Monday, May 30, 2011

Lapan Kaedah Mengukur Ketulenan Buddha-Dhamma



Dalam tulisan yang lalu diterangkan bahawa agama Buddha terbahagi kepada 2 Mazhab utama iaitu Mahayana dan Theravada. Setiap Mazhab pula terpecah kepada beberapa sub-Mazhab dan aliran. Theravada di Thailand terbahagi kepada Mahanikai dan Thammayut. Kedua-dua sub-Mazhab ini mencambahkan berpuluh-puluh aliran. Dhammakai antara aliran Mahanikai yang sedang mendapat perhatian kini.


Akibat kelahiran Mazhab dan aliran yang berpuluh banyaknya yang setiap satu mempunyai ajaran dan tafsiran yang berbeza-beza. Setiap Mazhab dan aliran mendakwa ajaran mereka tulen kerana "keluar daripada mulut Buddha" sebagaimana tercatat dalam Tipitaka. Penganut agama Buddha menjadi keliru. 

Untuk menghilangkan kekeliruan, penganut harus berpegang kepada ciri-ciri yang diberitahu oleh Buddha bagi menentukan ketulenan ajaran Baginda. 

Ciri-ciri ini diberitahu oleh Baginda Buddha kepada Nang Mahapachabodi Gotami yang ingin mengamalkan Dhamma-vinai Buddha. (Dahulu tidak ada istilah agama Buddha atau Buddha-sasana. Ajaran Buddha dikenali sebagai Dhamma-vinai). (Gotami Sutta :Anguttara Nikaya)

Antara ciri-ciri ajaran yang bukan Dhamma - Vinai Buddha ialah:

1. Menambahkan kemahuan / keberahian.
2. Mengikat makhluk pada vatta-samsara (menambahkan dukkha).
3. Memupuk kilesa (loba, dosa, moha).
4. Memupuk keinginan yang besar.
5. Tidak puas hati dengan apa yang ada.
6. Menganjurkan hidup berkumpul.
7. Menyebabkan kemalasan.
8. Menyebabkan susah dipelihara (cerewet dalam pemakanan)



Ciri-ciri seperti di bawah barulah Dhamma dan Vinai Buddha:

1. Tidak menambahkan kemahuan / keberahian.
2. Melepaskan makhluk daripada vatta-samsara (tidak menambahkan dukkha)
3. Tidak memupuk kilesa (loba, dosa, moha)
4. Tidak memupuk keinginan yang besar
5. Puas hati dengan apa yang ada
6. Menganjurkan hidup menyisihkan diri
7. Tidak menyebabkan kemalasan.
8. Menyebabkan senang dipelihara (tidak cerewet dalam pemakanan.

Lapan perkara ini selalu dijadikan sandaran bagi memutuskan yang mana ajaran Buddha dan yang mana bukan. 



1. Menambahkan kemahuan atau keberahian bermaksud menambahkan perasaan suka atau sayang yang melampau terhadap perkara yang wujud di sekeliling kita. Amalan atau percakapan yang boleh menyebabkan seseorang mempunyai perasaan suka yang melampau terhadap sesuatu perkara  dianggap sebagai amalan yang salah. Orang yang membuat "kebaikan" sehingga kesukaannya terhadap kebaikan itu melampau batasan juga termasuk dalam kategori ini. Kesukaan yang melampau terhadap pahala menyebabkan kita "gila pahala". Kesukaan yang melampau terhadap "syurga" menyebabkan kita gila syurga. Kesukaan yang melampau kepada wanita menyebabkan kita gila wanita. Banyak lagi gelaran "gila" diberikan kepada individu kerana sifat kesukaan melampaunya terhadap sesuatu perkara atau benda.

Ajaran Buddha mengajarkan "pelepasan" daripada segala perasaan yang melampau agar penganutnya hidup sederhana. Suka melampau dilarang, benci melampau juga ditegah. Meletakkan perasaan dalam keadaan "seimbang" iaitu tidak suka dan tidak benci ialah ajaran sebenar Buddha. Buddha mengajar kita bahawa kita jangan ada perasaan suka atau benci apabila berlaku "pertembungan" di mata, telinga, hidung, lidah, badan dan hati. Tetapi perkara ini bukan senang dipraktiskan. Sebagai individu biasa, cukuplah dengan tidak terdorong kepada perasaan yang melampau. Ajaran yang mendorong kepada kemahuan atau keberahian bukan Dhamma-vinai Buddha. Ajaran Buddha mesti tidak mendorong kemahuan atau keberahian. 

2. Mengikat makhluk pada vatta-samsara bermaksud melakukan Karma yang menyebabkan seseorang terikat dengan "kitaran kehidupan" selamanya. Perbuatan ini sama dengan menambahkan dukkha (kesusahan) kepada diri sendiri. Keadaan ini berlaku kerana seseorang itu tidak dapat membezakan perkara yang betul daripada perkara yang salah. Sebagai penganut agama Buddha, kita mesti tahu membezakan Karma yang akan mengikat kita pada vatta samsara dengan Karma yang mampu membebaskan kita. Ajaran yang menggalakkan makhluk terikat pada vatta samsara bukan Dhamma-vinai Buddha. Ajaran Buddha mesti melepaskan makhluk daripada vatta-samsara.


3. Memupuk kilesa bermaksud mengumpul loba, dosa dan moha. Perkara yang menjadi umpan kilesa seharusnya dibuang dari batin kerana umpan-umpan tersebut akan mengembang menjadi loba, dosa, moha. Dalam kehidupan harian, umpan-umpan kilesa berada di sekeliling kita. Sekiranya kita insan biasa, umpan-umpan ini tidak dianggap seriua sangat. akan tetapi bagi mereka yang mengamalkan Dhamma-vinai secara langsung seperti bhikkhu das pengamal vipassana, umpan-umpan ini mesti dijauhi agar tidak mengotori batin. Ajaran yang memupuk kilesa atau mengumpul umpan-umpan kilesa bukan Dhamma-vinai Buddha. Umpan kilesa ini tidak kepada kejahatan sahaja, kepada kebaikan juga ada. Umpan ke syurga tidak membebaskan seseorang daripada dukkha kerana syurga masih tahap Lokiya yang ada dukkha. Matlamat agama Buddha ialah Lokuttara dan Nibbana. 


4. Memupuk keinginan yang besar bermaksud memupuk keinginan yang melebihi keadaan yang sepatutnya sehingga mendorong seseorang melakukan kejahatan. Orang yang mempunyai keinginan yang besar sama dengan orang yang mempunyai impian yang besar. Impian yang besar tidak salah jikalau disertai dengan usaha yang keras. Impian yang terlalu besar mendorong kepada impian tidak masuk akal seperti impian Mat Jenin. Ajaran yang menggalakan keinginan atau impian yang besar melebihi yang kewajaran bukan Dhamma-vinai Buddha. 


5. Tidak berpuas hati dengan apa yang ada bermaksud tidak berpuas hati dengan hasil usaha sendiri sehingga mendorong seseorang melakukan perkara-perkara yang tidak baik, melanggari moraliti dan sebagainya. Penganut agama Buddha seharusnya berpuas hati dengan hasil kegigihan yang diperolehi dengan keringat dan tulang empat kerat. Mereka mesti tahu "cukup" dengan apa yang dimilik. Ajaran yang mendorong perasaan tidak puas hati dengan apa yang ada, bukan Dhamma-vinai Buddha. Perasaan tidak berpuas hati akan mendorong kepada ketamakan. Ketamakan akan menyebabkan seseorang mahu mengambil hak orang lain. Ajaran Buddha mesti mengajarkan perasaan berpuas hati dengan apa yang ada  yang diperolehi dengan cara bermoral. 


6. Menganjurkan hidup berkumpul bermaksud berkumpul beramai-ramai mencari kesukaan dan hiburan duniawi yang merangsang deria. Berkumpul antara lelaki dan wanita misalnya akan merangsang kemahuan deria tentulah tidak baik dalam mengamalkan Dhamma-vinai.  Namun, berkumpul bagi sesuatu yang baik, misalnya belajar, berbincang Dhamma dan sebagainya tidak termasuk dalam definisi ini. Ajaran yang menganjurkan hidup berkumpul mencari kesukaan atau hiburan duniawi bukan Dhamma-vinai Buddha. Ajaran Buddha mesti menggalakkan penyisihan diri untuk beramal ibadat. 


7. Menyebabkan kemalasan tidak perlu diterangkan kerana semua orang memahaminya. Ajaran yang menyebakan orang malas usaha bukan Dhamma-vinai Buddha. Dhamma-vinai mesti mengajarkan orang rajin, gigih dan tekun usaha. 


8. Menyebabkan susah dipelihara bermaksud cerewet dalam pemakanan. Sebagai pengamal Dhamma-vinai, seseorang tidak boleh mengharapkan kemewahan dalam pemakanan, terutamanya bhikkhu Buddha. Makan apa yang ada dan boleh dimakan. Makan bukan untuk sedap, tetapi untuk hidup. Hidup bukan untuk makan, tetapi untuk mengamalkan Dhamma-vinai. Ajaran yang menyebabkan seseorang ingin akan kemewahan makanan, bukan Dhamma-vinai Buddha.


Seperti yang dikatakan sebelum ini, agama Buddha berkembang pesat ke seluruh dunia. Ajaran Buddha menjadi semakin rumit dengan kemunculan para bijak pandai agama Buddha. Mereka mentafsirkan ajaran Buddha mengikut kearifan masing-masing yang sudah tentu sukar untuk kita harapkan kesemuanya tepat. Ada yang kurang tepat, dan ada juga yang terpesong sama sekali. Oleh itu, lapan ciri di atas selalu dijadikan sandaran bagi mengenal pasti ketulenan ajaran Buddha. 

No comments: