Thursday, March 17, 2011

Wajarkah Phra Sibuk (Menyibuk?) Dengan Persatuan Kharawas?!

Phra biksu dahulu tidak begitu banyak masa terluang kerana masa yang ada digunakan untuk mempraktis Dhamma, mengajar Dhamma dan tugasan-tugasan berkaitan keagamaan.

Oleh itu, jarang kita lihat phra biksu meninggalkan wat kerana mereka terikat dengan rutin, tugasan dan tanggungjawab sebagai pewaris ajaran Buddha. Malahan hendak balik ke rumah menziarahi ibu bapa pun tidak boleh selalu kerana phra biksu hanya sesuai tinggal di wat.

Dunia berubah, phra biksu pun berubah. Satu dunia dijelajah mereka, bukan untuk menyebarkan Dhamma seperti Biksu dari Benua India dahulu, tetapi pergi makan angin. Praktis Dhamma juga semakin kurang, sebaliknya menyibuk dengan aktiviti kharawas (masyarakat umum). Lalu tidak hairanlah apabila phra biksu aktif bersama persatuan orang Siam, sebagai penaung, penasihat atau pemerhati sewaktu mesyuarat tahunan. Dan yang paling kelakar apabila phra biksu jadi penasihat persatuan wanita. Tahu sangatkah phra biksu tentang wanita sehingga sanggup jadi penasihatnya? Masalah wanita terlalu rumit berbanding masalah lelaki. Masalah memilih jenama dan jenis tuala wanita sahaja boleh memeningkan kepala. Bolehkah phra biksu beri nasihat tentang masalah ini?

Wajarkah phra biksu aktif dengan persatuan kharawas? soalan ini pasti ada pro dan kontranya. Sebelum menjawab soalan ini, adalah baik lihat persatuan Khanak Song Malaysia. Persatuan Bhikkhu ini umpama mati segan, hidup tak mahu. Aktiviti keagamaan sangat kurang. Para belia semakin menjauhkan diri daripada wat dan agama Buddha. Pengetahuan agama di kalangan orang Siam begitu mengecewakan. Walaupun kebanyakan wat ada sekolah/kelas Bahasa Thai/Dhamma, tetapi produknya tidak begitu berkualiti. Mempunyai Sijil Nak Tham A tetapi penguasaan Dhamma tulen begitu cetek. Apabila bercakap Dhamma, merapu entah ke mana. Bahkan phra biksu sendiri ramai yang tahu merapu daripada bercakap betul tentang Dhamma. Oleh sebab orang Siam menganggap semua yang keluar dari mulut phra biksu adalah benar belaka, maka merapu pun dianggap benar.

Produk sekolah bahasa Thai/Dhamma tidak begitu berkualiti bukan tohmahan membuta tuli, tetapi suatu hakikat yang harus ditelan oleh masyarakat Siam biarpun pahit. Perhatikan tingkah laku, moraliti dan kehidupan mereka yang ada sijil Nak Tham/Dhamma Seuksa. Berapa orangkah yang menjalani kehidupan sebagai Ubasok dan Ubasika? Jawabnya tidak ramai. Inilah bukti bahawa sekolah Dhamma gagal melahirkan insan yang terpuji.

Bagaimana pula dengan aktiviti Samadhi (meditasi) di kalangan masyarakat Siam? Jawapnya amat mengecewakan. Berapa banyak pusat meditasi yang diusahakan oleh phra biksu Thai di Malaysia? Jawabnya, boleh dihitung dengan jari kaki. Meditasi cara buddha tersebar ke seluruh dunia, tetapi phra biksu memandang sepi perkara ini. Tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan bagi mengajak orang pergi meditasi. Hanya meditasi manusia mampu melepaskan diri daripada Dukkha. Membebaskan manusia daripada Dukkha adalah amanah yang diberikan oleh Baginda Buddha kepada phra biksu. Namun, realitinya orang Siam semakin jauh daripada Dhamma. Walaupun masih ramai pergi wat sewaktu ada upacara keagamaan, tetapi mereka pergi kerana tuntutan tradisi, bukan kerana kesedaran Dhamma.

Khanak Song Malaysia patut berasa bimbang tentang hal ini dan mencari satu kaedah yang konkrit bagi mengatasinya. Namun, apa yang kita lihat adalah sebaliknya. Khanak Song tidak melakukan apa-apa. Phra biksu pula sibuk dengan rutin sendiri. Sesetengahnya pula sibuk 9menyibuk) dengan persatuan khrawas. Persatuan Bhikkhu pun tidak terurus, kenapa mahu sibuk dengan persatuan kharawas? Biarlah kharawas uruskan sendiri urusan mereka. Phra biksu tumpu kepada usaha menyebarkan Dhamma sudah mencukupi. Menyibuk dengan persatuan khrawas bermakna sengaja menambahkan kiles di hati. Kalau mahu popular sekalipun, carilah cara yang sesuai. Menyebarkan Dhamma jikalau kena dengan caranya boleh popular.

Phra biksu patut dapat membezakan mana tugasan phra biksu dan mana tugasan kharawas. Tugasan kharawas, biarlah kharawas uruskan - tugasan lelaki biarlah lelaki uruskan, tugasan wanita biarlah wanita uruskan, phra biksu tidak perlu masuk campur. Masalah persatuan kharawas terlalu rumit, penuh dengan kiles, laratkah phra biksu berikan nasihat? Nasihatlah diri sendiri terlebih dahulu.


4 comments:

Anonymous said...

Boleh juga menasihat tapi bukan semua perkara. Mungkin tentang menasihat anak2 atau peribadi sopan santun anak2.
Memang susah hendak menasihat orang kalau kita pun tidak pandai.
tetpai kita kena ingat juga,walaupun budak kecil 7 tahun beri nasihat pun kalau berguna apa salahnya.
siam kita

Anonymous said...

Inilah realiti khanak song malaysia sekarang..tapi ape dayanya kharawas mcm kita nak cakap untuk memulihkan keadaan mcm sekarang ni. Adakah org siam akan biarkan keadaan mcm ni berlarutan sampai ke tahap serious

Anonymous said...

Kalau tak main politik, tak masuk persatuan, tak kipas YB, tak jilat Menteri camna nak dapat Dato.

Anonymous said...

Tak Campur dengan masyarakat,bikkhu jadi jauh dari masyarakat pula. Nanti tak berguna pula..makan saja tak dapat tolong .
siam kita