Saturday, June 18, 2011

Kebenaran Dalam Agama Buddha


Sacca bermaksud kebenaran. Dalam agama Buddha terdapat dua jenis kebenaran, iaitu, Sammutti Sacca dan Paramattha Sacca.


1). Sammutti Sacca ialah kebenaran ciptaan manusia; kebenaran  yang dipersetujui bersama  bagi memudahkan interaksi dan perhubungan manusia. Kebenaran ini ialah kebenaran yang lazim dalam masyarakat manusia. Raja, menteri, doktor, bapa, ibu, abang, kakak, aku, engkau, kawan, musuh, Ananda, Saribut, gajah, kuda, meja, buku, komputer, emas dan sebagainya antara Sammutti Sacca yang kita kenali dan akan kita pertahankan. Realitinya perkara yang disebutkan ini tidak lebih daripada Sangkhara atau nama-rupa atau Khandha 5. Sammutti Sacca juga dikenali sebagai "kebenaran pada satu tahap tertentu" sahaja. Ini kerana kebenaran hakiki ialah Paramattha Sacca.


Walaupun sekadar kebenaran ciptaan manusia, Sammutti Sacca telah menyebabkan manusia menanggung masalah yang besar akibat tidak memahaminya dengan betul. 


2). Paramattha Sacca ialah kebenaran hakiki; kebenaran tertinggi; kebenaran yang bukan ciptaan manusia. Kebenaran ini wujud secara semula jadi yang tiada kaitan dengan sesiapa atau sebarang kuasa luar biasa. Manusia ialah Sammutti Sacca, manakala Paramattha Sacca ialah Khandha 5 - Rupa, Vedana, Sanya, Sangkhara dan Vinyana. Manusia diberikan nama, contoh Saribut, Ananda, atau Matha bagi memudahkan proses komunikasi.  Hakikatnya manusia itu tiada kerana yang ada hanya Khandha 5. Khandha 5 inilah Paramattha Sacca; kebenaran hakiki, kebenaran bukan ciptaan manusia. 


Sebab itulah Baginda Buddha selalu berkata tiada manusia, orang, hantu, dewa, ibu, bapa, aku, kamu dan lain-lain. Kita pula akan berkata mana boleh tiada. Aku ini manusia, aku ada, oleh itu manusia ada. Aku ada kerana ibu dan bapa aku ada. Buddha berkata "tiada" kerana Baginda bercakap pada tahap Paramattha Sacca. Sedangkan kita mentafsirkan percakapan Baginda pada tahap Sammutti Sacca. Kebenaran pada tahap Paramattha Sacca yang ada cuma Khandha 5, tiada manusia atau orang. 


Pada tahap Paramattha Sacca semua "manusia" sama kerana semunya Khandha 5 iaitu rupa, vedana, sanya, sangkhara dan vinyana. Khandha 5 berbentuk sejagat. Tiada raja, menteri atau rakyat. Tiada pangkat atau darjat. Tiada Tan Sri atau Datuk. Tiada Somdej atau Than Chao Khun. Manusia dinilai melalui amalannya yang mulia. Oleh itu, jikalau terdapat perbezaan, amalan-amalannya yang membezakan manusia. 


Walaupun Paramattha Sacca merupakan kebenaran hakiki, kebenaran yang bukan ciptaan manusia, yang mesti diutamakan, namun Sammutti Sacca tidak boleh diabaikan terus. Kedua-dua kebenaran ini saling membantu. Sammutti Sacca menjamin peraturan dalam masyarakat manusia terpelihara dan kehidupan manusia berjalan lancar. Paramattha Sacca penting diketahui agar manusia dapat melepaskan diri apabila dilanda masalah kehidupan. 


Seseorang yang kehilangan orang yang disayanginya akan bersedih hati kerana dia berpegang pada Sammutti Sacca. Akan tetapi sekiranya dia faham Paramattha Sacca, kesedihannya akan berkurangan. Dia dapat terima kenyataan bahawa "orang yang disayangi" sebenarnya Khandha 5, bukan "orang" sebagaimana anggapannya. Apabila disebut Khandha 5, maksudnya sesuatu yang tidak kekal, sesuatu yang akan berubah mengikut elemen-elemennya. Khandha 5 bukan milik sesiapa, bukan milik kita.  Tiada "sesiapa" di dalam Khandha 5 yang perlu kita kehilangan. 


Kesimpulannya, sebagai penganut agama Buddha, kita harus tahu bahawa kebenaran ada 2 jenis iaitu kebenaran ciptaan manusia dan bukan ciptaan manusia. Apabila kita membaca buku atau mendengar ceramah Dhamma, kita mesti tahu kebenaran yang manakah yang sedang dibicarakan agar kita tidak menjadi keliru.  

        

2 comments:

Anonymous said...

Watdeekrab Khun KSB,
Apa itu Khandha 5? apa itu rupa, vedana, sanya, sangkhara dan vinyana? Adakah Khandha 5 itu berkumpul dan wujudnya aku, engkau, batu, pasir? Atau terlau rumit diceritakan dan kita tak dapat mencapai Niphan?

Dek Ban Noak

pena reformasi said...

Khandha 5 bermaksud 5 kumpulan/timbunan. Semua benda terdiri daripada Khandha 5 (Thai baca: Khand 5). Rupa (rup) ialah bahagian fizikal/jasmani, manakala Vedana, Sanya, Sangkhara (Sangkharn) dan Vinyan ialah bahagian mental/rohani.

Batu, pasir atau pokok hanya ada Rupa (rup) sahaja. Manakala manusia ada cukup Khand 5. Mengikut ajaran Buddha, aku, awak, dia, mereka tak ada kerana yang ada cuma Khandha 5. Apabila kita berpegang bahawa Khandha 5 ialah "aku", apabila orang maki "aku" , "aku" akan marah. Dukkha wujud kerana manusia berpegang pada Khandha 5 sebagai diri aku dan milik aku.