Thursday, November 11, 2010

Orang Jahat Umpama Pesakit Yang Perlukan Rawatan

Setiap hari kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai jenis manusia; di tempat kerja, di kelab sosial, di dalam persatuan, di sekolah, di rumah atau di wat. Banyak manusia, banyak ragam dan banyak kerenah. Kadang-kadang ragam dan kerenah manusia ini; sahabat, teman, keluarga mahupun jiran membuatkan emosi kita terganggu. Emosi yang terganggu secara berulang-ulang boleh melahirkan kebencian, kemarahan atau dendam.

Saribut (Sariputra) Savaka Kanan, Baginda Buddha yang terkenal dengan kebijaksanaannya, menggariskan 5 cara bagi menghadapi 5 golongan manusia yang mungkin mencetuskan situasi kebencian, kemarahan atau dendam di hati kita. Kita disarankan memandang sudut yang baik sahaja. Maksudnya kita hanya mengambil kira perkara yang baik dan mengabaikan perkara yang tidak baik.

5 golongan manusia dan 5 cara menghadapinya adalah seperti berikut:

1. Individu yang perbuatannya tidak baik, tetapi percakapannya baik.

Kita disarankan mengabaikan perbuatannya dan mengambil kira percakapannya sahaja. Sekiranya kita turut mengambil kira perbuatannya yang tidak baik, pasti emosi kita akan terganggu. Walaupun sukar hendak "membisu" dan "memekak" dengan orang yang perbuatannya tidak baik, tetapi jikalau kita berjaya melakukannya, nescaya kita akan tenteram, tiada kemarahan dan kebencian. Oleh sebab percakapannya baik, ambil sahaja bahagian itu dan abaikan bahagian yang tidak baik.

2. Individu yang percakapannya tidak baik, tetapi perbuatannya baik.

Kita disarankan mengabaikan percakapannya dan mengambil kira perbuatannya sahaja. Kerana percakapannya tidak baik, kita jangan mempedulikannya. Kita ambil perbuatannya yang baik itu. Kita pandang dia dari sudut perbuatannya.

3. Individu yang perbuatannya dan percakapannya tidak baik, tetapi mempunyai hati yang baik (tenang).

Kita disarankan mengabaikan perbuatannya dan percakapannya, tetapi mengambil kira hatinya yang baik sahaja. Jikalau kita asyik tumpu kepada percakapan dan perbuatannya, pasti kita akan membencinya. Oleh itu, tumpu pada hatinya. Masih ada bahagian baik dalam hatinya yang boleh kita ambil. Mungkin kita pernah dengar ada orang berkata, "Si Dia itu cakapnya tak berlapik, lakunya kasar, tapi hatinya baik."

4. Individu yang perbuatannya, percakapannya serta hatinya (minda) tidak baik (tidak tenang).

Tiada bahagian yang baik; percakapan, perbuatan mahupun hati. Ini individu "sakit". Saribut mengumpamakan individu ini sebagai seorang sakit yang sedang dalam perjalanan yang jauh. Dia tiada makanan, ubat dan orang yang boleh membawanya ke destinasi yang dituju dengan segera.

Sekiranya kita bertemu dengan individu "sakit" ini, Saribut berpesan bahawa kita harus menghadapinya dengan perasaan kasih sayang. Kita mesti mempunyai perasaan belas kasihan. Dia dalam kesakitan dan penderitaan. Dia memerlukan bantuan. Kita mesti berusaha membantunya, memberikannya makanan, mencarikannya ubat dan merawatnya sehingga sembuh. Kita tidak boleh membiarkan dia mati dalam perjalanan begitu.

Individu yang "sakit" ini mesti dibantu supaya dia meninggalkan perbuatan, percakapan dan hatinya yang tidak baik. Apabila dia telah kembali kepada perbuatan, percakapan dan hati yang baik,harapan kita agar dia akan bebas daripada kesengsaraan dan neraka.


5. Individu yang perbuatannya, percakapannya dan hatinya baik (tenang).

Kita disarankan memandang individu ini dari sudut yang baik. Individu ini mungkin kurang memberi masalah kepada kita, tetapi kita harus berwaspada kerana takut hati kita yang berlaku tidak baik terhadapnya. Oleh sebab itulah kita disaran memandang sudut yang baiknya.


Sebenarnya Sutra ini ditujukan khas kepada para Bhikkhu, tetapi oleh sebab kita juga penganut agama Buddha, jadi kita anggap ditujukan kepada kita juga. Walapun sukar untuk memandang sudut yang baik sahaja terhadap individu lain, terutama individu yang membenci atau memusuhi kita, namun sekiranya kita mampu, kehidupan kita akan tenteram.

No comments: