Saturday, September 11, 2010

Tambun: Buatlah Cara Yang Betul (2)

Tambun sudah menjadi darah daging masyarakat Siam sejak dahulu kala. Orang Siam "tak boleh hidup" tanpa tambun.

Orang Siam tak kira tua atau muda memang terkenal dengan sikap suka tambun. Tetapi masih ramai yang belum faham atau masih terkeliru dengan maksud tambun yang sebenar. Sesetengah orang menyangka tambun hanya melibatkan pemberian (tamtan) semata-mata dan pemberian itu pula hanya kepada phra Bhikkhu di wat sahaja. Sesetengah orang pula masih was-was sama ada tambun yang dilakukan mengikut cara yang betul atau cara yang salah; mendapat hasil bun atau tidak; dan bagaimana cara tambun yang betul agar mendapat hasil yang banyak? Dua persoalan akhir sering bermain di kepala majoriti orang Siam.

Orang Siam apabila disebut tambun, mereka akan terfikirkan pemberian/sedekah/kebajikan yang dipanggil tamtan. Sedangkan tambun dan tamtan tidak sama. Tamtan hanya melibatkan pemberian, tetapi tambun lebih daripada itu. Akibatnya, ramai yang hanya pentingkan tamtan dan mengabaikan 2 lagi tambun iaitu Sila dan Pavana yang memberikan hasil yang lebih lumayan. Sila (rap Sin) hanya dijadikan upacara agama, bukannya amalan. Pavana pula terlalu janggal bagi kebanyakan orang Siam.


Bun merujuk kepada Tan (kebajikan), Sila (moraliti), Pavana (meditasi) yang dipanggil bunkiriya vattu 3. Jadi, apabila kita hendak tambun kita boleh pilih sama ada melalui tamtan, jaga Sila atau praktis Pavana. Seelok-eloknya, amalkanlah tambun melalui ketiga-tiga cara agar hasilnya lumayan dan seimbang.


Bagi memudahkan kita membuat pilihan, tambun telah diperincikan kepada 10 perkara yang dipanggil bunkiriya-vattu 10 (sila rujuk post terdahulu). Kita mempunyai banyak pilihan untuk tambun. Oleh itu, kita jangan menyempitkan tambun kepada pemberian atau sedekah semata-mata.


Persoalannya, masyarakat Siam sering dikelirukan bahawa tambun adalah sinonim dengan tamtan. Kita diminta pergi tambun, tetapi hakikatnya kita diperdaya pergi tamtan. Kebanyakan tambun yang kita buat di wat ialah tamtan kerana melibatkan pemberian material (amit-puja). Contohnya, kutip duit derma untuk bina Ubosot, Dewan Dhamma, dapur, kutti atau memberi makanan kepada Sangha (Sanghadana) semuanya dalam kategori tamtan.

Tamtan ialah kita memberi dan orang lain menerima. Kenapakah kita terpaksa "memberi" untuk dapat bun jikalau ada cara lain yang kita tak perlu berhabis? Memang betul "memberi" satu-satunya cara mengikis perasaan kedekut dan tamak. Namun, memberi harus kepada yang betul-betul memerlukannya. MENDERMA kepada JUTAWAN merupakan sesuatu yang pelik. BERSEDEKAH kepada orang yang HIDUP MEWAH sesuatu yang luar biasa.

Bagaimana dengan tamtan kepada Bhikkhu yang melanggar Dhamma-Vinaya? Dalam hal ini para Bhikkhu sering memetik dua Sutta bagi mengabui mata kita. Sutta pertama yang mengatakan bahawa "membuat baik/memberi makan kepada hidupan seni dalam parit sekalipun tetap mendapat pahalanya". Sutta kedua yang mengatakan "Sangha merupakan sawah pahala bagi umat Buddhis".

Kedua-dua Sutta ini dijadikan hujah untuk mengelirukan kita dan propaganda agar kita terus-menerus jadi "tali hayat" kepada wat dan penghuninya.

