Saturday, June 25, 2011

Tidak Usah Fikirkan 4 Perkara Ini!

Dalam agama Buddha, terdapat perkara tertentu yang tidak digalakkan untuk difikirkan kerana hanya akan membuang masa. Perkara tersebut dipanggil "acintai" yang bermaksud perkara yang tidak perlu difikirkan oleh orang biasa kerana ia tidak mampu diketahui dengan berfikir. Jikalau dipaksakan untuk berfikir juga bagi mengetahuinya, boleh menyebabkan berlaku tekanan jiwa. Berfikir sehingga gila pun tidak mungkin akan mendapat jawapannya yang betul kerana kemampuan fikiran manusia biasa amat terhad. 


Walau bagaimanapun ini tidak bermakna bahawa Buddha melarang kita berfikir tentang perkara tersebut. Jikalau kita mahu memberatkan fikiran kita, tidak ada siapa marah. Buddha cuma memberitahu hakikatnya bahawa perkara tersebut tidak perlu difikirkan kerana akan membebankan fikiran, malahan mengundang tekanan jiwa semata-mata. Perkara itu tidak dapat diketahui dengan berfikir. Sebaliknya, ia hanya dapat diketahui melalui pengalaman minda, melalui kebijaksanaan yang diperolehi dengan Samadhi Vipassana. 




1. Sifat Buddha


Sifat Buddha yang istimewa seperti kesucian, kebijaksanaan, kemurahan hati dan  kemampuan yang luar biasa yang  mengatasi manusia dan Devata tidak perlu kita fikirkan kerana kita tidak akan mendapat jawapannya.  Kita tahu bahawa Buddha memperolehinya melalui pengamalan yang penuh berdisiplin sehingga mencapai Pencerahan Sempurna. Kita  tidak perlu berfikir tentang setinggi mana kebijaksanaan Buddha dan sebanyak mana pengetahuan yang ada pada Buddha. Cukuplah kita tahu bahawa Buddha itu mempunyai kebijaksanaan yang mengatasi kebijaksanaan manusia dan Devata dan pengetahuan yang ada pada Baginda amat banyak. Baginda pernah memberi perumpamaan bahawa pengetahuan Baginda yang diperolehi melalui Pencerahan Sempurna umpama daun-daun pokok, tetapi yang diberitahu kepada kita cuma segenggam daun. 


Oleh sebab itulah, Buddha berkata kita tidak perlu fikirkan perkara itu. Orang biasa seperti kita hanya mengenali Buddha pada tahap luaran sahaja, iaitu tahap Sila. Minda Buddha mustahil diketahui orang biasa. Ini ialah realiti yang perlu kita fahami. Duduk berfikir sehingga tua pun tidak akan ada jawapan yang betul, kecuali tanggapan yang kita buat sendiri. Sifat Arahant pun tidak dapat diketahui dengan betul, apatah lagi sifat Buddha. Buddha berkata, hanya Arahant mampu membaca fikiran Arahant. Hanya individu yang mencapai "tahap Buddha" yang betul-betul mengetahui sifat Buddha. 


2. Sifat Jhana (charn)


Sifat jhana merujuk kepada sifat minda individu yang mendapat jhana dalam samadhi vipassana. Semua manusia ada minda, tetapi tidak semua yang mengetahui selok-belok minda, kenal sifat-sifat semula jadi minda dan bagaimana minda berfungsi.  Bagi individu yang mendapat jhana, minda mereka lebih rumit, lebih sukar difahami. Minda mereka telah diangkat ke tahap yang lebih tinggi daripada tahap biasa. Oleh itu, orang biasa tidak mampu memahaminya. Kadang-kala perlakuan mereka kelihatan pelik pada mata kita. Bahkan tidak kurang yang dilabel "gila" kerana perlakuan minda mereka yang luar biasa itu. Oleh itu, kita tidak perlu memikirkan sifat jhana kerana tidak membawa sebarang faedah. Sifat jhana hanya boleh diketahui melalui amalan samadhi vipassana iaitu apabila minda kita juga mendapat jhana, barulah kita boleh mengetahuinya. 


3. Balasan Karma


Soal balasan Karma dan bagaimana Karma memberi hasil, merupakan perkara di luar kemampuan fikiran manusia biasa seperti kita. Fikir sehingga pecah kepala sekalipun, tidak mungkin kita mampu mengetahuinya dengan jelas. Kita tahu hukum Karma ialah hukum sebab - akibat, tetapi kita tidak mampu menelusuri bagaimana hukum tersebut bekerja. Rahsia Karma bukan rahsia yang boleh dicari jawapannya dengan berfikir. Sebaliknya, ia mesti dibongkar dengan pengalaman minda melalui amalan Samadhi Vipassana. 




 4. Kejadian Alam


Berfikir tentang kejadian dunia, cakerawala atau alam semesta; tentang permulaan dan pengakhirannya; tentang keluasannya dan sebagainya mustahil diketahui jawapannya dengan betul. Berfikirlah sehingga gila, jawapannya tidak akan muncul kerana fikiran manusia biasa amat terhad. Ahli falsafah berminat memikirkan perkara ini, tetapi sehingga hari ini belum menemukan jawapan yang muktamad. Oleh itu, kita tidak perlu membuang masa memikirkannya. Biarkan ahli sains mencari jawapan untuk kita. 


Oleh sebab terdapat banyak perkara yang perlu kita fikirkan setiap hari, maka perkara yang tidak terjangkau oleh fikiran kita, ada baiknya dielakkan sahaja. Buddha memberi pedoman agar kita tidak membuang masa dengan berfikir perkara yang membebankan kepala dan tidak dapat diketahui melalui fikiran. 




จากพระสูตร อจินติตสูตร 


[๗๗] ดูกรภิกษุทั้งหลาย อจินไตย ๔ ประการนี้ อันบุคคลไม่ควรคิด

เมื่อบุคคลคิด พึงเป็นผู้มีส่วนแห่งความเป็นบ้า เดือดร้อน อจินไตย ๔ ประการ
เป็นไฉน ดูกรภิกษุทั้งหลาย พุทธวิสัยของพระพุทธเจ้าทั้งหลาย ๑ ฌานวิสัย
ของผู้ได้ฌาน ๑ วิบากแห่งกรรม ๑ ความคิดเรื่องโลก ๑ ดูกรภิกษุทั้งหลาย
อจินไตย ๔ ประการนี้แล ไม่ควรคิด เมื่อบุคคลคิด พึงเป็นผู้มีส่วนแห่งความ
เป็นบ้า เดือดร้อน ฯ











No comments: