Saturday, June 11, 2011

Trilaksana

Trilaksana (Tiga Ciri Kewujudan) merupakan 3 ciri hukum alam yang wujud sendiri, berfungsi sendiri, kekal abadi dan tidak ada kaitan dengan pencipta, tuhan, dewa, agama dan pengasas agama. Hukum ini tidak boleh diubah. Tidak ada sesiapa atau sebarang kuasa yang mampu mengubahnya. Baginda Buddha telah menjumpai hukum ini dan disebarkan kepada umat manusia. Sama ada Buddha lahir atau tidak, Trilaksana tetap wujud kerana kewujudannya tidak ada kaitan dengan sesiapa, atau sebarang kuasa luar.


Oleh itu, Trilaksana tidak dicipta, tidak diwujudkan dan tidak dikawal oleh sesiapa atau apa-apa kuasa istimewa. Sekiranya terdapat "makhluk istimewa" dan "kuasa istimewa" maka kedua-duanya masih tertakluk di bawah hukum Trilaksana. Golongan Brahmana percaya bahawa Phra Phrom pencipta alam, tetapi Buddha menafikannya. Alam bukan hasil ciptaan sesiapa atau sebarang kuasa. Sebaliknya alam yang "mencipta" Phra Phrom dan melahirkan kuasa-kuasa tertentu.   


Dalam agama Buddha, alam semesta ialah Dhamma/Dhammachat. Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang kelahiran, maka kelahiran itu daripada Dhamma. Inilah puncanya kenapa Buddha pun menghormati Dhamma. 




Trilaksana


1. Sabbe Sangkhara Anicca;


2. Sabbe Sangkhara Dukkha;


3. Sabbe Dhamma Anatta.


Untuk memudahkan pemahaman, terlebih dahulu kita harus memahami maksud Anicca, Dukkha dan Anatta.


1. Anicca - Tidak kekal, tidak abadi, wujud sementara, kemudian musnah dan hancur.


2. Dukkha - Keadaan yang tidak selesa, berkonflik, bertekanan, berhimpitan,tidak sempurna dan tidak lengkap kerana elemen-elemen atau faktor-faktor yang bergabung di dalamnya berada dalam keadaan bertentangan sepanjang masa sehingga tidak mampu mengekalkan bentuk asalnya. 


3. Anatta - Tidak ada diri, atau bukan diri. Tidak ada bahagian yang boleh dipanggil diri.


(Anicca, Dukkha dan Anatta bukan dimaksudkan makhluk atau manusia semata-mata, malahan merangkumi segala benda di alam semesta ini. Istilah Dukkha selalu menyebabkan ramai antara kita terkeliru. Apabila disebut Dukkha, kita terbayang perasaan yang tidak selesa, kesakitan, penderitaan atau kesengsaraan. Itu Dukkha yang dialami benda hidup atau makhluk. Sebenarnya Dukkha dalam Trilaksana merangkumi maksud yang luas yang merangkumi "benda hidup dan benda tidak hidup" di alam semesta ini. Contohnya tanah runtuh berlaku akibat proses himpitan, tekanan atau mampatan di tanah itu sendiri. Proses ini ialah ciri-ciri Dukkha.) 


Semua benda (alam semesta) sebenarnya berada dalam bentuk "arus" yang bergabung dengan pelbagai elemen, saling bergantungan, berubah-ubah dan melalui proses "lahir dan lenyap" sepajang masa. Oleh sebab ia terbentuk daripada gabungan pelbagai elemen, kewujudannya bergantung pada sifat elemen. Oleh sebab elemennya mempunyai ciri dan sifat yang berbeza, maka ia terdedah kepada pertentangan. Oleh sebab semuanya dalam bentuk arus yang "lahir dan lenyap" sepanjang masa, maka ia "tidak ada diri" sendiri yang menjamin kewujudannya kekal abadi. 


Dalam konteks makhluk atau manusia, makhluk terbentuk daripada 5 gabungan yang dipanggil Khanda 5. Tiada benda lain selain Khanda 5. Tiada diri, tiada aku, tiada engkau kerana yang ada cuma Khanda 5. (Aku dan engkau sekadar bahasa panggilan untuk memudahkan komunikasi). "Diri sebenar" tidak ada. Khanda 5 apabila dipecah-pecahkan dan dibicarakan satu persatu, ia sebenarnya berada dalam keadaan tidak kekal, tidak sempurna, berlaku pertentangan di dalamnya, dan yang pasti tiada "diri sendiri" yang boleh dipanggil "ini diri aku". Sekiranya ada "diri" tentulah "diri" itu akan berada di bawah kuasa dan perintah makhluk tersebut. (Jikalau makhluk menjadi pemilik Khanda 5 yang sejati, tentulah makhluk boleh mengawal atau memaksa Khanda 5 agar menjadi seperti kehendaknya iaitu tidak berubah, sentiasa cantik, sentiasa muda, tidak sakit dan sebagainya. Oleh sebab Khanda 5 bukan milik makhluk, maka makhluk gagal mengawal Khanda 5.)


1. Sabbe Sangkhara Dengan Sabbe Dhamma


Sabbe bermaksud semua. Trilaksana yang pertama (1): Semua Sangkhara Anicca. Trilaksana yang kedua (2): Semua Sangkhara Dukkha. Tetapi dalam Trilaksana yang ketiga (3): Semua Dhamma Anatta. Kenapa nombor 1 dan 2 guna istilah "Sangkhara", tetapi nombor 3 guna istilah "Dhamma"?


"Dhamma" mempunyai maksud yang sangat luas. Dhamma terbahagia kepada 2 bahagian iaitu Sangkhata Dhamma dan Asangkhata Dhamma. (Sila Rujuk post sebelum ini). 


Di sini kita dapat lihat bahawa Sangkhara iaitu Sangkhata Dhamma hanya sebahagian daripada Dhamma. Dhamma mempunyai maksud yang lebih luas daripada Sangkhara iaitu merangkumi Sangkhara dan bukan Sangkhara (Asangkhata atau Nibbana).


Semua Sangkhata Dhamma bercirikan Anicca, Dukkha dan  Anatta. Manakala Asangkhata Dhamma bercirikan Anatta sahaja. Asangkhata Dhamma ialah Nibbana, oleh itu tidak bercirikan Anicca dan Dukkha. 


Anatta ada dalam Sangkhata Dhamma dan Asangkhata Dhamma. Sedangkan Anicca dan Dukkha cuma ada dalam Sangkhata Dhamma. 


Ciri-ciri Sangkhata Dhamma ialah;


1. Mempunyai kelahiran,


2. Kelahiran, kelenyapan atau kehancuran perkara biasa (tidak kekal),


3. Sentiasa mengalami proses perubahan,



Ciri-ciri Asangkhata Dhamma;


1. Tiada kelahiran,


2. Tiada kelenyapan atau kehancuran (kekal abadi),


3. Tidak mengalami proses perubahan.


Kesimpulannya, Asangkhata Dhamma ialah Nibbana yang bebas daripada Anicca dan Dukkha. Walau bagaimanapun Nibbana ialah Anatta. 














  



9 comments:

Anonymous said...

Tuan Pena yang mulia,
Ini tanya sedikit sahaja. Adakah agama buddha hanya bergantung kepada Sami/bikkhu, persatuan atau wat? Sejauh mana pandangan tuan tentang perkara ini.
sekian saja

pena reformasi said...

Agama Buddha bergantung pada empat golongan yang dipanggil Buddhaborisat 4 iaitu; 1. Bhikkhu, 2. Bhikkhuni. 3. Ubasok (lelaki), 4. Ubasika (wanita).

Maju atau mundur agama Buddha ditentukan oleh amalan dan perpaduan empat golongan ini, iaitu penganut agama Buddha.

Anonymous said...

Tuan Pena,

Saya pernah kutuk tuan, tapi saya tau tuan bukan orang seperti yang saya sangka. Minta maaf Tuan Pena!

Anonymous said...

Saya ini akan sokong atau patut sokong ,akan kritik apa yang patut kritik.
Saya tidak percaya tuan pena sahaja,saya lebih pakai panja dan sadda.
Kalau tuan pena silap saya komen,kalau saya sokong.
sekian saja

pena reformasi said...

Sokong atau kritik saya tak penting kerana yang penting ialah faham apa yang saya tulis dan amalkan yang baik, tinggalkan yang tidak baik.

fan ksb said...

nak tanya Tuan Pena skit, Tuan kata Buddha menghormati Dhamma..Bagaimana ya cara baginda menghormati Dhamma?? kalo agama lain Dhamma mungkin boleh disamaertikan dgn Tuhan, mereka menyembah dan mentaati Tuhan sbg tanda menghormati Tuhan. Adakah Buddha juga menyembah Tuhan??.

pena reformasi said...

Buddha sendiri beritahu Baginda hormati Dhamma. Cara hormati Dhamma ialah mengamalkan yang baik dan meninggalkan yang jahat kerana kebaikan dan kejahatan itu ialah ciri-ciri Dhamma.

Ariya Sacca 4 misalnya ialah kebenaran yang terdapat dalam Dhamma yang dijumpai oleh Buddha, diamalkan Baginda sehingga berjaya, kemudian disebarkan kepada umat manusia untuk kebaikan sejagat.

Kita kena faham bahawa semua ajaran Buddha (Dhamma-vinai) datang daripada "Dhamma" (Dhammachat/segala benda/alam semesta).

pena reformasi said...

Buddha tidak sembah Tuhan kerana Tuhan kebenaran ciptaan manusia. Tuhan hanya wujud bagi orang yang mahu mempercayainya.

Anonymous said...

Apakah pandangan Buddha tentang tuhan?