Wednesday, May 18, 2011

Tinggalkan Yang Jahat

Dalam agama Buddha kita percaya kepada Karma. Ini kepercayaan teras yang tidak boleh ditolak oleh kaum Buddhis. Jikalau kita tidak percaya kepada Karma, hukum dan balasannya, bermakna kita bukan seorang Buddhis. Tidak percaya kepada Karma termasuk dalam kategori micca ditthi iaitu pandangan yang salah. Orang yang tidak percaya kepada Karma, tidak terima hukum dan balasannya ialah orang yang mempunyai pandangan yang salah. 


Golongan Brahmana percaya bahawa kehidupan kita hari ini semuanya kerana balasan atau hasil Karma dari kehidupan yang lalu. Maksudnya, kita bahagia, sengsara, sihat, sakit, berjaya atau gagal dalam kehidupan sekarang, semuanya ialah balasan atau hasil Karma dari kehidupan lalu. Baginda Buddha menolak konsep Karma begini. Ini kerana, jikalau kehidupan kita hari ini hasil daripada Karma kehidupan yang lalu, bermakna kita tidak mampu mengubah kehidupan kita lagi kerana semuanya telah ditentukan oleh Karma terdahulu. 


Bagi Buddha, kehidupan kita hari ini hasil daripada Karma kehidupan sekarang dan kehidupan lalu. Kebahagiaan, kesengsaraan, kesihatan, kesakitan, kejayaan atau kegagalan kita hari ini tidak semestinya kerana balasan Karma daripada kehidupan lalu. Mungkin ia terhasil daripada Karma yang kita buat hari ini. Atau mungkin juga daripada Karma terdahulu dan Karma sekarang. Kita tidak pasti. Oleh itu, kita harus berusaha untuk mengubah kehidupan kita agar menjadi lebih baik. Kita mampu melakukannya kerana kehidupan kita tidak semuanya terikat dengan balasan Karma kehidupan lalu.


Karma bermaksud perbuatan. Semua perbuatan kita secara sengaja ialah Karma. Apabila disebut Karma, bermakna ia akan memberi hasil dan balasan, sama ada cepat atau lambat. Seorang pelajar yang belajar rajin-rajin, bererti dia sedang melakukan Karma baik. Apabila dia berjaya dengan cemerlang, itu ialah hasil Karma yang diterimanya. Seorang penunggang motosikal yang menunggang dengan laju bermakna dia sedang melakukan Karma yang tidak baik. Apabila dia tersilap atau lali boleh menyebabkan dia kemalangan. Kemalangan ialah hasil Karma. Jikalau dia sakit atau cedera, sakit dan cedera itu juga hasil Karma, iaitu hasil daripada perbuatannya yang menuggang motosikal dengan laju dan lalai. 


Oleh itu, kita boleh menentukan kehidupan kita, masa depan kita, kejayaan atau kegagalan kita dengan melakukan Karma (perbuatan) yang betul. 


Satu lagi yang perlu kita ingat ialah, semua Karma (perbuatan) baik atau jahat bermula di indera 6 (iaitu mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati) melalui tindak balas kita terhadap dunia luar. Oleh itu tindak balas kita terhadap dunia luar menentukan perbuatan kita. Tindak balas yang baik mencetuskan Karma baik. Tindak balas tidak baik mencetuskan Karma tidak baik. Kawal indera 6 kita agar tidak melakukan tindak balas yang salah apabila ada kontak (perhubungan) dengan dunia luar. Contohnya, apabila mata kita melihat barang kemas di kedai emas, "perasaa yang timbul" akan menentukan Karma yang bakal menyusul. "Perasaan yang baik" akan mencetuskan Karma baik, manakala "perasaan yang tidak baik" akan mencetuskan Karma tidak baik. Mungkin juga kita tidak mempunyai apa-apa perasaan atau neutral. Ini tidak akan mencetuskan sebarang Karma. Walau bagaimanapun, bukan semua "perasaan yang timbul" bakal mencetuskan Karma. Mungkin perasaan tersebut terpendam begitu sahaja dan lama-kelamaan kita telah melupakannya. 


Karma tidak boleh dicuci. Apabila kita telah melakukan Karma, hasilnya pasti ada. Karma ialah perbuatan. Semua perbuatan ada hasilnya sama ada besar atau kecil. Kita meludah ke lantai juga ada hasil iaitu menyebabkan lantai kotor. 


Golongan Brahmana yang mempercayai Devata boleh meminta kepada Devata. Mereka boleh meminta apa-apa sahaja daripada Devata. Kita mempercayai Karma. kita tidak boleh meminta kerana Karma tidak ada telinga untuk mendengar permintaan dan rintihan kita. Kita hanya boleh berusaha melakukan Karma yang selari dengan kehendak kita. Jikalau kita mahu berjaya sebagai usahawan ternama, kita mesti berusaha ke arah kejayaan tersebut. Duduk meminta dan memohon seumur hidup pun tidak akan berhasil. 


Bagaimana dengan orang yang berbuat baik, tetapi hidupnya penuh dengan penderitaan? Sedangkan orang yang berbuat jahat, hidup senang lenang? Karma dilihat seolah-olah tidak adil. 


Untuk memahami keadaan ini, kita mesti terlebih dahulu memahami jenis-jenis Karma. Ada Karma yang memberi balasan segera, ada Karma yang memberi balasan kemudian hari. Ada Karma yang memberi balasan pada kehidupan akan datang. Orang yang Karma terdahulunya sangat baik, apabila dia melakukan kejahatan hari ini, balasan jahatnya lambat kerana balasan Karma baiknya belum habis. Contoh, orang kaya berbelanja RM1000 sehari, sepuluh tahun wangnya belum habis kerana simpanannya banyak. Orang miskin berbelanja RM100 sehari, belum sampai setahun telah kebuluran kerana simpanan wangnya sedikit. Penjenayah gagal ditangkap polis kerana balasan Karmanya belum tiba. Dia masih "dijaga" hasil Karma baik yang terdahulu. Apabila hasil Karma baiknya habis, dia akan ditangkap dan menerima balasannya.


Satu lagi, apabila orang merungut bahawa dia berbuat baik, tetapi tidak mendapat balasan yang baik. Kita harus renung sekejap, adakah perbuatan baik yang dia kata itu betul-betul baik mengikut konsep agama Buddha?  Perbuatan baik mesti selaras dengan kebaikan yang ditetapkan oleh Baginda Buddha. "Perbuatan baik" yang kita kata baik belum tentu baik mengikut konsep agama Buddha. Manusia suka menyebelahi diri sendiri. Perbuatan yang dia suka, dia cenderung kata baik walaupun bercanggah dengan ajaran Buddha. Contohnya, banyak perbuatan kaum Buddhis kita yang berkaitan dengan tambun tamtan tidak menepati ajaran Buddha. Bagaimana kita boleh mengharapkan balasan baik? 


Karma tidak boleh dicuci, tetapi kita boleh melepaskan diri daripada balasan Karma jahat, iaitu dengan berhenti terus daripada melakukan Karma tersebut. Phra Ong Gulimala misalnya seorang pembunuh kejam, tetapi mencapai Arahant setelah berhenti terus daripada berbuat jahat. 


Baginda Buddha mengajar kita bahawa apabila kita sedar sesuatu perkara (misalnya, ketamakan, kemarahan dan kesesatan) membawa kepada kejahatan, mempunyai balasan yang tidak baik dan tidak memberi sebarang faedah, kita mesti meninggalkan perkara tersebut pada saat itu juga. Inilah ajaran Buddha yang patut diamalkan oleh penganut agama Buddha agar mereka tidak menunda kejahatan. Namun, hakikatnya tidak begitu. Kita suka sangat menunda kejahatan. Orang kata minum arak tidak baik, kita tahu, tetapi kita minum juga. Orang kata merokok membahayakan kesihatan, kita tahu, tetapi kita hisap juga. Orang kata berjudi tidak membawa sebarang faedah, kita tidak bantah, tetapi kita tetap berjudi. Orang mengingatkan kita bahawa melanggar Sila 5 berdosa, kita melanggar juga. Bermacam-macam alasan kita bagi untuk merasionalkan perbuatan kita. 


Kita sedar bahawa kita sedang melakukan kesalahan, tetapi kita tidak berhenti. Kita lebih rela disaman daripada perlahankan kenderaan di tempat kelajuan 80 km/h. Kita sanggup bayar RM300 walaupun duit sejumlah itu boleh membeli banyak barang keperluan harian. 


Ingat, apabila kita sedar bahawa sesuatu perbuatan itu, perbuatan jahat, kita mesti terus meninggalkan perbuatan tersebut pada ketika itu juga. Kita tidak boleh menunggu esok atau lusa. Sebagai kaum Buddhis kita mesti patuh kepada ajaran Buddha!







No comments: