Tuesday, November 23, 2010

Orang Sakit Harus Diperdengarkan Dhamma

Pada suatu petang Phra Anon (Bhikkhu Ananda) menghadap Baginda Buddha, membawa perkhabaran bahawa seorang bhikkhu bernama Pakkuna sedang sakit tenat. Phra Anon mohon Baginda Buddha agar pergi menziarahi bhikkhu tersebut.

Tanpa berlengah-lengah, Baginda terus berangkat ke kediaman Bhikkhu Pakkuna. Apabila melihatan keberangkatan Baginda Buddha, Bhikkhu Pakkuna hendak bangun memberi hormat, tetapi dilarang oleh Baginda Buddha.

Baginda bertanya khabar kepada Bhikkhu Pakkuna tentang kesakitan beliau. Bhikkhu Pakkuna memberitahu kesakitannya semakin tenat. Beliau tidak tertahan lagi dengan kesakitan itu. Baginda Buddha menasihati beliau agar kuatkan hati dan tidak takut. Baginda memperdengarkan Dhamma kepada Bhikkhu Pakkuna berkenaan pandangan yang betul, moraliti, keberanian, dan keceriaan agar hatinya terang. Kemudian Baginda Buddha berangkat pulang. Selepas Baginda Buddha pulang, Bhikkhu Pakkuna menghembuskan nafas terakhir dengan tenang.

Semasa kematiannya, indera Bhikkhu Pakkuna berseri-seri tidak seperti orang lain.

Phra Anon mempersembahkan perkara itu kepada Baginda Buddha.

Baginda Buddha memberitahu Phra Anon bahawa indera Bhikkhu Pakkuna berseri-seri kerana minda beliau telah bebas daripada 5 Sangjot awal (Samyojana/fetters). Sebenarnya minda Bhikkhu Pakkuna belum bebas daripada 5 Sangjot awal, tetapi setelah mendengar Dhamma daripada mulut Baginda Buddha, minda beliau pun bebas daripada 5 Sangjot awal. Oleh sebab itulah, semasa kematian indera beliau berseri-seri.

Kemudian Baginda Buddha menceritakan 6 kebaikan (anisong) bagi individu yang hampir dengan kematian. Antaranya ialah:

1. Individu yang mindanya belum bebas daripada 5 Sangjot awal, tetapi sewaktu hampir dengan kematian, dia berkesempatan melihat Buddha dan Buddha memperdengarkan Dhamma lalu minda individu itu pun bebas daripada 5 Sangjot awal. (Anisong 1)

2. Individu yang mindanya belum bebas daripada 5 Sangjot awal, tetapi sewaktu hampir dengan kematian, dia tidak berkesempatan melihat Buddha, sebaliknya berkesempatan melihat murid Buddha. Murid Buddha memperdengarkan Dhamma lalu minda individu itu pun bebas daripada 5 Sangjot awal. (Anisong ke-2)

3. Individu yang mindanya belum bebas daripada 5 Sangjot awal, tetapi sewaktu hampir dengan kematian, dia tidak berkesempatan melihat Buddha dan murid Buddha, sebaliknya dia "berfikir dengan mendalam" tentang Dhamma yang pernah didengar dan dipelajarinya lalu minda dia pun bebas daripada 5 Sangjot awal. (Anisong ke-3

4. Individu yang mindanya telah bebas daripada 5 Sangjot awal, tetapi belum mencapai Nirvana kerana belum menemui Dhamma tahap lebih tinggi. Sewaktu hampir dengan kematian, dia berkesempatan melihat Buddha dan Buddha memperdengarkan Dhamma sehingga individu itu mencapai Nirvana kerana telah mendengar Dhamma tahap tinggi. (Anisong ke-4)

5. Individu yang mindanya telah bebas daripada 5 Sangjot awal, tetapi belum mencapai Nirvana kerana belum menemui Dhamma tahap lebih tinggi. Sewaktu hampir dengan kematian, dia tidak berkesempatan melihat Buddha, sebaliknya berkesempatan melihat murid Buddha. Murid Buddha memperdengarkan Dhamma sehingga individu itu mencapai Nirvana kerana telah mendengar Dhamma tahap tinggi. (Anisong ke-5)

6. Individu yang mindanya telah bebas daripada 5 Sangjot awal, tetapi belum mencapai Nirvana kerana belum menemui Dhamma tahap lebih tinggi. Sewaktu hampir dengan kematian, dia tidak berkesempatan melihat Buddha dan murid Buddha, sebaliknya dia "berfikir dengan mendalam" tentang Dhamma yang pernah didengar dan dipelajari sehingga mencapai Nirvana kerana telah berjaya memahami Dhamma tahap tinggi. (Anisong ke-6)

Sutta ini dengan jelas memberitahu kepada kita bahawa Baginda Buddha memberi/memperdengarkan Dhamma kepada individu yang sakit atau hampir dengan kematian agar mindanya mendapat pencerahan. Buddha atau murid Buddha tidak "suat" orang sakit.

Sedangkan, di tempat kita, para bhikkhu akan "suat Mongkul" atau "suat Avijja/Kusala" kononnya bagi "memanjangkan umur" orang sakit atau hampir mati. Suat Avijja itu baik sekiranya difahami pesakit kerana ia berkaitan dengan Pembebasan Minda. Kusala pula berkaitan dengan Karma baik dan Karma tidak baik. Soalnya orang sakit tidak faham bahasa Pali.

Oleh itu, bhikkhu kita patut melakukan perubahan iaitu memperdengarkan Dhamma sebagaimana dilakukan oleh Baginda Buddha. Orang yang hampir mati mesti "dicerahkan mindanya" agar dia tidak mati dengan minda yang gelap. Mati dengan minda yang cerah (terang hati) inilah yang selalu diungkapkan orang Siam "mati jumpa Phra".

Pakkuna Sutta
Tipitaka Thai Jilid 36: muka 718)

7 comments:

Anonymous said...

Tuan Pena bagaimana pula dengan mereka yg sakit jiwa.? (bukan gila ok)Jika orang sakit didengarkan Dhamma, apa pula untuk mereka ini?Saya tahu ramai diluar sana jiwa mereka tak tenteram kerana terlalu terlalu banyak masalah yg dihadapi. Saya salah seorang dari mereka. Saya pergi wat dengar dhama, dengar suat mon tapi makin disuat makin say rasa sedih.

Saya tahu orang sakit jima kena jumpa psychiatrist tapi saya bukan gila.Cuma terlalu banyak masalah yg datang menimpa dan ada kisah lampau yg saya tak dapat maafkan dan lupakan.

Saya cuba sedaya upaya saya untuk dekati diri dengan agama tapi kadang kadang saya tewas. Saya cuba atuhi apa yg Tuan pena ajar diblog ini tapi tak bejaya.Mungkin kerana saya lemah.

Boleh tak Tuan pena tuliskan apapa yg boleh saya amalkan sedikit demi sedikit?


I know it sound stupid..tapi saya tak tahu apa lagi yg harus saya lakukan untuk menteteramkan jiwa saya ini.

Terima kasih..
Lost soul

pena reformasi said...

(Lost soul) Sdr/i yang saya hormati! Saya amat simpati. Bagi individu yang menghadapi tekanan hidup, cara paling praktikal ialah:

(1) Buat meditasi (samadhi/vipassana) kerana meditasi telah terbukti mampu mengubat jiwa yang tertekan. Anda mesti cari guru meditasi yang bagus dan minta dia ajarkan cara-cara meditasi yang betul. Meditasi boleh menenteramkan jiwa kita.

(2) Cuba memahami konsep Trilaksana iaitu Anitcang, Dukkhang, Anatta. Anitchang misalnya, bermaksud semua perkara benda/kejadian/peristiwa/kebahagiaan/kesengsaraan dll. tak kekal. Benda/orang yang kita sayang jikalau bukan hari ini dia tinggalkan kita, suatu hari kelak dia tetap akan berpisah dengan kita (rosak/mati). Memahami konsep Trilaksana mampu membantu kita melupakan peristiwa yang "menekan" perasaan kita.

(3) Perbanyakkan Metta. Buddha menggalakkan kita menyuburkan metta atau perasaan kasih sayang antara makhluk. Kita akan berasa bahagia apabila kita dapat menyayangi seseorang dan seseorang menyayangi kita.

(4) Berikan kemaafan kepada individu yang menyakiti kita. Kemaafan walaupun sukar dilakukan, tetapi ia mampu melegakan perasaan jika kita boleh melakukannya.

Anda kata terdapat kisah lampau yang anda tak dapat maafkan/lupakan. Selagi anda tak mahu memaafkannya, selagi itulah jiwa anda tertekan. Walaupun sukar, anda mesti cuba. Menyimpan kisah lampau yang menyakitkan dalam jiwa umpama menyimpan duri dalam dada. Setiap hari menikam diri. Apabila kita tidak memaafkan, bukan orang tersebut yang sakit tapi kita yang sakit dan derita.

Setakat ini saja nasihat saya. Saya sedia membantu setakat yang mampu.

Anonymous said...

Jika seseorang yg sakit jiwa di larang samadhi.(akan jadi gila).
Mereka dinasihat membuat kerja ringan2,

pena reformasi said...

Orang yang dilarang samadhi ialah orang sakit jiwa jenis nak gila. Bagi orang yang jiwanya kecamuk/tertekan tidak dilarang, malahan digalakkan. Orang yang jiwanya kecamuk memerlukan ketenteraman, oleh itu samadhi cara terbaik.

Pakar bedah di Jepun juga menggunakan kaedah samadhi bagi menenteramkan pesakit sebelum masuk bilik pembedahan.

Saya selalu mengamalkan perkara ini. Setiap kali hati saya tak tenteram, saya akan duduk samadhi sehingga tenteram. Hasilnya baik sekali.

Anonymous said...

lost soul tidak gila. dia tidak sakit jiwa. dia hanya ada gangguan dalam jiwa. chitta/mindanya konfius dan perlu jalan keluar. samadhi jalan keluar paling baik. anak murid buddha pernah mengalami masalah sama. buddha minta dia samadhi. bila hati tenang orang boleh fikir dengan waras.

samadhi dengan cara yang betul tidak menyebabkan orang gila. samadhi boleh menenangkan hati sesuai dengan jiwa yang bermasalah, fikiran runsing atau hati tidak tenteram. samadhi menyebabkan hati santai, relaks. satu perkara mesti diingat bila samadhi jangan paksa hati supaya tenang kerana boleh menyebabkan hati semakin gelisah. lakukan dengan relaks.

samadhi tidak perlukan upacara. lakukan samadhi cara semulajadi dan bagi hati tenang sendiri. selamat cuba.

Anonymous said...

Saya turut simpati dengan Lost Soul.

Seperti kata Lost Soul, dia terikat dengan kisah lampau dan sukar memaafkan seseorang.

Lost Soul kena cari punca sebenar. Kalau boleh cuba jauhi punca tersebut dan melakukan seperti yang tuan blogger cadangkan seperti meditasi, renungan kepada Trilaksana dan penyebaran metta.

Memang sukar tetapi sukar lagi hidup dibelenggu kebencian, kemarahan dan hasad dengki....

sk tin.

pena reformasi said...

Jangan biarkan kisah lampau merosakkan kehidupan hari ini. Semua orang ada kisah lampau yang pahit, sikit atau banyak. Kita mesti melupakannya. Kalau berkaitan dengan orang, kita maafkan dia, biarkan semuanya menjadi urusan Karma.