Thursday, June 16, 2011

Berakhirnya Jejaka Siam Terakhir?

Blog Jejaka Siam Terakhir telah ditutup. Ruang Forum Pekemas juga telah ditutup. Punca sebenar penutupan ini saya tidak pasti, tetapi pastinya ada kaitan dengan pemiliknya iaitu Manit Sripradit. 


Saya tidak tahu tentang penutupan ini sehingga diberitahu seorang kawan tengah hari tadi. Saya bertanya tentang sebabnya, tetapi kawan saya itu tidak berapa pasti juga. Katanya, dia ada mendengar khabar bahawa Manit berhadapan dengan masalah "orang-orang yang tidak menyenanginya" yang berkaitan dengan aktiviti kemasyarakatan Siam. Orang-orang tersebut mengancam Manit dengan pelbagai cara sehingga memaksa Manit membuat laporan polis. Saya pernah terbaca dalam akhbar tentang semburan cat merah beberapa bukan dahulu. Sekiranya terdapat ancaman lain yang lebih kuat, itu saya tidak tahu.


Namun, saya terpegun. Kenapa harus ada masalah dengan aktiviti kemasyarakatan Siam? Bukankah aktiviti tersebut untuk membangun dan memajukan orang-orang Siam? Kenapa harus ada orang yang menimbulkan masalah kepada Manit sekiranya beliau ingin membangun dan memajukan orang-orang Siam?


Saya tidak kenal Manit secara dekat, malahan tidak pernah bertemu dengannya. Saya cuma mendengar namanya daripada orang-orang Siam. Manit seorang yang begitu aktif dalam aktiviti masyarakat Siam. Selaku bekas pemimpin Belia Thai, dia begitu lantang dan terbuka membuat kritikan terhadap pihak-pihak tertentu, termasuk golongan sami Siam. Sering kali juga kelantangannya disalah tafsir. Saya yakin bahawa dia ikhlas, tetapi pihak atau individu yang tidak menyenanginya sengaja melihat dari sudut negatif. 


Kritikan ada dua jenis iaitu kritikan membina dan kritikan membinasa. Bagi orang yang hati terbuka, dia dapat membezakan kritikan membina daripada kritikan membinasa. Manakala orang yang hati tertutup melihat semua kritikan sebagai kritikan membinasa. Orang hati tertutup ini tidak terima kritikan, walaupun untuk kebaikannya.Dia tidak tahu apa itu krtitikan. Dia hanya terima pujian.


Orang Siam ialah contoh terbaik orang yang sukar terima kritikan. Bukan senang hendak cari orang Siam yang boleh terima kritikan dengan hati terbuka. Kebanyakan orang Siam, maksud saya pemimpin Siam, begitu tebal dengan "ditthi mana".  Siapa yang mengkritik akan terima ancaman biarpun kritikan tersebut membina. Jangan kata mengkritik, menulis perihal yang sebenar pun jika pahit di hati mereka, akan diancam juga. 


Orang Siam Malaysia tidak ramai berbanding dengan kaum lain, tetapi persatuan yang berkaitan dengan Siam tidak terkalahkan kaum lain. Oleh sebab persatuan banyak, perselisihan tentang persatuan pun kerap. Jika tidak berselisih dengan persatuan lain, berselisih dengan individu dalam persatuan yang sama. Pendek kata persatuan Siam diwarnai dengan perselisihan. Luarannya kelihatan manis, tetapi dalamannya masam mencuka. 


Pada saya, ancaman yang sebenar ialah mereka yang menjadikan persatuan sebagai platform untuk "mencari keuntungan diri". Mereka memperalatkan orang-orang Siam. Mereka menipu orang-orang Siam. Mereka inilah yang patut diberikan perhatian agar aktiviti mereka tidak "merosakkan" masa depan kaum Siam. 


Akhir kata, KSB berharap Manit dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan baik dan kembali aktif dalam aktiviti kemasyarakatan Siam. Jejaka Siam Terakhir tidak seharusnya berakhir sepantas ini. Walau bagaimanapun KSB sedar bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.


Sebutir permata tulen tidak akan hilang silaunya biarpun terendam puluhan tahun di dalam lumpur!



8 comments:

Anonymous said...

Tuan pena jangan terkejut. Manit hanya nak test market orang ada suka dia lagi. Bila orang pujuk rayu minta bukak balik blog and forum dia akan bukak Dengan gaya sombong dia berkata: aku lagi ada orang suka.

Anonymous said...

Tuan Pena tidak kenal Manit sebab itu tidak tahu hilir mudik kisahnya!

Anonymous said...

semua yg ada berkaitan dirinya telah ditutup sejak bulan lepas lagi.facobook suara masyarakat siam kedah pun dah tiada. kesian juga tengok dia diperlakukan macam tu.Nak buat macam mana,orang siam kebanyakan macam tu,hasat dengki dan bongkak penuh dalam diri,bila ada yg menonjol sikit ramai yg sakit hati.harah harap Enckik manit sabar sajalah

pena reformasi said...

Masyarakat Siam Kedah, terutamanya belia patut berdiri teguh di belakangnya. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Masyarakat Siam amat memerlukan pemimpin yang berani komen seperti Manit. Pemimpin yang hanya tahu bodek dan ampu tak akan bawa kemajuan kepada kita, melainkan membuka ruang kepada kaum lain memandang rendah kaum kita. Fikirlah baik-baik.

Anonymous said...

Sokong pendapat Tuan Pena.

Anonymous said...

Jika nak jadi pemimpin, penulis atau haruslah bersedia terima komplen juga. Bukan pujian saja. Tidak ada pemimpin yang tidak dikomen oleh rakyatnya, apatah lagi anjing kurap mcm kita. Dah tentu ramai yg tunggu ngaga mulut nak komplen. Beri komplen, tak beri pun komplen. Contoh paling jelas Tun Sri Dr Mahathir, beliau telah buat segala-galanya untuk orang Melayu, majukan Melayu, perkenalkan ASB, buat kerena nasional,wujudkan peluang pekerjaan, dll, tapi org Melayu tak pernah puas hati, komplen saja yg depa tahu, semuanya tak kena, hingga Tun Sri pernah keluarkan kata-kata yg berbunyi "Melayu mudah lupa". Lihat Indra Ghandi yg merdekakan India, di tembak oleh rakyat sendiri, Eh Chot Cha Chan yg berjuang utk nasib orang Siam, memelihara kebudayaan Siam utk dikekalkan dan membangunkan aktiviti Songkran org Siam, dituduh membiarkan orang Melayu sembah imej Buddha. Malah banyak lg fenomena yg serupa dgn En. Manit. Jadi aku syorkan kalau sesiapa saja yg ingin melibatkan diri dlm bidang tersebut haruslah mempunyai jati diri dan kekuatan dalam yg kuat mcm batu di tepi pantai bersedia untuk melawan ombak ganas yg tidak henti2 menyerang. Bak kata pepatah Melayu, 'Jgn berumah di tepi pantai, jika takut dilanggar badai' TQ, Jgn marah!
>
>Nam roan

Anonymous said...

Saudara saudari Khon Thai,

1.Sudahkah saudara saudari memberi makan minum mencukupi, pelajaran tinggi & tempat tinggal yang selesa kepada anak-anak?

2. Berapa banyak sumbangan derma yang saudara-saudari hulurkan kepada individu atau badan kebajikan Khon Thai ?

Sekiranya 2 perkara ini belum lulus saudara saudari lalui,usahlah saudara saudari memperjuang masyarakat Khon Thai. Perjuangan hendaklah bermula dari dalam rumah, kampung, daerah seterusnya global.

Rata-rata saya lihat anak pemimpin Thai tercicir pelajaran ?
Anak sendiri pun tak dapat keputusan baik exam, macam mana nak berjuang untuk anak-anak orang lain?

Kalau ada orang kg. kita masih ditahap kemiskinan, lakukan perubahan dulu dan kumpulkan dana untuk siapkan Wat di kg. supaya anak dapat belajar ugama & bahasa Thai.

Khon Thai harus tahu yang mana batu dan permata. Khon Thai harus belajar sifat-sifat seorang pejuang yang lain seperti Mahatma Gandi, Ho Chin Min, Aung San, Sukarno & Mandela. Mereka berjuang semata-mata untuk kemajuan bangsanya bukan untuk kepentingan diri sendiri. Mereka mempunyai nilai peribadi yang baik dari segi tuturkata & bahasa. Adakah pemimpin Khon Thai di Malaysia bersedia mempunyai sifat peribadi seperti mereka?

Kita harus sentiasa beringat bahawa kejayaan paling agong adalah kejayaan anak-anak kita sendiri bukannya menumpang kejayaan Khon Thai yang lain. Sekiranya semua keluaraga Khon Thai berjaya maka berjayalah keseluruhan masyarakat Khon Thai.

Daripada:
Phai Chit Chindamanie-Jitra.

Anonymous said...

Phai Chit Chindamanie awak komen seolah olah saudara Manit tak layak membuat jasa kerana Manit tak ada ciri ciri yang yang awak ketegerikan. Walaupun Manit bukan pegawai tinggi,berpelajaran tinggi macam awak tapi dia dah banyak buat jasa pada orang siam. Memang ramai orang tak suka dia tapi itu tak bermakna kita ketepikan jasa jasa yang dia dah buat untuk anak anak kita. Kita manusia biasa tak lari dari buat kesalahan tak semua benda kita buat boleh memuaskan setiap orang.Tinggi rendah kaya miskin tak mentabatkan kewibawaan seseorang.Awak komen saja pandai tapi saya tak pernah nampak nama awak terkeluar mana mana.Tak ada orang tahu siapa awak sehinggalah awak masuk buat komen kat sini.

Jika awak fikir awak cukup sempurna ,silalah bantu orang orang siam kita.Gunakan kepandaian dan kehadalan awak tu! Manit sudah bawa diri,awak ambillah peluang ni ganti temapt dia jika betul awak memang berniat baik seperti awak komen kat ruang ksb ini.