Wednesday, July 27, 2011

Ayatana 12

Ayatana ialah deria 6. Lima deria fizikal dan satu deria spiritual. Ayatana terbahagi kepada 2 iaitu ayatana dalam dan ayatana luar. Ayatana dalam ialah mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan minda (hati). Manakala ayatana luar ialah objek yang dilihat, suara yang didengar, bau yang dihidu, rasa yang dikecapi lidah, objek yang disentuh badan dan perkara yang difikir atau diingat. Apabila dicampurkan ayatana dalam dan ayatana luar jadi ayatana 12. 


Istilah ayatana bermaksud sempadan kerana  ia merupakan penghubung antara manusia dengan dunia luar. 


Ayatana mempunyai istilah dalam bahasa Pali iaitu:


Ayatana Dalam


1. Cakkhayatana ialah melihat (mata)
2. Sotayatana ialah mendengar (telinga)
3. Khanayatana ialah menghidu (hidung)
4. Chewhayatana merasa (lidah)
5. Kayayatana menyentuh (badan)
6. Manayatana memikir atau mengingat (minda atau hati)


Ayatana Luar


1. Rupayatana ialah pelbagai objek yang dilihat oleh mata.
2. Satthayatana ialah pelbagai suara yang didengar oleh telinga
3. Khanthayatana ialah pelbagai bau yang dihidu oleh hidung
4. Rasayatana ialah pelbagai rasa yang dirasa oleh lidah
5. Phottapphayatana ialah pelbagai objek keras, lembut, tegang, kendur, panas dan sejuk yang disentuh oleh badan atau kulit.
6. Dhammayatana ialah pelbagai perkara yang difikir atau diingat oleh minda atau hati.


Ayatana dalam dan ayatana luar berpasangan apabila berlaku kontak akan melahirkan pelbagai perasaan di minda atau hati. Dalam kata lain, apabila berlaku kontak antara ayatana dalam dan ayatana luar, sistem minda akan bekerja dan menghasilkan pelbagai jenis perasaan, baik mahupun tidak baik.  Fikiran, percakapan dan perbuatan baik atau tidak baik semuanya terhasil daripada ayatana dalam dan luar iaitu apabila berlaku kontak (phassa) antara kedua-duanya.
  
Contohnya, apabila mata melihat sesuatu objek, maka akan lahir satu perasaan. Jikalau perasaan itu baik, akan merangsang perbuatan baik. Jikalau perasaan itu tidak baik, akan merangsang perbuatan yang tidak baik. Begitu juga apabila telinga, hidung, lidah, tubuh dan minda berlaku kontak dengan ayatana luar akan melahirkan satu perasaan atau fikiran. Perasaan atau fikiran ini akan mempengaruhi percakapan dan perbuatan.


Oleh sebab itulah Buddha mengatakan Baginda sudah nampak syurga dan neraka di ayatana (mata, telinga, hidung, lidah, tubuh, minda). Apabila mata melihat sesuatu objek, terhasil kegembiraan, maka itulah yang dikatakan syurga. Sebaliknya, apabila mata melihat objek, terhasil kesedihan, maka itulah yang dikatakan neraka. Perasaan yang baik dan menggembirakan ialah syurga. Manakala perasaan yang tidak baik dan menyedihkan ialah neraka. 


Jadi, dalam sehari entah berapa kali masuk syurga atau neraka bergantung pada perasaan di hati. Orang yang hidup menderita seumur hidup, bermakna orang tersebut masuk neraka seumur hidup. Orang yang bahagia seumur hidup bermakna orang tersebut masuk syurga seumur hidup. Orang yang dipenjarakan seumur hidup ialah orang yang berada dalam neraka seumur hidup. Kehidupan seseorang tidak menentu, mungkin dalam seumur hidup masuk syurga dan neraka entah berapa puluh kali.  


Oleh sebab itulah Buddha mengatakan syurga dan neraka masih ditahap Lokiya Dhamma iaitu dhamma tahap duniawi. Bagi kebanyakan orang, syurga sesuatu yang dicita-citakan. Namun, bagi Buddha, syurga masih Lokiya Dhamma. 


Lokiya Dhamma sentiasa berubah-ubah. Minda di tahap Lokiya Dhamma sentiada ada naik dan turun yang tidak menentu. Hari ini mungkin sangat baik, esok mungkin sangat jahat. 


Bhikkhu atau gharawas yang berpegang pada Sila atau menjalani samadhi vipassana, tetapi minda masih di tahap Lokiya masih terdedah kepada kejahatan besar. 


Hanya minda di tahap Lokuttara Dhamma yang dijamin oleh Buddha bahawa ia tidak akan terjebak dengan kejahatan besar. Orang yang mindanya mencapai tahap Lokuttara (bebas daripada duniawi) tidak akan turun ke tahap Lokiya. Kejahatan yang besar hanya dilakukan oleh minda Lokiya. Minda Lokuttara akan terus bergerak ke atas sehingga mencapai pembebasan sepenuhnya. 


Selain itu, ayatana merupakan tempat tercetusnya Karma. Karma baik dan Karma jahat bermula di ayatana; bermula apabila mata melihat objek, telinga mendengar suara, hidung menghidu bau, lidah merasa, tubuh menyentuh objek dan minda memikirkan sesuatu. 


Kerana itu, Buddha mengingatkan kita supaya sentiasa menjaga dan mengawal mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan minda kerana kesemua ini akan mencetuskan Karma. Karma baik membawa kita ke syurga dan Karma jahat membawa kita ke neraka. 


Ayatana merupakan pintu yang menentukan kebaikan dan kejahatan kita. Kita mesti melantik pengawal iaitu akal dan kebijaksanaan sebagai pengawal pintu agar tidak membenarkan perkara tidak baik memasukinya. 














2 comments:

Anonymous said...

SAWADI TUAN PENA

SADHU SADHU AKHIRNYA SAYA DPT JUGA APA YG DIMINTA. SEMOGA TUAN PENA DPT BUN BARAMI, MURAH REZEKI DAN SENTIASA SIHAT. SADHU

Ban Nook Ook

Anonymous said...

Sathuk, sathuk, sathuk!