Sunday, November 14, 2010

Kalama Sutta: Jalan Keluar Yang Diabaikan!

Bun barami bukan KFC, burger, atau mi Maggi. Bun barami juga bukan civorn atau pokok bunga. Bun barami bukan Kathina atau Krathong.


Kesian orang-orang Siam. Sudahlah ketinggalan dalam beberapa bidang berbanding bangsa lain, kita turut dibelenggu masalah krisis fahaman agama. Bermacam-macam fahaman agama kita terima sehingga kita terkeliru fahaman mana yang tulen dan benar. Fahaman agama kita jadi seperti rojak Mamak. Kalau kena dengan caranya, rojak Mamak pun sedap.

Contohnya apabila kita pergi jumpa sami A, dia kata "mesti begini" barulah betul. Pergi jumpa sami B, dia kata "harus begitu" barulah tepat. Sami C, sami D dan sami E semuanya mempunyai fahaman yang berbeza-beza. Apabila ditanya balik, dari mana fahaman itu diambil, semua jawab daripada "acarn" mereka atau kitab suci Tipitaka. Kitab Tipitaka cuma satu, tapi kenapa keluar ratusan jenis fahaman? Keluar daripada tafsiran sendiri?

Saya berikan satu contoh. Sebuah Samnakh Song di Timur Semenanjung Malaysia, terdapat Phra Maha dari Thailand promosi minta orang Siam tambun sempena Kathina. Katanya, mungkin RM10 yang anda tambun akan membuatkan anda dapat RM100, RM1000, RM100,000 atau RM1 juta dan anda jadi kaya raya. Siapa tahu kerana kuasa bun itu sangat kuat. Pokoknya, Maha ini sedang promosi bagi orang tambun untuk jadi kaya. Ini seperti promosi skim cepat kaya Pak Man Telo. Orang tamak pasti terperangkap. Phra Maha itu mungkin ada alasan tersendiri. Itu saya tidak mahu tahu.

Dari Sutta manakah Phra Maha ini belajar? Apakah sandaran beliau memberikan tafsiran sebegini rupa terhadap ajaran Baginda Buddha yang diketahui umum menganjurkan pelepasan duniawi?

Ini sekadar satu contoh yang sedang berlaku dalam agama kita. Bukan setakat di samnakh song, di wat-wat juga berlaku perkara yang sama. Sami jual bun (jual pahala) kepada masyarakat. Masyarakat beli bun daripada sami. Bun boleh dijual beli. Perniagaan bun ini sangat menguntungkan kerana modalnya cuma air liur basi. Penjual ubat di kaki lima jikalau jadi sami pasti kaya raya kerana dia pandai bermain kata-kata.

Agama Buddha mempunyai 2 mazhab utama iaitu Mahayana dan Theravada. Setiap mazhab mempunyai beberapa aliran dan setiap aliran mempunyai pelbagai fahaman.

Di Thailand, terdapat 2 aliran utama iaitu Dhammayut dan Mahanikai. Daripada 2 aliran ini, muncul sub-aliran iaitu aliran meditasi (phra hutan), aliran Luang Phu Mun, aliran Luang Phor Sod, aliran Buddhadas, aliran Kruba Sri Vichai dan sebagainya dan bermacam-macam fahaman yang remeh-temeh. Sekarang wujud pula Dhammakai dan Dhamma-kaut. Ini semua menyebabkan orang-orang Siam terkeliru.

Dalam banyak-banyak aliran itu, aliran Dhamma-kaut paling mengelirukan dan merupakan ancaman paling besar. Ancamannya lebih kuat daripada jengkaut. Kalau diibaratkan dengan bencana mungkin setaraf tsunami atau letusan Merapi. Aliran ini dianuti pelbagai peringkat golongan daripada Somdet, Phra Maha, Than Chau Khun, Phra Kru sehinggalah kepada sami-sami biasa dan sami-sami cap ayam. Pengikut-pengikutnya pula terdiri daripada golongan berpendidikan tinggi sehinggalah kepada yang buta huruf dan buta hati.

Masalah yang membelenggu orang-orang Siam hari ini sama halnya dengan masalah yang dihadapi golongan Kalama pada zaman Buddha dahulu. Bezanya, dahulu belum ada aliran Dhamma-kaut.

Golongan Kalama tinggal di satu perkampungan yang menjadi laluan utama penduduk India ketika itu. Ini menyebabkan perkampungan mereka sering disinggahi para penyebar agama/kepercayaan/ fahaman. Dikatakan bahawa terdapat lebih kurang 60 agama/kepercayaan/fahaman di India ketika itu. Setiap satunya membawa ajaran yang berbeza-beza sehingga mengelirukan golongan Kalama. Walaupun golongan Kalama ini bukan sembarangan orang, ramai antara mereka terdiri daripada golongan pemikir, cendekiawan dan bijak pandai, tapi kerana banyak sangat ajaran yang mereka terima setiap masa, menyebabkan mereka sukar membezakan yang betul daripada yang tidak betul. Maklumlah semua penyebar agama mendakwa ajaran mereka sahaja yang benar, ajaran lain tidak benar. (Jadi, tidak hairanlah jikalau perkara ini masih ada sehingga hari ini).

Pada suatu hari, sewaktu Baginda Buddha datang ke perkampungan mereka, golongan Kalama pergi menghadap Baginda Buddha. Mereka mohon Buddha memberi petunjuk atau cara-cara mengenal pasti ajaran yang betul yang dibawa oleh penyebar-penyebar agama. Dari situlah wujudnya Kalama Sutta. Sutta ini lazimnya dijadikan oleh kaum Buddhis sebagai pedoman mengenal pasti ajaran yang betul daripada yang salah.


Sabda Baginda Buddha:

1. Janganlah percaya begitu saja apa yang anda dengar hanya kerana anda telah mendengar hal itu sejak sekian lama.

2. Janganlah mengikuti tradisi secara membuta tuli hanya kerana hal itu telah dipraktikkan sedemikian secara turun-temurun.

3. Janganlah cepat terpedaya dengan desas-desus atau khabar angin.

4. Janganlah meyakini segala sesuatu hanya kerana hal itu tertulis atau selaras dengan kitab suci anda.

5. Janganlah membuat ramalan secara bodoh.

6. Janganlah tergesa-gesa membuat kesimpulan berdasarkan jangkaan daripada apa yang anda lihat dan dengar.

7. Janganlah percaya hanya kerana berfikir mengikut keadaan semasa.

8. Janganlah percaya kerana perkara itu sehaluan dengan kepercayaan atau fahaman anda.

9.Janganlah percaya sesuatu perkara kerana anda merasakan individu yang menceritakan perkara itu boleh dipercayai.

10.Janganlah meyakini sesuatu hanya kerana diberitahu oleh individu yang anda anggap sebagai guru (acariya).

Kita harus menolak sesuatu ajaran apabila diamalkan akan meningkatkan ketamakan(lobha), kemarahan(dosa), kesesatan (moha), keserakahan nafsu (tanha), kemahuan nafsu, kecelaruan hati, kekhilafan minda (micca ditthi) dan lain-lain. Ajaran atau fahaman yang melebihkan duniawi(lokiya) daripada bukan duniawi(lokuttara) juga harus ditolak kerana bukan ajaran Buddha.

Sebaliknya, kita boleh terima ajaran tersebut apabila diamalkan akan melahirkan kasih sayang, belas kasihan, kesederhanaan, kebercukupan, ketenangan dan kebijaksanaan.

Kesimpulannya, orang-orang Siam hari ini berhadapan dengan dilema yang sama dengan golongan Kalama dahulu. Oleh itu, hanya kebijaksanaan minda sahaja yang mampu mengeluarkan orang Siam daripada kekeliruan.

Bagaimana hendak melahirkan minda yang bijak?

1. Rajin rujuk atau baca kitab Tipitaka. (Ini cara paling baik kerana kita tidak perlu melalui "orang tengah" yang entah betul atau mempunyai udang di sebalik batu apabila menyampaikan Dhamma kepada kita).

2. Jikalau sukar atau tidak faham baca Tipitaka (sukar bagi pemula), baca buku Dhamma atau dengar Dhamma daripada Bhikkhu yang telah "diperakukan" betul amalan zahir dan batinnya.

3. Praktik Dhamma sendiri.

Hanya Kalama Sutta mampu mengeluarkan orang-orang Siam daripada belenggu kekeliruan Dhamma.

Amalan memuliakan individu (Bhikkhu), menganggap segala percakapan mereka adalah betul dan wajib dipatuhi dan bun barami boleh dijual-beli dengan wang ringgit akan menyekat percambahan minda dan menjauhkan kita daripada kebenaran Dhamma. Bun barami bukan KFC, burger, atau mi Maggi. Bun barami juga bukan civorn atau pokok bunga. Bun barami bukan Kathina atau Krathong. Bun barami adalah amalan mulia yang dilakukan dengan penuh kesedaran akan baik-buruknya apa yang kita lakukan itu. Bun barami adalah pemangkin kebebasan minda. Jikalau menyebabkan kita semakin sesat, bukan bun barami namanya.






2 comments:

Thai SIAM said...

Semua ucapan @ kata-kata yang keluar dari mulut sami/phra khun chau akan diterima/percayai 100% oleh kaum Buddhis terutama berkaitan dengan BUN (tak kira apa jadah BUN)semuanya akan direbut oleh kaum Buddhis.

Ada sesetengah orang nak beli makan pun sayang duit (kedekut), tapi kalau bab BUN ni memang tak berkira sehingga beribu pun tak apa asalkan dapat BUN (beli BUN).

Sebab BA BUN inilah maka banyak pihak termasuk pihak wat/sami dapat mengumpul kekayaan sampai puluhan/ribuan..RMMMM setahun..

Anonymous said...

Sama-sama kita kembali kepada ajaran Buddha dan ikut nasihat daripada Kalama sutta.

sk tin