Friday, November 5, 2010

Loy Krathong: Tradisi Bangsa Siam, Atau Bangsat Siam?


Sekarang masyarakat Siam sibuk dengan Kathina. Selepas Kathina sibuk pula dengan pesta Loy Krathong. Ini pesta tradisi yang diwarisi sejak zaman berzaman. Pesta loy Krathong diadakan pada malam Wanphen (bulan purnama) Bulan 12, Lunar Siam. Tradisi ini dipelihara dengan baik sehingga kini.

Terdapat pelbagai versi tentang pesta Loy Krathong. Versi yang paling popular ialah yang berkaitan dengan Phra Mae Kongka yang dipercayai sebagai Dewi Air. Loy Krathong diadakan sebagai tanda penghormatan dan terima kasih kepada Phra Mae Kongka yang memberikan kita sumber air.

Versi lain ialah sebagai memuja bekas tapak kaki Baginda Buddha di tebing pasir Sungai Narmaha, India. Versi ini ada kaitan dengan pesta Hindu yang memberi penghormatan kepada Dewa Hindu yang dipercayai bermeditasi di dasar lautan. Walau apapun, Loy Krathong pertama kali diadakan oleh Nang Noppamas, Permaisuri Kerajaan Sukhothai pada kurun ke 13.

Namun, sejak kebelakangan ini muncul golongan moderate yang mengadakan pesta Loy Krathong tidak ikut masa sebagaimana lazimnya. Mereka buat ikut selera sendiri sahaja. Mereka tidak peduli sama ada wanphen atau tidak, asalkan boleh membawa keuntungan, akan diadakannya. Bulan 11, atau 12 tidak penting. Lebih malang lagi, mereka ini memanipulasi agama untuk melariskan Krathong mereka. Mereka membuat bermacam-macam propaganda agar orang ramai terpengaruh dan menyertai mereka. Mereka berjaya. Ramai orang Siam, orang Cina danTok Sami menyertai mereka.

Golongan modenisai ini lebih layak dipanggil pengkhianat bangsa dan petualang agama kerana mereka sedang memusnahkan budaya bangsa dan menjahanamkan kemurnian agama Buddha. Masyarakat Siam patut sedar akan perkara ini. Mana boleh tradisi bangsa warisan moyang dimusnahkan kemurniannya begitu sahaja. Persatuan Siam, jikalau masih sayangkan bangsa, bangunlah mempertahankan nilai-nilai tradisi dan agama Buddha yang sedang dijahanamkan ini. Loy Krathong hak milik bangsa Siam. Sesiapa pun, termasuk orang Siam, tok sami, tidak berhak mengkhianatinya. Semua orang Siam wajib menjaga dan memelihara budaya, adat dan agama mereka.

Tengoklah bangsa lain. Adakah mereka mengadakan pesta tradisi mereka di luar masa yang ditetapkan? Pesta Menuai, Hari Gawai, Hari Raya, Deepavali, Tahun Baru Cina, Tahun Baru Sikh, Taipusam dan lain-lain diadakan tepat pada masanya. Cuma pesta tradisi orang Siam sahaja diadakan sesuka hati. Dan orang Siam Lembah Klang terkenal dengan pesta "sesat jalan" ini. Loy Krathong, Saipret, Songkran diadakan mengikut selera sendiri. Biasanya hari Ahad. Susah sangatkah jikalau diadakan mengikut waktunya yang sebenar?

Semua pesta tradisi, pesta seni atau upacara agama sudah ditetapkan harinya berdasarkan kelaziman sejak turun temurun. Jadi, tidak elok kita mengubahnya. Kalau kita tidak mampu menghormati Krathong kerana ia tidak bernyawa, kita mesti menghormati Phra Mae Kongka. Kalau kita tidak berupaya menghormati Phra Mae Kongka kerana kita tidak nampak, kita mesti menghormati sesama orang Siam dan menjaga perasaan mereka. Perasaan dan hati orang Siam pasti tergores apabila ada orang mempersendakan adat dan agama mereka. Kalau kita tidak menghormati orang yang masih hidup, hormatilah orang yang telah mati (termasuk ibu bapa kita) yang menjaga adat, budaya dan agama kita untuk diwariskan kepada kita. Apabila sampai ke tangan kita, dengan sewenang-wenangnya kita mencemarinya. Sekiranya roh itu ada, sedih mereka melihat pengkhianatan yang dilakukan. Asyik memuliakan "kepala Agung" sahaja tidak boleh juga.

Sekiranya bangsa lain tahu bahawa terdapat orang Siam yang mengkhianat adat tradisi bangsanya sendiri, adakah mereka akan menghormati kita? Tidak. Tidak ada mana-mana bangsa di dunia yang akan menghormati bangsa yang mengkhinati "harta pusaka" bangsanya sendiri. Loy Krathong adalah harta pusaka bangsa kita yang tidak ternilai harganya. Bahkan kita akan dicemuh oleh dunia. Nasib baik, belum ramai bangsa lain sedar akan perkara ini. Satu hari nanti mereka akan sedar juga. Jangan menyesal dan mengeluh sekiranya kita orang Siam tidak dihormati dan dipandang rendah oleh bangsa lain. Lihatlah bangsa-bangsa besar dunia. Mereka jatuh kerana tidak memuliakan budaya dan tamadun bangsa sendiri.

Mungkin akan ada yang memberi alasan bahawa mereka terpaksa mengorbankan masa sebenar kerana ingin memberi keselesaan kepada orang ramai yang bekerja. Orang ramai hanya cuti pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Oleh itu, Loy Krathong, saipret, dan Songkran harus diadakan pada hari Ahad. Mengorbankan adat dan nilai tradisi semata-mata kerana mahu melayan keselesaan orang ramai adalah kerja bodoh pengkhianat bangsa, dan petualang agama. Pencinta bangsa tidak akan melakukanya. Biar mati anak, jangan mati adat.

Nasib baik Hari Wesak cuti umum, kalau tidak petualang agama akan menyambutnya pada hari Ahad setiap tahun. Cuti umum sempena Hari Keputeraan, Trassaru dan Kemangkatan Baginda Buddha ini pun bukan diberikan atas permintaan orang Siam. Buddhis Cina dan Sri Lanka yang memperjuangkannya. Orang Siam, jenis petualang agama ini, kerjanya hanya menangguk di air keruh. Mereka cuma pandai mengintai keuntungan.

Apabila Loy Krathong, mereka mengintai keuntungan di celah-celah Krathong. Apabila Kathina, mereka mengintip keuntungan di celah-celah civorn. Apabila Hari Wesak, mereka menunggu keuntungan di sisi kotak derma. Dan pada hari biasa mereka mencari keuntungan daripada Cina bodoh yang jahil agama.

Ini bukan bangsa Siam, tapi bangsat Siam. Bangsa Siam mesti sayang dan cinta semua perkara yang berkaitan dengan bangsanya, sama ada adat tradisi, adat resam, seni budaya, moraliti dan nilai agama. Tapi bangsat Siam hanya tahu mengembungkan poket sahaja. Orang biasa atau sami semuanya sama. Bangsat tidak akan jadi bangsa.

Sekiranya kita, masyarakat Siam keseluruhannya merelakan tradisi kita dicemari, jadinya tradisi itu bukan lagi tradisi bangsa Siam, tetapi tradisi bangsat Siam!

Pencinta bangsa wajib memboikot semua pesta, upacara atau apa-apa sahaja yang diadakan di luar masa yang ditetapkan kerana ia melanggar kelaziman yang diwarisi daripada moyang kita. Perkara yang diadakan di luar kelaziman adalah salah. Perkara salah tentulah tidak mendatangkan kebaikan. Jadi hasilnya sia-sia belaka.

(Sesiapa yang ada maklumat tentang pesta Loy Krathong "sesat jalan" tolong hebohkan, agar boleh sama-sama kita tegur mereka. Tegur orang yang buat salah tidak dosa, bahkan dituntut oleh agama. Dan jangan lupa boikot usaha mereka itu).

8 comments:

Thai Lantu said...

SATU PAPARAN YANG SANGAT TEPAT PADA MASANYA...

Pada minggu lepas, saya balik ke pantai timur (Kelate) meziarahi kenalan yang sakit dan berkesempatan bersama-sama kaum Budhis di sana menyertai perayaan khatina di beberapa wat pada 5/11/2010. Ada satu wat di daerah Pasir Puteh telah mengadakan perayaan berkembar iaitu pengadakan Khatina (5/11/10)bersama pesta Loy Krathong (6/11/2010).

Di wat tersebut, saya berjumpa seorang kenalan dan bertanya beliau mengapa pesta Loy Krathong diadakan terlalu awal sedangkan bulan 12 (dean 12 lunar kalendar) pun belum muncul lagi (6/11/2010 jatuh pada rerm 14 dean 11). Beliau menjelaskan bahawa keputusan untuk mengadakan pesta Loy Krathong pada 6/11/2010 telah dibuat oleh ketua sami setelah berbincang dengan AJK wat.

Malah mengikutnya (dari penerangan ketua sami dan ajk wat) Loy Krathong tak semestinya diadakan pada dean 12. Di India mereka mengamalkan hanyutan bunga untuk memuja bekas tapak kaki Baginda Buddha sepanjang masa, manakala di Thailand mereka memilih dean 12 kerana kebanyakkan wilayah di Thailand dipenuhi air.

Jadi, mengikut penerangan tersebut maka pesta Loy Krathong boleh diadakan sepanjang tahun, tak perlu tunggu wan phen deau 12 (bulan purnama bulan 12 lunar kalendar)??????......

pena reformasi said...

Kita nak ikut tradisi kita(Sukhothai) atau tradisi India? Kita orang Siam (Thai) tak patut menjadikan India sebagai alasan atau sandaran. Semua orang boleh bagi alasan. Perompak pun ada alasannya sendiri kenapa dia merompak.

Loy Krathong diadakan ratusan tahun dahulu, tapi (setahu saya) tak pernah diadakan di luar waktu, kecuali sekarang. Sekiranya Loy Krathong diadakan sesuka hati mengikut waktu pilihan masing-masing - bulan 1 boleh, bulan 4 boleh, bulan 7 boleh, bulan 10 boleh, bulan 11 boleh, "nilainya" akan hilang. Ia akan jadi sesuatu yang tak ada harga. Kini ia ada "nilai" kerana keselarasan waktu iaitu Wanphen bulan 12.

Kita mesti ikut tradisi kita, pertahankannya daripada dinodai. Ini tidak, kita sendiri yang menodainya.

Anonymous said...

saya sokong pena refomasi. Tradisi kita orang siam. Identiti kita harus di pelihara jangan menodainya.Mengikut nafsu, rogol sana rogol sini lama kelamaan tradisi dan adat budaya kita jadi rojak.

Anonymous said...

Ambo sokong ksb kerana adat budaya kita mesti dijaga oleh kita. adat budaya jangan dijual beli. nak cari duit carilah cara lain yang tak rosakkan adat budaya.

di Klate Than Chao Khun sokong Loy Krathong luar musim di trengganu. orang kampung nak cakap apa lagi. siapa berani bangkang than chao khun. Than Chao Khun dulu-dulu tak macam ini.

-siam tumpat

Thai SIAM said...

Bukan saja Than Chau Khun sokong, malah boleh dikatakan semua ketua sami wat di kelate sokong dan hadir di K/Trg untuk suat kratong sebab penganjurnya adalah tauke Churt (Chan). Orang kg juga sokong sebab disajikan dengan konsert free artis popular dari Thailand...

Anonymous said...

Tauke Chut/Chan buat Loy Krathong luar musim semua orang ikut kerana dia tauke banyak duit. Orang banyak duit buat benda salah dipuji. Orang miskin buat benda betul pun dikeji. Inilah Siam kita. Penyakit ni susah nak berubat.

anak siam

Anonymous said...

Loy krathong buatlah dibulan 12..decemder pun ok...pasal bulan 12 juga,jangan jauh sangat..
awe dolah

Siam Praimai said...

Sori ya tapi tradisi siam adalah dari india...jadi nak cakap tradisi dri india atau siam x boleh