Monday, June 20, 2011

Tuhan Dalam Agama Buddha!

Beberapa tahun dahulu seorang pelajar keturunan Cina dari sebuah IPTS bertanya kepada saya adakah agama Buddha mempunyai banyak Tuhan? Saya terdiam seketika. Saya tahu Tuhan yang dimaksudkannya itu ialah Dewa atau Devata atau Phrom yang disebut Gods dalam bahasa Inggeris. Soalan tersebut muncul apabila dia membandingkan Tuhan Yang Esa dalam buku agama Yahudi, Kristian atau Islam dengan Gods dalam buku agama Hindu atau Buddha. 


Devata, Tuhan atau God mempunyai konsep yang lebih kurang sama walaupun manusia memberikan tafsiran yang berbeza-beza. 


Ahli falsafah Barat mengemukakan 3 soalan tentang Tuhan/God, iaitu:


1. Ada atau tidak benda/perkara/kuasa yang kekal abadi dan tidak berubah yang berada di sebalik kewujudan alam semesta? Sesetengah ahli falsafah berkata ada, sesetengahnya berkata tidak ada.


2. Jikalau benda/perkara/kuasa yang kekal abadi dan tidak berubah dinamakan Tuhan/God, persoalannya Tuhan ada satu atau ada lebih daripada satu? Sesetengah ahli falsafah berkata Tuhan ada satu sahaja, sesetengah yang lain berkata Tuhan ada dua dan ada juga yang berkata Tuhan ada lebih daripada dua.


3. Jikalau Tuhan ada, soalan seterusnya ialah adakah Tuhan "ada diri" (Personal God) yang dalam agama Hindu dipanggil Saguna Phrom atau Tuhan "tiada diri" (Impersonal God) yang dalam agama Hindu dipanggil Niraguna Phrom


Jawapan kepada soalan ini ada pelbagai:


1) Golongan yang percaya bahawa Tuhan "ada diri" (Personal God); percaya bahawa Tuhan mencipta alam semesta dan segala isinya; Tuhan bukan sebahagian daripada alam semesta, tetapi mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan alam semesta, terbahagi kepada 3 golongan, iaitu:

a) Golongan yang percaya kepada Tuhan dipanggil theists;


b) Golongan yang percaya Tuhan hanya satu dipanggil mono-theists;


c) Golongan yang percaya Tuhan ada banyak dipanggil poly-theists.


2) Golongan yang percaya bahawa Tuhan "tiada diri" (Impersonal God) dipanggil deists


3) Golongan yang percaya bahawa Tuhan tidak boleh dipisahkan daripada alam semesta kerana alam semesta ialah Tuhan dan Tuhan ialah alam semesta dipanggil pantheists.


4) Selain golongan yang mempercayai ada Tuhan, terdapat golongan yang tidak mempercayai ada Tuhan yang boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan, iatu:


a) Golongan yang tidak pasti sama ada Tuhan wujud atau tidak wujud; mereka tidak menerima kewujudan Tuhan dan tidak menolak kewujudan Tuhan dipanggil agnostics.


b) Golongan yang menafikan kewujudan Tuhan (Tuhan tidak ada) dipanggil atheists.


c) Golongan yang menafikan kewujudan Tuhan (Tuhan tidak ada), dunia ini tidak ada apa-apa yang sejati, melainkan benda-benda yang tidak kekal dipanggil materialists.


Pada hari ini apabila kita bercakap tentang Tuhan, kita sering merujuk kepada Tuhan Yang Esa, Tuhan dalam agama Yahudi, Kristian dan Islam kerana kita banyak terdedah kepada konsep agama tersebut sejak zaman persekolahan sehingga masuk ke universiti. Kita tercari-cari Tuhan Yang Esa dalam kitab agama Buddha. Kita tertanya-tanya sama ada agama Buddha mengajar Tuhan kepada kita. 


Setahu saya, Baginda Buddha tidak pernah menyebut Tuhan Yang Esa. Persoalannya mengapa Buddha tidak pernah bercakap tentang Tuhan Yang Satu? Adakah ini bermakna penganut agama Buddha berfahaman atheis yang tidak percaya kepada Tuhan? Adakah Buddha tidak percaya kepada Tuhan?


Buddha dilahirkan sebelum kelahiran Kristian dan Islam dalam keluarga Diraja yang mengamalkan kepercayaan Brahmana. Kelahiran Buddha (Putera Siddharta) disambut dengan ritual dan adat istiadat Brahmana yang penuh gilang gemilang. 


Keluarga Buddha seperti keluarga Brahmana yang lain yang setiap hari berdoa kepada Tuhan (Phrom/Dewa/Devada) bagi mendapat restu, mengakhiri penderitaan dan mendapat kebahagiaan. Pendeta-pendeta di India ketika itu berusaha mencari jalan untuk hidup bersatu dengan Tuhan di syurga. Malahan tidak kurang yang menyeksa diri bagi menghapuskan dosa-dosa kerana kononnya itulah tuntutan Tuhan.


Pada usia 29 tahun, Buddha berhenti berdoa kepada Tuhan bagi mengakhiri penderitaan. Baginda sedar bahawa Brahmana yang berdoa kepada Tuhan tidak pernah berjaya mengakhiri penderitaan mereka. Beribu-ribu pertapa melakukan pelbagai amalan, termasuk menyeksa diri untuk menyucikan dosa-dosa, tetapi tiada seorang pun yang berjaya melepaskan diri daripada vatta-samsara. Lantas Baginda meninggalkan keluarga, kawan-kawan, kemewahan, pakaian dan perhiasan Diraja, pergi ke hutan untuk bermeditasi mencari jalan baru bagi menghapuskan penderitaan yang sebenar.


Baginda hidup dalam kesusahan selama 6 tahun sehingga berjaya mencapai Pencerahan Sempurna; menghapuskan penderitaan dan kesengsaraan (dukkha) selama-lamanya (Nirvana) dan kemudian membantu orang lain menghapuskan penderitaan mereka. Kejayaan Buddha tidak ada kaitan dengan mana-mana Dewa, Phrom atau Tuhan. Baginda mencapai Pencerahan Sempurna (Trassaru) atas usaha Baginda sendiri. 


Adakah Buddha percaya kepada Tuhan Yang Esa? Pada zaman Buddha, konsep Monoteisme wujud di bumi Arab di kalangan orang-orang Yahudi yang terletak jauh dari India. Di India Tuhan pencipta yang paling popular ketika itu ialah Brahma (Phra Phrom). Buddha tidak pernah berjumpa dengan orang Yahudi. Oleh sebab itu, Buddha tidak pernah berkata apa-apa tentang Tuhan Yang Esa.


Buddha dilahirkan dalam keluarga yang percaya kepada Tuhan, tetapi dalam ajarannya, Baginda tidak pernah minta penganutnya menyembah Tuhan. 


Dalam sebuah Sutra dikisahkan bahawa seorang pertapa berdiri sebelah kaki (sejenis amalan yang dilarang oleh Buddha) di kaki bukit berhari-hari lamanya bagi membasuh dosa-dosa yang lepas. Selepas dosa-dosa dibasuh, dia akan pergi ke syurga dan tinggal dengan Tuhan (Brahma) di sana. Dalam perjalanan, Buddha berjumpa dengan pertapa tersebut. Pertapa menceritakan sebab musabab dia berdiri sebelah kaki. Buddha bertanya kepada pertapa itu adakah sesiapa di kalangan mereka pernah berjumpa dengan Brahma?


Pertapa menjawab tidak pernah ada sesiapa pun di kalangan mereka (pertapa) berjumpa dengan Brahma. Buddha berkata bulan yang terang benderang di langit masih boleh dilihat, tetapi si pertapa tidak berupaya pergi ke bulan. Sedangkan Brahma tiada seorang pun di antara pertapa yang pernah menjumpaiNya, bagaimna pula pertapa hendak pergi tinggal bersamaNya? 


Si Pertapa terdiam sejenak. Kemudian Buddha pelawa si pertapa pergi bersama Baginda jikalau mahu "tinggal bersama Brahma" kerana Baginda pun ada Brahma. Brahma yang dimaksudkan oleh Buddha ialah Phrom Vihara 4 iaitu Metta, Karuna, Mudita, Ubekha. Si Pertapa mengamalkan ajaran Buddha sehingga berjaya mencapai Arahant.

Sebenarnya Buddha lebih prihatin dengan masalah manusia sejagat daripada masalah Tuhan. Masalah manusia sejagat ialah lahir, tua, sakit dan mati. Empat masalah inilah yang menjadi asas kesengsaraan manusia. Penyelesaian masalah ini tiada kaitan dengan Tuhan. Hanya manusia mampu mengatasinya. 


Buddha mencapai kesempurnaan melalui Pencerahan Sempurna dengan usaha dan ketekunan diri. Tiada bantuan kuasa luar, dewa atau Brahma. Buddha mempunyai kesempurnaan dalam fikiran, pertuturan dan perlakuan.  Buddha menjadi teladan dan guru kepada Dewa dan manusia.


Adakah penganut agama Buddha atheis?


Dalam soal ketuhanan, penganut agama Buddha terbahagi kepada 3 golongan utama:


1. Mereka yang percaya adanya Tuhan (dewa atau Phra Phrom),


2. Mereka yang tidak percaya sama sekali adanya Tuhan (dewa atau Phra Phrom).  


3. Mereka yang tidak pernah ambil peduli tentang Tuhan; ada tidak ada bukan masalah mereka. 


Ketiga-tiga golongan ini tidak pernah berkelahi tentang "Tuhan" kerana mereka sedar bahawa dalam agama Buddha bukan soal Tuhan yang penting dan harus diberikan perhatian, tetapi soal dukkha, vatta-sangsara dan karma yang penting. 


Bagaimana pula dengan penciptaan alam semesta? Buddha pernah diajukan soalan berkenaan permulaan dan pengakhiran dunia? Baginda cuma berdiam diri kerana jawapannya tidak membantu menghapuskan dukkha.  Lagipun pertelingkahan tentang permulaan dan pengakhiran "dunia dan alam semesta" tidak akan menemukan noktahnya hanya dengan sepotong jawapan. 


Oleh sebab itulah, Baginda menolak 2 pandangan (ditthi) berkenaan dunia yang popular pada waktu itu, iaitu: (1) Dunia akan berakhir (mempunyai pengakhiran) dan (2) Dunia tidak akan berakhir (tiada pengakhiran). Bagi Buddha, kedua-dua pandangan ini boleh menyesatkan. 


Dalam agama Buddha, permulaan dan pengakhiran tidak menjadi fokus utama. Agama Buddha fokus pada "kitaran hidup" yang sedang berlaku yang tidak pernah berhenti dan tidak akan berhenti dengan kematian. Kitaran ini umpama roda yang berpusing. Siapa boleh beritahu titik mana titik permulaan pusingan tersebut? Dan titik mana pula titik pengakhirannya? Dalam agama Buddha, untuk mengetahui jawapannya, kita memerlukan pengamalan mulia, bukan sekadar mendengar sepotong ayat kemudian mempercayainya. 


Di dunia ini terdapat begitu banyak kelahiran dan kematian pada setiap saat dan akan berterusan begitu sehingga kitaran tersebut diputuskan. Lagipun mengetahui bagaimana dunia bermula tidak akan membantu dalam usaha menghapuskan kesengsaraan, bahkan akan menambahberatkan fikiran. 


Kesimpulannya, dalam sejarah pengajaran Dhamma-vinai, Buddha tidak pernah menyebut Tuhan Yang Esa sebagaimana dalam kepercayaan Yahudi, Kristian atau Islam. Namun, penganut agama Buddha tidak boleh dikatakan atheis kerana mereka tidak menolak konsep ketuhanan dan menganggap dunia hanya kebendaan semata-mata seperti golongan materialists


Penganut agama Buddha mempunyai matlamat tertinggi yang lebih mulia yang dipanggil Nirvana yang tiada dalam agama lain. 







5 comments:

Anonymous said...

I like...Malaysian should read this...

2499 Antaphan Klong Meang

Anonymous said...

Penulisan yang baik!

pena reformasi said...

Konsep Tuhan/Atta lebih jelas dalam Mahayana. Bagi saya, pengetahuan agama Buddha kita akan lengkap apabila kita kaji Theravada dan Mahayana kerana kedua-duanya saling melengkapi bagi menghadapi cabaran globalisasi agama.

Anonymous said...

ศาสนาพุทธมิใช่ว่าปฏิเสธเรื่อง”พระผู้สร้าง” แต่ไม่ให้ความสำคัญ และไม่ใส่ใจที่จะไปศึกษา
ในเรื่องนั้น เพราะเล็งเห็นว่า ถ้าไปหมกมุ่นอยู่กับ"ผู้สร้าง"มากเกินไป ก็จะก่อให้เกิดโทษเสียมากกว่า
เพราะย่อมไม่มีใครยอมใครอย่างแน่นอน ( ตีกันตายเพราะเรื่องนี้..กันซะเท่าไหร่แล้ว???)

Anonymous said...

ศาสนาพุทธมิใช่ว่าปฏิเสธเรื่อง”พระผู้สร้าง” แต่ไม่ให้ความสำคัญ และไม่ใส่ใจที่จะไปศึกษา.

Boleh anda buktikan bahawa Buddha tidak menafikan Tuhan Pencipta/Creator God?