, iaitu tiket ke neraka.

Apakah yang patut kita lakukan apabila agama kita difitnah atau dikutuk? Pelbagai reaksi pernah kita lihat apabila agama dikutuk. Kebanyakannya reaksi marah. Baginda Buddha pernah mengajar kita tentang perkara ini. Kita tidak perlu marah apabila Buddha, Dhamma dan Sangha difitnah atau dikutuk. Kita harus menghadapinya dengan bijak. Kemarahan tidak mendatangkan apa-apa hasil melainkan menghasilkan dosa kepada diri kita sendiri. Cuba bayangkan apabila agama kita dikutuk, kita marah, meradang dan mengamuk, apakah yang kita dapat? Sekiranya kita tak dapat kawal kemarahan, memaksa kita melakukan kejahatan yang hanya mencelakakan diri sendiri.

Oleh itulah, Baginda Buddha mengajar kita menghadapi situasi tersebut dengan bijaksana. Bagaimana yang dikatakan bijaksana? Kita kena pastikan perihal apa yang jadi sasaran fitnah atau kutukan. Kemudian kita terangkan perihal tersebut bahawa hakikatnya tidak begitu. Kita mesti sertakan hujah-hujah (petikan Sutta) yang menyokong kenyataan kita. Contohnya, kita selalu dituduh "menyembah batu"(patung), sedangkan hakikatnya kita menyembah Baginda Buddha. "Batu" itu cuma simbolik semata-mata. Sekiranya "batu" itu tak ada, kita masih boleh menyembah. Andai kata penjelasan kita tidak diterima, itu bukan soal kita lagi. Soal kita memberi penjelasan telah selesai. Hakikatnya, kebenaran agama sukar diperjelaskan kerana ia memerlukan pengalaman sendiri melalui amalan.

Begitu juga apabila ada orang memuji agama kita, kita tak boleh berbangga atau gembira. Apabila ada orang memuji Buddha, Dhamma dan Sangha, kita tak usah termakan pujian itu. Perihal apa yang dipuji, kita kenal pasti, kemudian menjelaskan bahawa hakikatnya memang begitu (sebagaimana dipuji). Sebaliknya, jikalau pujian itu tidak kena pada tempatnya (pujian benda yang tak patut dipuji), kita juga mesti menjelaskan bahawa hakikatnya tidak seperti yang dipuji. Kemudian kita perjelaskan kebenarannya. Contoh, apabila ada pencinta haiwan memuji agama Buddha kerana melarang penganutnya makan daging yang mampu mengurangkan pembunuhan dan pemburuan binatang. Kita patut menjelaskan bahawa Buddha Theravada melarang membunuh, tapi tak melarang makan daging.

Fitnah atau kutukan terhadap Buddha dan Dhamma tidak sukar ditepis kerana sebagaimana kita sedia maklum, Buddha dan Dhamma tiada cacat celanya. Yang menjadi sukar adalah apabila kita sendiri kurang menguasai ajaran Buddha. Sekiranya kita menguasai ajaran Buddha dengan baik, "serangan" bertubi-tubi sekalipun tak mampu melukakan kita kerana kita mempunyai perisai bagi menepisnya. Hanya orang yang kurang ilmu akan terperangkap. Contohnya, apabila orang sebut Tuhan Maha Besar yang mencipta segala alam, orang yang jahil agama akan gelabah. Kenapa? Kerana orang yang kurang ajaran agama hanya tahu "menari" mengikut orang lain. Oleh sebab itulah, kita wajib melengkapkan diri dengan ilmu agama agar dapat dijadikan perisai apabila diserang.

Namun, sekarang ini "serangan" yang hebat terhadap agama Buddha dituju kepada Sangha. Bukan sahaja oleh penganut lain, tetapi penganut agama Buddha sendiri. Serangan ini kelihatan sukar ditepis walaupun oleh orang yang mahir agama kerana serangannya tepat pada "kelemahan" yang terdapat dalam Sangha. Apabila Bhikkhu mengabaikan Dhamma-Vinaya, sukarlah bagi kita selaku penganut mempertahankan mereka apabila diserang. Takkan kita mahu berbohong. Bukan sahaja di Thailand dan Malaysia, di negara lain pun ramai Bhikkhu jadi sasaran kutukan kerana sikap mereka yang mengabaikan Dhamma-Vinaya.

Keruntuhan institusi Sangha ini merupakan "barah" yang sedang menyubur dalam agama Buddha. Barah ini kalau tidak dikawal, bakal membantutkan perkembangan agama Buddha, bahkan akan hilang dari muka bumi. Lihat sahajalah tindak tanduk Bhikkhu yang jelas bertentangan dengan ajaran Buddha (Vinaya) tetapi tiada larangan daripada Badan Sangha. Ketua Bhikkhu seperti telah dijahit mulutnya.

Kenapa perkara ini berlaku? Bhikkhu yang melanggar Dhamma-Vinaya lazimnya kaya raya. Mereka begitu pandai cari duit. Boleh kata setiap patah kata yang keluar dari mulut mereka menghasilkan duit. Bagi mengelakkan perbuatan mungkar mereka ditegur, mereka pun menutup mulut Ketua Bhikkhu dengan duit. Setiap tahun mereka akan pergi menziarahi Ketua Bhikkhu dan menghulurkan sejumlah wang. Kalau Ketua Bhikkhu masih muda, masih bertenaga mereka akan membawa pergi makan angin di luar negara. "Rasuah" agama ini berlaku di mana-mana, mungkin caranya sahaja berlainan.

Institusi Sangha yang lemah menyebabkan penganut agama Buddha menjadi serba salah apabila difitnah atau dikutuk. Hakikatnya apa yang kita anggap fitnah atau kutukan itu sebenarnya kebenaran. Cuma kita tak sanggup terima hakikanya. Siapa berani mengatakan ini adalah fitnah apabila orang berkata "kebanyakan sami Siam bersikap materialistik"? Berkata benar walaupun pahit, tak boleh kita anggap fitnah. Fitnah berdosa. Berkata benar tidak berdosa, asalkan sesuai dengan keadaan, masa dan tempat.

Kesimpulannya, kita harus matang dan bijak apabila berdepan dengan penganut agama lain yang mengata agama kita. Kita tak perlu marah. Sebaliknya, perjelaskan kebenarannya. jikalau mereka tak dapat terima penjelasan kita, biarkanlah kerana itu bukan urusan kita. Kita tak boleh memaksa sesiapa mempercayai apa yang kita percaya. Begitu juga dengan orang lain yang tak boleh paksa kita percaya apa yang mereka percaya.

Setiap fitnah, kutukan dan tuduhan terhadap agama kita, apabila kita tak terima, ia akan berbalas balik kepada mereka. Begitu yang Baginda Buddha ajarkan kepada kita. Misalnya, apabila ada orang mengatakan agama kita "sesat" sebenarnya mereka sedang mengatakan agama mereka sendiri "sesat" kerana kita tak terima kata-kata mereka.

Dikutuk atau dipuji, kebenaran tetap kebenaran. Kebenaran tidak bergantung pada kutukan atau pujian!

Kenapakah saya menghasilkan tulisan ini? Kerana ada orang bertanya kepada saya, apakah tindakan kita apabila agama kita dikutuk? Inilah lebih kurang jawapannya yang saya tahu.







3 comments:

fan ksb said...

pd suatu ketika dahulu saya ditanya oleh rakan dari agama lain mengapa orang Siam menyembah patung?? Adakah patung tu Tuhan??
Saya jawab kata tak, saya menyembah Buddha dan Buddha bukanlah Tuhan..dia bertanya lagi mengapa tidak menyembah Tuhan?? Lalu saya bertanya dia balik adakah Tuhan berasa cemburu jika saya menyembah selain dia??

dia terdiam seketika, saya jelaskan lagi Buddha yang saya sembah telah bebas dari perasaan serta sifat cemburu dan lain-lain perasaan dan sifat yang tidak baik. Saya berasa tenang apabila dapat menyembah Buddha kerana sifat baginda yang mulia ini. Sejak itu rakan saya sorang ini tak pernah tanya saya lagi mengapa saya menyembah patung!!..

pena reformasi said...

(fan ksb) Jawapan yang bagus!

Anonymous said...

saya tertarik dengan jawapan ksb yang bernas itu. semoga menjadi panduan kita semua yang sering menjadi sasaran 'nakal' daripada penganut agma lain.

Dalam banyak situasi, kita tidak perlu menjelaskan atau berbahas dengan mereka kerana kebanyakan mereka tidak berfikiran terbuka.

mereka hanya mahu kita ikut cara mereka.

Kita tidak menyembah tuhan kerana tuhan itu bukan pencipta alam, tuhan tidak terlepas daripada hukum karma dan alam samsara. dan paling penting tuhan bukan Buddha yang telah terlepas dari alam samsara dan mencapai nibbana.

Macam mana mereka nak faham semua ini kalau tidak mengetahui dan menerima hakikat ajaran buddha?

sk tin