Memang betul, memberi makan kepada hidupan seni dalam parit tetap dapat hasil pahala kerana hidupan seni itu tak ada Dhamma-vinaya yang akan dilanggar. Sedangkan Bhikkhu yang melanggar Dhamma-Vinaya sesuka hati dikutuk Baginda Buddha kerana mereka pemusnah agama. Tamtan/tambun kepada orang begini dianggap bersekongkol dengan pemusnah agama. Kita tak patut jadi "tali hayat" kepada pemusnah agama.

Sutta kedua yang mengatakan Sangha adalah sawah pahala yang merupakan tempat paling sesuai bagi kita menabur benih pahala memang benar. Sangha di sini merujuk kepada Sangha yang mengamalkan Dhamma-vinaya. Bagi Sangha yang melanggar Dhamma-vinaya, mereka tak akan dapat jadi sawah pahala, melainkan lembah dosa. Oleh itu, tamtan/tambun kepada Sangha jenis lembah dosa hanya memberi hasil dosa kepada kita.

Sangha/Bhikkhu yang baik tak akan membuka mulut meminta. Tetapi hari ini apabila kita pergi ke wat kita sering kedengaran Tok Sami meminta dan merayu orang ramai menderma kepada wat. Mereka "menjual pahala" kepada kita kerana mereka tahu ramai antara kita "tamak pahala". Dalam bahasa Siam dipanggil "ba bun" atau "gila pahala". "Tamak pahala" lebih baik daripada "tamak dosa" tetapi janganlah sampai jadi bodoh dan dengan mudah diperdayakan oleh orang lain.

Kita mempunyai 10 cara tambun. Tamtan cuma salah satu daripadanya. Oleh itu, kita tak patut tertumpu kepada tamtan sahaja. Jikalau kita melihat pintu pahala hanya melalui tamtan semata-mata, kita akan jadi sasaran propaganda dan penipuan individu tamak yang memperalatkan agama dan kepercayaan kita demi nafsu tamaknya.

Baginda Buddha mengajar kita agar menggunakan Panya dalam semua kehidupan, termasuk dalam soal tambun tamtan.

Berbuat baik mesti betul dengan caranya, kalau tidak kita tak akan dapat menerima hasil sebagaimana yang kita harapkan. Berwaspdalah dengan "berbuat baik" secara ikut-ikutan kerana mungkin ia bertentangan dengan ajaran Baginda Buddha!

4 comments:

Budhaborisat ygke3 said...

apakah melawati SANGWAYCHANIYA SATAN tempat Buddha LAHIR, TRASSARU, BERKHUTBAH KALI PERTAMA DAN PARINIBBANA memberi BUN yg lebih kpd pempraktis Dhamma??..

pena reformasi said...

Bun ialah sesuatu yang memberikan kita kepuasan dan kegembiraan hati. Jika kita melawat tempat tersebut, membikin hati kita gembira, bun lah namanya. Selain itu, kita boleh menjadikan tempat tersebut sebagai renungan dan peringatan bahawa Baginda Buddha pernah wujud di situ. Tapi, ia tak ada kaitan dengan praktis Dhamma dan pembebasan minda dari kilesa.

Thai SIAM said...

Kebanyakkan aktiviti Thambun orang Siam (Thailand n Malaysia) adalah Thamtarn. Ramai dikalangan orang Siam kita termasuklah saya sendiri memang mengangapkan Thamtarn dan Thambun adalah sama. Ini termasuklah segala derma atau kutipan seperti Thort Phapha/ Khatina atau untuk membina/ memperbaiki bangunan dalam Wat.

Mengapakah perkara penting sebegini tidak pernah dijelaskan atau diberitahu oleh mereka-mereka yang arif dalam Dhamma terutama sekali pihak Sangha????

ATAU jikalau perkara sebenar dijelaskan/diketahui maka pendapatan pihak Wat/Sami akan berkurangan....

T.KASIH Tuan Pena di atas penjelasan Tuan..

pena reformasi said...

Banyak lagi "rahsia Dhamma" yang patut diketahui kaum Buddhis. Semoga pembaca semua sudi berkongsi ilmu di sini.