Friday, November 5, 2010

Jangan Malu Jadi Orang Siam!

Semua orang cinta dan bangga dengan bangsanya. Daripada kecintaan dan kebanggaan itulah lahirnya semangat kebangsaan. Saya juga cinta dan bangga dengan bangsa saya.

Walaupun orang sebut etnik Siam, saya tetap sebut bangsa Siam. Alasan saya mudah. Jikalau Melayu, Cina dan India tidak mahu "mengorbankan" istilah bangsa mereka, orang Siam juga tak perlu "mengorbankan" istilah bangsa Siam. Sebutan bangsa lebih sedap kerana kedengarannya besar dan gah.

Bangsa Siam sama hebat dengan bangsa lain dari segi sejarah, budaya dan tamadunnya. Oleh itu, bangsa Siam tak perlu berasa kerdil apabila berdiri di samping bangsa lain. Setiap bangsa mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tiada mana-mana bangsa yang harus mendabik dada bahawa merekalah bangsa terulung di muka bumi ini. Sekiranya ada sesiapa berkata, "akulah bangsa terulung di dunia!" tahulah bahawa itu adalah orang gila. Seandainya ada sesiapa berkata, "bangsa aku bangsa pilihan Tuhan!" jelaslah bahawa itu adalah orang sewel.

Jikalau ada bangsa terulung dan pilihan Tuhan, mengarutlah namanya. Apabila disebut mengarut, tiada lain lagi yang boleh ditulis. Benda mengarut, tulis panjang-panjang buang masa dan tidak membawa sebarang faedah.

Bangsa Siam seperti bangsa lain mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Namun, majoriti Siam lebih melihat kepada kekurangan daripada kelebihan bangsanya. Mari kita lihat kenapa saya kata Siam lebih melihat kepada kekurangan.

1. Orang Siam malu bercakap bahasa ibunda di depan bangsa lain, terutama di khalayak umum. Lihatlah golongan berpendidikan "separuh masak" mereka lebih suka bercakap Melayu atau Inggeris sesama Siam. Malu bercakap bahasa ibunda, takut orang tahu dia orang Siam dan bermacam-macam alasan lagi. Padahal bahasa Thai itu lebih hebat, lebih sedap dan lebih kaya istilahnya. Peradaban bahasa Thai juga tidak kurang hebat daripada bahasa lain. Malah yang lebih teruk lagi apabila terdapat perjumpaan atau mesyuarat persatuan di kalangan orang-orang Siam tapi tidak menggunakan bahasa Thai. Kita patut berbangga dengan bahasa ibunda kita.


2. Orang Siam selalu mengalah apabila berdepan dengan masalah agama. Kita seolah-olah menerima hakikat bahawa agama orang lain lebih hebat, Tuhan orang lain lebih kuat. Malah yang lebih malang apabila terdapat Siam kepala udang ikut mencari Tuhan sebagaimana yang dikonsepkan oleh agama lain. Kita jangan cari benda yang tak ada. apabila terikut-ikut dengan rentak mereka, kita akan berasa agama kita kekurangan. Hakikatnya agama kita paling hebat. Agama kita bercakap tentang kebenaran, tentang benda yang wujud. Agama kita tidak mencipta benda yang tidak wujud sehingga dipercayai wujud, memberikannya kuasa, taraf, kedudukan istimewa, kemudian menggunakannya untuk menakutkan orang. Kita sepatutnya berani bercakap benar sebagaimana yang terdapat dalam agama kita agar orang lain tahu bahawa agama kita tidak teruk seperti sangkaan mereka. Tolak ansur antara agama ada batasannya. Jikalau sampai ke tahap kita ditohmah dan dikutuk, kita harus membalasanya dengan cara yang bijak. Minta mereka tunjukkan bukti apa yang didakwa mereka. Kalau gagal, terbuktilah mereka bercakap tanpa asas. Kita patut bangga jadi penganut agama Buddha; agama agung yang boleh dibuktikan kebenarannya.

3. Orang Siam orang hebat. Sejak dahulu orang Siam selalu menjadi tumpuan bangsa lain. Dahulu kehebatan Siam terserlah dalam bidang perbomohan, kesenian dan sebagainya. Siapa tidak kenal dengan Bomoh Siam, Menora Siam dan Muay Thai. Kalau di Kelantan sebut saja "minyak dagu" semua orang tahu. Sebut saja "besi bart" semua orang berdiri bulu roma. Kerana kehebatan orang Siam inilah, jiran-jiran ramai yang sujud kepada orang Siam. Sekarang kehebatan orang Siam semakin berkurangan. Namun, tidak boleh dijadikan alasan untuk kita "menyembah" bangsa lain. Kita tak boleh hidup di bawah kangkang orang lain. Kita bangsa merdeka. Kita mesti memikirkan bahawa kita pernah hebat dan berusaha kembalikan kehebatan tersebut.

4. Orang Siam mempunyai ilmu kaji cuaca yang baik. Orang Siam mampu meramal dengan tepat tahun mana tanaman subur, kurang subur, bencana banjir bakal melanda, kemarau akan menjelma dan lain-lain. Orang Siam mempunyai kemahiran kosmik yang luar biasa. Selain itu, orang Siam pandai melihat "masa baik" bagi memulakan sesuatu pekerjaan atau perjalanan jauh. Kelebihan ini jarang ada pada orang lain. Orang Siam patut berbangga dengan ilmu yang dimiliki keturunan kita.

5. Tidak pernah kedengaran ada orang kata Siam pemalas. Orang Siam tidak malas. Mereka kuat berusaha. Jarang tanah orang Siam dibiarkan tanpa diusahakan. Musim tanam padai, orang siam turun ke sawah. Selepas musim menuai, orang Siam pergi ke kebun. Orang Siam tidak pernah duduk berpeluk tubuh di tepi tali air atau jalan raya melihat orang lain bekerja. Walaupun tidak ramai orang Siam bergelar jutawan, tapi kita tak perlu berkecil hati. Kita berjaya seperti sekarang dengan titik peluh sendiri. British tak pernah bagi kita lombong bijih timah. Kerajaan tak pernah bagi kita pinjaman percuma (tak perlu bayar balik). Kita berjaya dengan tulang empat kerat. Walaupun kita dilahirkan di bumi ini, hak kita dirampas, kita masih berjaya. Kita patut berbangga.

6. Orang Siam kaya dengan nilai murni dan terkenal dengan kesopanan dan kesantunannya. Inilah harta pusaka orang Siam yang menyebabkan kita senang didampingi bangsa lain. Orang Siam tahu bertimbang rasa, menghormati hak orang lain, berkongsi perkara yang perlu dan berbudi pekerti tinggi. Nilai-nilai murni masih jadi identiti orang Siam sehingga kini. Nilai-nilai ini adalah bukti bahawa kita tidak kerdil daripada bangsa lain. Jikalau ada bangsa lain bermegah, menepuk dada berbangga dengan bangsanya, kita juga boleh melakukan perkara yang sama.

Kita tidak patut berasa malu, berasa kekurangan dan kerdil apabila berhadapan dengan bangsa lain kerana kita juga daripada kelompok bangsa besar dunia!

No comments: