Friday, September 3, 2010

Saddha Mesti Pakai Otak!

Saya tak tahu apakah perkataan yang paling sesuai dengan saddha/sattha. Saya rasa perkataan paling sesuai ialah "percaya" dan "yakin". Apabila seseorang telah "percaya dan yakin" kepada seseorang lain, dia sanggup melakukan apa-apa sahaja yang disuruh orang lain itu. Percaya dan yakin yang keterlaluan akan menjadikan seseorang taksub.

Saddha pun sama. Saddha yang keterlaluan akan menjadikan seseorang taksub. Orang yang terlalu saddha kepada seseorang tok sami misalnya, sanggup melakukan apa-apa sahaja walaupun perbuatannya itu kelihatan bodoh dan di luar batasan ajaran agama.

Saddha keterlaluan ini menyebabkan seseorang jadi sesat. Apabila telah sesat, seseorang sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk menunjukkan saddhanya. Walaupun dipandang bodoh dan bangang, dia tak peduli. walaupun tak ada dalam ajaran Buddha, dia tak ambil pusing. Dia buat kerana saddha. Dahulu, sewaktu Luang Phor Khun, Wat Banrai popular, ada manusia yang kerana saddha sanggup minum air kencing Luang Phor Khun. Pada bulan lima, masa kaum Siam memandikan tok sami, ada yang menadah air yang mengalir dari badan tok sami untuk diminum. Semua ini kerana saddha.

Baginda Buddha ada mengajar kita bahawa saddha mesti ada panya (bijak). Maksudnya saddha mesti diawasi oleh panya. Saddha tanpa panya akan jadi bodoh. "Saddha bodoh" inilah yang menjadikan seseorang sesat.

Masih ramai orang Siam yang "saddha bodoh" terhadap tok sami. Semaikin tinggi pangkat tok sami, semakin kuat saddha bodohnya. Semakin tua tok sami, semakin sesat saddhanya. Orang baik tidak bergantung pada pangkat dan usia.

Bhikkhu yang baik walaupun tiada pangkat dan usia muda tetap baik. Baik atau tidak seseorang Bhikkhu kerana pengamalan Dhamma-Vinaya. Pangkat dan usia tak mampu membuatkan orang jadi baik. Buddha tak ada sebarang pangkat dan mencapai Trassaru ketika usia muda.

Orang Siam, jikalau tidak mahu diketawakan oleh agama lain harus "membetulkan" saddha. Masukkan panya dalam saddha. Bagi penganut agama Buddha, panya ialah kapten. Sebab itulah Baginda Buddha menekankan perihal panya. Agama Buddha dikatakan agama yang berkiblat kepada panya, tapi malangnya orang Siam masih ramai jahil agama. Mereka selalu bertindak bodoh dan bangang dalam hal-hal agama. Peratus yang bertindak mengikut panya terlalu kecil.

Panya tidak datang bergolek. Panya datang daripada ilmu pengetahuan dan amalan Dhamma. Dalam agama Buddha, panya dibahagikan kepada beberapa tingkat. Tingkat paling asas datang daripada ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan datang daripada mendengar dan membaca. Mendengar khutbah Dhamma pun tidak, membaca buku Dhamma juga malas, susahlah hendak tambah ilmu agama. Dalam internet, terdapat ratusan laman Dhamma, tapi berapa ramai yang klik tengok.

Mendengar khutbah Dhamma pun harus berhati-hati. Zaman sekarang ramai tok sami yang cari makan dengan memberi khutbah Dhamma. Dia memberi khutbah Dhamma bagi menyakinkan orang Siam bahawa dia pakar Dhamma. Kemudian dia ajarkan meditasi kononnya dia dari aliran meditasi, phra patibat kononnya. Hakikatnya, ada udang di sebalik batu. Apabila orang Siam telah percaya dan yakin (saddha) mulalah dia melancarkan propaganda dan kempen "jual pahala" untuk dibawa balik ke kampung halamannya. Kempen "jual pahala" ini boleh datang dalam bentuk kathina, phapa, dan sebagainya. Oleh kerana orang Siam terkenal dengan sikap saddha bodohnya, maka ramailah yang termakan propaganda itu.

Jangan terlalu taksub kepada individu. Baginda Buddha melarang pengikutnya taksub kepada individu. Saddha mesti dikawal oleh panya agar tak jadi saddha bodoh. Jikalau kita mahu dihormati oleh masyarakat lain, kita tak boleh melakukan sesuatu yang tidak masuk di akal.

Ajaran Buddha menekankan 3 perkara utama iaitu Sila, Samadhi dan Panya. Semua yang kita buat mesti menjurus kepada 3 perkara ini.

8 comments:

budhaborisat ke3 said...

syabas Tuan Pena!!

kupasan Tuan begitu tepat dengan waktu dan amat sesuai dengan situasi. Dalam bahasa Thai disebut
"took kala thesak"..

budhaborisat ke3 said...

minum air tadahan dari sami, membenarkan sami pijak bahagian tubuh badan dan lain-lain tidak dapat membantu seseorang untuk memahami Dhamma.

Untuk mencapai pencerahan hanya satu kaedah iaitu mempraktis Dhamma yang diajar oleh Buddha.

Pada zaman Buddha sendiri pun tidak pernah ada mana-mana individu yang mencapai arahant disebabkan membenarkan Buddha memijak bahagian tubuh badan atau dengan hanya meminum air yang mengalir dari tubuh badan baginda!!

Mana-mana sami yang terlibat dengan upacara umpama ini harus melarang pengikutnya agar ia diberhentikan.

pena reformasi said...

Tradisi "titian manusia" diamalkan di sebuah perkampungan orang Karen di Burma. Saya tak pasti nama kampung dan wat berkenaan. Orang kampung akan tidur berbaris bagi Luang Phor berjalan di atas belakang mereka.

Tradisi ini bermula lama dahulu. Selepas upacaya memandikan Luang Phor, Luang Phor akan pergi ke Ubosot. Sedangkan keadaan dalam Wat begitu lecak dan berlumpur. Luang Phor pun sudah tua, berjalan dalam lumpur tentulah susah dan kotor. Oleh itu penduduk kampung terpaksa berbaring agar Luang Phor dapat berjalan ke Ubosot dengan mudah dan kaki pun tak kotor.

Masuk akal juga perbuatan ini. Luang Phor telah melalui upacara mandi (telah dibersihkan), kemudian akan ke Ubosot, takkan terpaksa turun lumpur lagi.

Anonymous said...

Pelik aku dgn perilaku manusia yang taksub ni...kdg2 mcm mereka ni tak ada akal...tak logik langsung t.laku dia org..bukan sja penganut Buddha,agama lain pun mcm tu jgk..bertambah byk la ajaran sesat..

..kor ar kar..

pena reformasi said...

Orang yang taksub kerana mereka tak pernah didedahkan dengan ajaran tulen, melainkan ajaran oleh aliran atau individu tertentu. Orang yang pernah didedahkan dengan ajaran/kitab tulen tak akan taksub.

Anonymous said...

Aku tabek pandangan dan penulisan hang yang ini !!
Stuju 100%

Anonymous said...

orang yang taksub bukankah dipanggil mempunyai micchaditthi (pandangan yang salah).

Saddha hanya untuk kepercayaan dan keyakinan kepada Triratna dengan pannya (kebijaksanaan).

sk tin

pena reformasi said...

(SK Tin) Betul, taksub termasuk dalam miccaditthi.