Wednesday, June 15, 2011

Trilaksana: Tiga Jenis Dukkha

Dukkha dalam Trilaksana dengan Dukkha dalam Ariya Sacca 4


Dalam agama Buddha, Dukkha wujud di 3 tempat yang setiap satunya mempunyai ruang maksud yang berbeza. 


1. Dukkha dalam Vedana 


a) Vedana 3 - dukkha, sukkha dan ubekha; (panggilan penuh dukkhavedana)


b) Vedana 5 - dukkha, sukkha, thomanas, somanas dan ubekha (panggilan penuh dukkhavedana)


(Vedana 3 - dukkha=dukkha hati dan badan, sukkha=sukkha hati dan badan, ubekha=ubekha hati dan badan. Vedana 5 - dukkha=dukkha badan, sukkha=sukkha badan, thomanas=dukkha hati, somanas=sukkha hati, ubekha=hati dan badan.) 


2. Dukkha dalam Trilaksana - Anicca, Dukkha, Anatta. (panggilan penuh dukkhalaksana)


3. Dukkha dalam Ariya Sacca 4 - Dukkha, Samudaya, Nirodha, Magga. (panggilan penuh dukkha Ariya Sacca)


Dukkha dalam Trilaksana atau Dukkhalaksana mempunyai ruang maksud yang paling luas (rujuk post yang lalu), sama luas dengan maksud Sabbe Sangkhara Anicca. 


Dukkha yang mempunyai maksud yang paling sempit ialah Dukkhavedana. Dukkha ini merupakan "satu keadaan yang tidak selesa" yang dialami manusia atau haiwan. Dukkha ini ada kesinambungan dengan Dukkhalaksana. Keadaan yang menekan, menghimpit atau perubahan yang berlaku (dukkhalaksana) akan menghasilkan satu perasaan yang tidak selesa, kesusahan, kesakitan atau penderitaan (dukkhavedana). Contoh, seorang individu yang mempunyai sebuah tembikar antik yang sangat disayangi. Suatu hari tembikar tersebut retak dan pecah (dukkhalaksana) menyebabkan hatinya kesedihan (dukkhavedana). 


Dukkha dalam Ariya Sacca 4 atau Dukkha Ariya Sacca merupakan keadaan yang sama dengan Dukkha dalam Trilaksana, tetapi terhad kepada masalah manusia sahaja. Maksudnya Dukkha Ariya Sacca ini berkaitan dengan Khanda 5, kemelekatan (upadaya) kepada Khanda 5 dan indera 6 (mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati). Dukkha ini sangat penting kerana ia jalan kebebasan minda. 


Perbezaan antara Dukkha dalam Ariya Sacca 4 dengan Dukkha dalam Trilaksana ialah Dukkha Ariya Sacca cuma satu daripada 4 Ariya Sacca. Manakala Dukkhalaksana merangkumi Dukkha, Samudaya dan Magga. Dukkha dalam Ariya Sacca berkaitan dengan manusia, sedangkan Dukkha dalam Trilaksana berkaitan dengan semua benda bernyawa atau tidak bernyawa. 


Lazimnya apabila disebut "Dukkha" fikiran kita akan segera teringat kepada Dukkhavedana semata-mata iaitu perasaan sengsara, derita, sedih, sakit dan lain-lain kerana dukkha ini merupakan satu perasaan yang semua orang pernah mengalaminya. Dukkha ini berlawanan dengan Sukkha (bahagia). Oleh sebab manusia mengimpikan kebahagiaan dalam hidup, maka tidak hairanlah apabila secara automatik Dukkha ini menjadi fokus utama. 


Kita jarang terfikirkan Dukkha yang bersifat permasalahan hidup (Dukkha Ariya Sacca) dan sama sekali melupakan Dukkhalaksana yang merangkumi segala benda kecuali Nibbana. 


Dan tidak hairan juga apabila terdapat orang asing mendakwa bahawa agama Buddha cuma berbicara tentang "kesengsaraan" atau "penderitaan" (suffering) kerana mereka juga seperti kebanyakan kita yang hanya fokus kepada Dukkhavedana. Sedangkan 'Dukkha" yang disebut oleh Buddha dalam Dhamma-vinai bukan setakat Dukkhavedana, malahan merangkumi segala benda, segala kehidupan makhluk dan manusia. 


Tidak dinafikan bahawa Buddha menekankan Dukkha Ariya Sacca 4 dan Dukkhavedana, tetapi bukan kerana Baginda mengutamakan sudut negatif dalam ajaran. Baginda mengajar kita tentang Dukkha (sengsara) agar kita dapat mengenali Sukkha (bahagia) yang menjadi idaman semua kehidupan. Bagaimana kita boleh mengenali dan menghargai Sukkha jika kita tidak kenal Dukkha. Buddha mengajar kita tentang kesengsaraan agar kita dapat mengecapi kebahagiaan yang sejati yang sangat sukar dikenali.


Sebenarnya dalam agama Buddha, Sukkha (kebahagiaan) yang menjadi idaman semua manusia sebahagian daripada Dukkha iaitu Dukkha dalam kadar yang rendah. Misalnya, seorang yang sakit kepala akan menanggung kesengsaraan akibat kesakitan itu. Apabila sakit kepalanya berkurangan, dia berasa selesa. Keselesaan itu sebenarnya Dukkha tetapi pada kadar yang rendah. Begitu juga dengan kebahagiaan. 


Malahan, kehidupan di syurga bagi agama Buddha masih belum bebas daripada dukkha. Oleh sebab itulah, Buddha tidak mengajak penganutnya pergi ke syurga. Syurga bukan tempat yang istimewa bagi penganut agama Buddha yang betul-betul memahami ajaran Buddha. Destinasi terakhir penganut agama Buddha ialah Nibbana. Syurga hanya tempat "persinggahan sementara" bagi pengamal dhamma-vinai sebelum mencapai Nibbana. 


Kebahagiaan yang sejati, yang tidak disaluti kesengsaraan ialah Nibbana. Kebahagiaan (sukkha) bagi seorang yang belum mencapai Nibbana, masih bersalut kesengsaraan (dukkha). Ini kerana pada masa yang lain apabila kebahagiaan itu hilang, kesengsaraan akan muncul. 


Kebahagiaan yang sejati, yang kekal abadi ialah Nibbana. Oleh itu, penganut agama Buddha harus berusaha mencapai Nibbana. 













2 comments:

Anonymous said...

Pom selalu melihat balik kepada Ariya Sacca 4 apabila Pom menghadapi Kwam Thuk. Adakah teori yang Pom guna itu betul?
Dek Ban Noak

pena reformasi said...

Betul. Ariya Sacca 4 memang untuk menghilangkan dukkha.