Wednesday, September 29, 2010

Jangan Perasan Sangat!

Orang Siam terkenal dengan sikap sopan santun, berbudi pekerti tinggi dan amat menghormati tetamu. Sikap ini sebahagiannya diwarisi daripada tamadun Siam dan sebahagian lagi terpupuk melalui nilai-nilai agama Buddha. Namun, ada kalanya orang Siam mempunyai sikap yang bertentangan dengan sikap di atas.

Saya tidak berniat hendak menulis tentang sikap orang Siam secara keseluruhannya. Cuma saya ingin menyentuh tentang "sikap perasan" sesetengah orang Siam. Sikap perasan ini tidak terhad kepada orang biasa, tok sami pun mempunyai sikap sedemikian. Tetapi sikap perasan ini paling menonjol di kalangan pemimpin masyarakat Siam. Bukan semua, tetapi sebahagiannya memang terkenal dengan sikap perasan. Mereka perasan mereka hebat, sohor, terkenal, dikenali ramai, dihormati pemimpin politik, dan sebagainya.

Sikap perasan ini akan terjadi apabila masyarakat Siam mendapat keberuntungan, misalnya bantuan kemiskinan, biasiswa pendidikan, peluang memasuki IPTA, dana pembangunan dan kebajikan orang-orang Siam dan lain-lain. Pemimpin yang perasan bahawa dia hebat, dia kuat, dia dihormati orang-orang besar akan terus memalu kompang menyebarkan berita bahawa dialah yang mengusahakan keberuntungan tersebut. Padahal, hakikatnya dia tidak tahu apa-apa pun. Orang lain yang mengusahakannya.

Oleh sebab dia bersikap perasan, tanpa perasaan malu mengaku itulah hasil titik peluh dia. Orang-orang yang mengikutnya (pemimpin bersikap perasan ini mempunyai pengikut tersendiri) pun menyambut dengan gembira: "Hebat sungguh ketua kita!" Pada sebelah malamnya, berpakat-pakatlah pergi ke rumah Si Ketua bersikap perasan tersebut sambil membawa minuman keras, kononnya mahu meraikan kejayaan. Kejayaan kepala bendul apa. Orang lain yang berusaha, dia cuma mengaku sahaja. Oleh kerana pengikut-pengikutnya berfikir menggunakan kepala yang bukan kepala otak, lantas beginilah jadinya.

Sikap perasan merugikan masyarakat Siam. Orang yang betul-betul berusaha membantu orang Siam akan putus semangat kerana hasil titik peluhnya diambil orang lain. Maklumlah orang baik-baik umpama itik; telur sebakul diam-diam sahaja. Orang yang suka mengambil kesempatan umpama ayam; telur sebiji, riuh sekampung. Orang yang bersikap perasan umpama katak; dia ingat hujan turun kerana dia panggil.

Orang bersikap perasan ini hanya mengaku benda yang baik sahaja. Benda tidak baik, biarpun dia yang menjadi penyebabnya, dia tidak mengaku. Mati-matian dia tidak mengaku yang dia menjadi punca benda yang tidak baik.

Berbuat baik jangan mengharapkan pembalasan. Ini yang diajarkan kepada kita. Tetapi, meluat juga apabila kita berbuat baik, tetapi orang lain yang mendapat nama. Maklumlah, orang masih ada kilesa. Bukan pembalasan yang diinginkan, tetapi berbuat baik mahu juga diketahui orang lain. Kita berbuat baik, orang lain mendapat nama, lama-lama putus semangat. Apabila orang-orang baik berundur daripada aktiviti masyarakat Siam, hasilnya orang Siam sendiri yang rugi.

"Bila kita buat baik, kita mahu juga orang lain tahu, anak-anak kita tahu, orang-orang kampung tahu, agar mereka rasa bangga dengan kita!" Ini luahan perasaan seorang pemimpin masyarakat kepada saya beberapa minggu yang lepas. Kebetulan kami berjumpa di satu majlis keramaian. Dia bercerita panjang lebar tentang dilema orang Siam, khasnya Siam Kelantan.

Katanya, Siam Kelantan ini lebih suka bercakap daripada bekerja. Apabila orang bekerja dan membuahkan hasil, berani pula mengaku kepunyaan dia. Saya faham perasaan dia. Bukan dia sahaja mengalami situasi begini. Pemimpin-pemimpin lain juga ada mengalaminya. Siam di mana-mana pun sama sahaja. Di Kelantan, Kedah, Perlis, Perak, Kuala Lumpur atau Selangor abang adik sahaja. Ada yang baik dan ada yang teruk. Ada yang lurus dan ada yang bengkok.

Dia memberi contoh bantuan RM300,000 yang dijanjikan oleh Perdana Menteri. Beberapa pemimpin Siam bangkit mengaku bantuan itu hasil usaha mereka. Ada yang mendakwa dia pernah mengutus surat kepada PM minta bantuan. Ada yang mengaku pernah berjumpa dengan PM. Ada yang berkata berhubung dengan PM melalui pemimpin Umno-BN peringkat Bahagian dan macam-macam lagi. Pendek kata, PM janjikan bantuan kerana usaha dia. Orang lain tidak ada sangkut paut. Pemimpin yang bersikap perasan dan bercakap besar ini bukan setakat di Kelantan, malahan di Kuala Lumpur dan Selangor pun ada. Apa boleh buat, spesis Kelantan ramai yang menetap di Lembah Klang.

Kesian kepada orang baik-baik yang berbuat baik teta[i tidak mendapat hasil setimpal. Sapi punya susu, orang punya nama. Orang baik punya titik peluh, orang perasan punya dapat pujian. Tolonglah. Jikalau kita sayang kepada kaum kita, jangan amalkan sikap perasan. Tidak baik usaha orang lain, kita mengaku usaha kita. Hasil peluh orang lain, kita mengaku hasil peluh kita.

Orang bersikap perasan ini di mana dia berada, sikap perasannya akan subur di situ. Jikalau dia masuk Umno, sikap perasannya akan subur dalam Umno. Kerana dia perasan dia orang penting parti, (walaupun cuma ketua cawangan) apabila ada orang kritik parti dia melenting habis. Dia mengamuk bagaikan orang kutuk bapa dia.

Sebaliknya, apabila ada orang kritik agama dan bangsa dia, dia diam sahaja. Parti Umno lebih penting daripada agama dan bangsa dia sendiri. Sedarlah, Umno-BN (atau Pakatan Rakyat) cuma sebuah parti politik. (Apakah singkatan UMNO?) Sampai masanya apabila dibenci orang, bubar juga akhirnya. Tetapi agama dan bangsa adalah "milik kita" selamanya. Agama Buddha dan bangsa Siam akan diwariskan kepada anak cucu kita. Kita harus mengutamakan agama dan bangsa, bukannya parti politik.

Lebih dahsyat lagi, apabila telah kenal Menteri seorang dua, mulalah dia terlupa kawan-kawan. Walaupun dia jadi seperti dia hari ini kerana pertolongan kawan-kawan. Bertahun-tahun sepak sampah, tiada siapa pandang, nasib baik ada kawan tarik telinga letak dalam persatuan dan carikan pekerjaan. Setelah jadi orang besar dalam persatuan dan dapat balik pekerjaannya, sombong pula dia. Kawan lama dipandang seperti sampah. Dia perasan dia hebat. Lebih hebat daripada kawan-kawan yang pernah menolong dia.

Sikap perasaan diri hebat merugikan diri sendiri dan masyarakat Siam. Suatu hari kelak orang akan tahu juga sikap sebenarnya. Oleh itu, elakkanlah sikap perasan ini. Orang-orang Siam pun sama. Pandai-pandailah pilih pemimpin. Silap pilih - terpilih pemimpin jenis bersikap perasan, membawa kerugian yang besar kepada agama dan bangsa kita!

Kalau kita rasa kita hebat, ramai lagi orang lain yang lebih hebat. Renung-renungkanlah!

2 comments:

Manitc6 said...

Coretan sdr. Pena sama seperti yang saya alami sekarang. Sukar untuk mencari kawan sejati dalam dunia politik.. masing2 ingin mempergunakan kita. masing2 ingin mengambil kesempatan drp kita. Bantuan yg kita curahkan dilupakan begitu saja.

pena reformasi said...

Dalam masyarakat Siam, ramai pembelot. Sama ada persatuan mahupun politik sama saja. Masa "tanam" tak ramai yang pandang. Tapi bila telah "berbuah" mulalah nak berebut dan mengaku dia punya. Nilai persahabatan dan persaudaraan terus ditolak ke tepi demi matlamat diri.