Monday, March 7, 2011

Kenapa Orang Cepat Mati?

Dalam satu sutta (Pancakkanibata-Angkuttara Nikaya), Baginda Buddha menyatakan bahawa manusia yang dilahirkan singkat usianya kerana dalam kehidupan dahulu dia suka membunuh hidupan bernyawa. Manakala bagi kehidupan sekarang, terdapat beberapa sebab yang menyebabkan manusia cepat mati atau pendek usia. Antaranya ialah:


1. Tidak tahu mencari keselesaan untuk diri.

Kehidupan yang selesa ialah kehidupan yang tidak tidak perit, pahit atau sukar. Kehidupan yang selesa ini akan membebaskan seseorang daripada penderitaan mental dan fizikal yang melampau. Tanpa keselesaan, manusia akan didatangi pelbagai masalah kehidupan, termasuk tekanan jiwa, gangguan emosi dan kecamukan fikiran. Kesemua ini akan menyebabkan seseorang menjadi lemah dan mudah dijangkiti penyakit.


2. Mengecapi keselesaan yang berlebihan.

Keselesaan yang tidak terhad dan berlebihan mengundang musibah kerana ia mengakibatkan seseorang lalai, lupa diri dan sombong. Ketiga-tiga sifat ini jikalau dibiarkan bakal mengundang malapetaka yang besar. (Dalam sutta lain dianjurkan kesederhanaan).


3. Makan makanan yang sukar dihadam, berlebihan dan tidak seimbang.

Perut punca utama penyakit. Makanan yang sukar dihadam di sini merujuk kepada semua jenis makanan yang sukar dicerna untuk diserap ke dalam darah dan dibuang keluar sisanya. Makanan begini akan membawa masalah kepada badan. Makan berlebihan dan tidak seimbang akan mendatangkan pelbagai penyakit.


4. Bertandang ke tempat yang tidak sesuai.

Bertandang, berjalan atau berhibur ke tempat yang dilarang, berbahaya dan tidak selamat bakal mengundang musibah. Pusat perjudian, pusat hiburan malam, kawasan jenayah, negara dilanda peperangan dan negara dilanda wabak penyakit antara contoh tempat yang tidak selamat dikunjungi.


5. Tidak mengamalkan kehidupan Brahma (Phrom).

Mengamalkan kehidupan Phrom bermaksud mengamalkan sifat Phrom iaitu Metta, Karuna, Mudita dan Ubekkha. Empat sifat ini yang dinamakan Phrom Viharn 4 sangat digalakkan dalam agama Buddha. Siapa yang mengamalkan kehidupan Phrom, pasti kehidupannya aman dan selesa.


6. Tidak ada Sila (moraliti).

Sila membawa kebahagiaan kepada manusia. Sila membawa manusia ke Nirvana (pembebasan minda). Penjenayahan, pergaduhan, pertengkaran, penganiayaan, penderaan, pembunuhan sehinggalah kepada peperangan kerana manusia melanggar Sila.


7. Mempunyai kawan yang jahat.

Kawan yang baik membawa kita ke arah kebaikan. Kawan yang jahat membawa kita ke arah kejahatan. Berkawan sangat ditekankan dalam agama Buddha. Kita dinasihakan agar memilih kawan dengan betul. Ramai orang yang rosak kerana kawan. Biarkan tidak ramai kawan daripada berkawan dengan orang yang membawa kita ke lembah kedurjanaan. Ramai kawan pun jikalau tidak baik, apabila kita dalam kesusahan, semuanya lari meninggalkan kita. Kawan yang baik merangsang kita membuat kebaikan. Kawan yang tidak baik, mempengaruhi kita melakukan perbutan tidak bermoral dan melanggar Sila.

Inilah antara punca seseorang pendek usia atau cepat mati pada zaman Buddha dahulu. Pada zaman moden ini, puncanya mungkin bertambah banyak. Walau bagaimanapun Baginda Buddha menasihati kita agar menjauhi punca-punca yang boleh menyebakan kita cepat mati. Kematian adalah satu kerugian kerana kita hidup untuk mengamalkan kebaikan. Alang-alang dilahirkan sebagai manusia, buatlah kebaikan sebanyak yang mampu.

2 comments:

Dhamma Thuud said...

Info yang sangat berguna...Terima Kasih.

Anonymous said...

saddhu...saddhu...saddhu