Thursday, July 21, 2011

Berpakaian Sopan ke Wat

Dalam ruang komen, pembaca setia KSB membangkitkan soal pakaian remaja kita sewaktu pergi ke wat.  Orang Siam sebenarnya amat mengambil berat tentang pakaian sewaktu pergi ke wat. Namun, Siam moden, generasi muda, kelihatan kurang mengambil berat tentang cara berpakaian. Mereka gemar memilih keselesaan jenis mendedahkan tubuh badan.


Wat merupakan tempat tinggal Sangha. Sangha ialah individu yang berpegang pada Sila yang mengamalkan dhamma-vinai Buddha. Sila sangat penting dalam dhamma-vinai. Selain Sangha, orang lain yang pergi ke wat juga kebanyakannya mempunyai Sila. Oleh itu, cara berpakaian, terutamanya wanita, cara bercakap dan bertindak merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh mencemarkan Sila


Berpakaian seharusnya mengikut keselesaan masing-masing. Namun, keselesaan jenis mendedahkan sebahagian besar tubuh badan atau yang dipanggil seksi harus dielakkan sama sekali. Pakaian jenis begitu tidak sesuai dengan wat. Pakaian yang nipis dan ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh juga tidak sesuai. Baju leher besar yang apabila tunduk menampakkan dada juga tidak patut dipakai ke wat. Seluar pendek, nipis dan ketat juga perlu dielakkan.  


Dalam kitab Tipitaka ada disebut bahawa perkara yang apabila didedahkan tidak cantik ada 3 perkara iaitu:


1. Wanita
2. Mentera Brahmana
3. Pandangan yang salah (micca ditthi). 


Manakala 3 perkara yang apabila didedahkan amat cantik ialah:


1. Matahari
2. Bulan
3. Ajaran Buddha


Kenapa agama Buddha mengatakan bahawa wanita apabila "didedahkan" tidak cantik? Mengamalkan dhamma-vinai secara ketat dipanggil Phrommachan (Brahmacariya) iaitu amalan mulia yang antara cirinya ialah "memisahkan diri" daripada wanita. Oleh itu, wanita dengan mudah boleh menyebabkan Phrommachan tercemar. Wanita yang mendedahkan tubuh badan kepada mereka yang mengamalkan Phrommachan seolah-olah mencabar dan mempersendakan amalan mulia agama Buddha. Perbuatan begini amat berdosa. 


Mereka yang mempraktiskan Ubosot Sila mesti mengelakkan daripada berhias diri dan memakai barangan kemas. Ini jelas menunjukkan bahawa berpakaian cantik yang berwarna-warni dan menghiasi badan dengan barang kemas bukan amalan yang mulia dalam agama Buddha. Sebaliknya, pakaian yang sopan dan tidak mendedahkan tubuh badan paling digalakkan. 


Berpakaian putih ke wat juga bukan perkara yang penting biarpun sekarang ini berpakaian putih semakin menjadi pilihan. Pakaian putih sebenarnya pakaian Brahmana bukan pakaian Buddhis. Namun, berpakaian putih tidak salah, malah kelihatan begitu serasi dengan suasana wat. Sebenarnya, agama Buddha memberi keutamaan kepada pakaian yang selesa dan sopan sahaja. Warna tidak penting, tetapi tidak terlalu berwarna-warni. Sebaiknya, pakailah pakaian yang sedia ada, tetapi tidak menjolok mata. Tidak perlu bersusah payah pergi beli pakaian putih atau pakaian yang mahal-mahal. Agama Buddha mengutamakan kesederhanaan dalam kehidupan, termasuk cara pemakaian. 


Kita pergi wat untuk pergi tambun (buat pahala). Pakaian seksi dan menjolok mata menimbulkan kilesa (nafsu serakah) di hati orang yang memandang. Apabila kita jadi punca kilesa, maka kita akan mendapat dosa. Pergi buat pahala, tetapi bawa balik dosa tentulah tidak berbaloi. 


Ibu bapa harus memberi nasihat kepada anak-anak gadis agar mereka berpakaian sopan ke wat. Pakaian seksi dan mendedahkan tubuh badan simpan untuk dipakai ke tempat lain. Cara berpakaian harus sesuai dengan tempat atau majlis yang dihadiri. Orang yang berpakaian tidak kena dengan tempat atau majlis tidak dilihat bijak walaupun tamat kolej atau universiti. Orang lelaki juga tidak terkecuali. Namun, lelaki tidak serumit wanita dalam berpakaian.


Selain pakaian, wanita juga tidak perlu berhias diri secara berlebihan. Sederhana sudah cukup. Kita pergi wat untuk tambun bukan pergi bertanding kecantikan, kehebatan atau kekayaan. 


Kesimpulannya, berpakaian harus sopan dan tidak menjolok mata semasa pergi tambun di wat. Barangan kemas juga mesti dikurangkan. Malahan benda-benda yang mengundang kilesa harus dielakkan sama sekali. Kita pergi wat untuk tambun (buat pahala), bukan untuk tambap (buat dosa).









 
          

5 comments:

Anonymous said...

Rasanya mereka yang berpakaian seksi ini hendak tamboon badan juga kot.Nampak peha dan buntut pun ada.Nampak buah dada dan celahnya pun ada.Silap haribulan nampak belaka pula,rasanya.Kalau tutup pun elok.Wat bukan tempat nak show benda macam.Wat tempat yang nak kurangkan yang seksi dan seksa.Bila orang ajar pula hendaklah marah.

Anonymous said...

Orang yang curi makan makanan sami bila mati jadi pret. orang yang dedah tubuh kepada sami bila mati jadi haiwan neraka.

Anonymous said...

sami yang suka pandang pungguk wanita mati jadi apa?

Anonymous said...

Sami pun sampai phra arahant lagi.Mereka masih menjadi sami sommut dulu.Mereka pun mcam anda semua juga.Cuma yang tidak samanya ,ada yang berusaha jauh dari kelisa dan ada yang mengikut kelisa. Bukan zaman ini aje,zaman buddha dulu pun sama juga.Jadi usah bimbang dengan cara mereka,membimbanglah dengan cara kita semua.
Neraka,syurga dan nibbbana untuk kita semua dan juga sami semua juga.

Anonymous said...

mati jadi mangkuk tandas.