Friday, December 10, 2010

Pemimpin Siam, Jangan Jadi Perosak Masyarakat!

Ada orang bertanya saya, adakah saya tidak takut orang marah kerana menulis tentang orang? Katanya tulisan saya sangat keras, tajam dan melukakan perasaan orang. Tidak ada orang yang rela ditegur apatah lagi dikritik dan dikutuk perbuatannya. Walapun pun salah, tiada siapa yang mahu mengaku kesalahan. Saya pula bertindak seperti "menghukum" mereka.

Saya hanya tersenyum. Kata saya: "Saya tak pernah diajar untuk takut bercakap benar! Apa yang saya tulis semuanya benar, siapa boleh terima, atau tak boleh terima, itu bukan urusan saya. Saya hanya diajar untuk takut kepada dosa. Bercakap benar tak dosa!"

Orang yang saya tegur adalah "orang masyarakat". Oleh sebab saya juga sebahagian daripada masyarakat, lalu saya berhak menegur mereka. Orang masyarakat ialah orang yang secara sukarela menjadi "penjaga masyarakat".

Bhikkhu secara sukarela menjadi penjaga masyarakat. Menjaga di sini ialah mendidik masyarakat menjadi masyarakat yang baik, bermoral dan berilmu. Berilmu di sini merangkumi ilmu dunia dan ilmu akhirat (lokuttara?). Buddha berpesan kepada para Bhkkhu bahawa setelah mereka berjaya "membebaskan diri", mereka mesti membebaskan masyarakat daripada kesengsaraan.

Pemimpin persatuan juga penjaga masyarakat. Mereka mesti berusaha melaksanakan objektif persatuan agar ahli-ahlinya mendapat faedah. Apabila mereka bertindak di luar objektif, mereka dikatakan telah mengabaikan tanggungjawab. Sekiranya mereka bertindak untuk mencapai agenda sendiri, mereka adalah penderhaka kepada persatuan. Persatuan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, orang yang secara sukarela menjadi "penjaga masyarakat" tetapi mengabaikan tugas, atas nama masyarakat, mereka patut ditegur.

Penjaga masyarakat ini jikalau tidak berupaya lagi melaksanakan tugas, minta diri dan berundur dengan hormat. Jangan jadi beban kepada masyarakat. Jangan merosakkan nama masyarakat yang dijaganya kerana perbuatan mereka.

Pemimpin masyarakat Siam - sama ada sami atau individu biasa - apabila mereka melakukan perbuatan yang bertentangan dengan norma kehidupan, tidak bermoral, dan melanggar ajaran agama, hasilnya masyarakat Siam yang mendapat malu. Sebagai pemimpin, mereka mesti menjadi teladan yang baik. Pemimpin tidak boleh berperangai kebudak-budakan dan tidak bermoral. Mereka mesti tahu tatasusila, tahu menampilkan diri. Jangan memalukan masyarakat yang diwakili di depan orang-orang lain. Berfikir, bercakap dan bertindak harus berlandaskan ajaran agama.

Selain penjaga masyarakat, mereka juga wakil masyarakat. Mereka mesti sedar perkara ini. Apabila mereka bercakap bodoh, jahil dan sembrono, orang akan anggap bahawa masyarakat yang diwakili tidak bertamadun.

Jikalau tidak mampu berperangai baik, jangan jadi pemimpin masyarakat, jangan jadi wakil orang Siam. Orang yang berperangai tidak baik bukan penjaga atau wakil masyarakat, tetapi perosak masyarakat.

Penjaga dan wakil masyarakat yang "merosakkan masyarakat" inilah yang menjadi sasaran tulisan saya. Adakah saya perlu takut kepada orang begini?

Baginda Buddha sendiri sewaktu menyebarkan ajarannya, ramai pemimpin agama ketika itu marah. Mereka tuduh Buddha bermacam-macam. Namun, Buddha tidak pernah takut. Baginda berani kerana benar.

KSB diwujudkan atas dasar untuk menyedarkan masyarakat Siam bahawa "penjaga masyarakat" sedang menjadi "perosak masyarakat". Masyarakat Siam wajib tahu dan dapat membezakan dua golongan ini agar tidak selamanya ditipu!

Kita wajib berikan sokongan penuh kepada "penjaga masyarakat" dan menentang habis-habisan "perosak masyarakat" demi kebaikan masa kini dan masa depan bangsa kita!






No comments: