Wednesday, July 13, 2011

Khao Phansa (Vassa)

Wan Khao Phansa (Vassa) atau Hari Masuk Phansa merupakan salah satu hari yang penting dalam agama Buddha. Pada hari ini para bhikkhu Theravada membuat pernyataan untuk menetap di mana-mana sebuah wat sepanjang musim hujan (di India) selama 3 bulan sebagaimana termaktub dalam Dhamma-vinai. 

 Istilah yang agak sinonim dengan Khao Phansa ialah "Cham Phansa". "Phansa" bermaksud musim hujan, manakala "cham" bermaksud berehat. Maka "Cham Phansa" bermaksud "masa berehat musim hujan" bagi para bhikkhu. 

Pada tahun 2011 ini, tempoh Phansa bermula dari 16 Julai hingga 12 Oktober. Tanggal 16 Julai Hari Masuk Phansa dan 12 Oktober Hari Keluar Phansa.

Tempoh Phansa sangat penting bagi penganut agama Buddha. Dalam tempoh tersebut, pelbagai acara keagamaan (tambun) diadakan.

Sehari sebelum Hari Masuk Phansa ialah Hari Asalaha Puja, iaitu hari Baginda Buddha menyampaikan Dhamma pertama kepada Pancavakkhi yang terdiri daripada Kondanya, Vappa, Bhaddiya, Mahanama dan Assaji. Dhamma ini dikenali sebagai "Dhammacakkappavattha Sutta". 

Buddha mengizinkan para bhikkhu atau Sangha menetap di mana-mana satu tempat selama 3 bulan agar para bhikkhu dapat berehat.  Lazimnya para bhikkhu sentiasa mengembara secara berkumpulan dari satu tempat ke satu tempat bagi menyebarkan ajaran Buddha. Pengembaraan mulia ini mengundang kesukaran apabila tiba musim hujan. Lagipun, pada musim hujan, penduduk mula bercucuk tanam, berkebun dan bersawah. Apabila bhikkhu menetap di sesuatu tempat, tidak mengembara, ini boleh mengelakkan mereka daripada terpijak dan memusnahkan tanaman penduduk. 

Selain itu, selama tempoh "Cham Phansa", bhikkhu dari pelbagai tempat yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan tahap kemahiran ilmu dhamma berkumpul di dalam sebuah wat atau vihara. Ini merupakan peluang yang baik bagi mereka berbincang dan bertukar-tukar fikiran berkenaan ilmu dhamma. Bhikkhu yang lebih tua yang tentu sekali pengalaman dan ilmu agamanya lebih luas boleh mengajar bhikkhu yang lebih muda. Bhikkhu yang telah mencapai Ariya dan Arahant boleh menjadi guru kepada bhikkhu yang belum mencapainya. 

Bagi penganut agama Buddha, tempoh 3 bulan ini meruapakan tempoh yang dipercayai sangat sesuai untuk pergi tambun di wat, seperti saibart, suatmon dan mendengar dhamma. 

Bagi lelaki Siam Buddhist yang mencapai usia 20 tahun, Phansa merupakan masa terbaik mereka jadi bhikkhu. Tempoh 3 bulan merupakan tempoh mereka mematangkan diri dengan mendalami ilmu agama dan amalan-amalan mulia.

Satu tradisi yang berkaitan dengan Phansa ialah tradisi mempersembahkan lilin Phansa (tian Phansa) kepada bhikkhu di sesebuah wat. Lilin Phansa ini digunakan untuk menerangi kutti dan bangunan di wat dan dijadikan lampu sewaktu bhikkhu membaca kitab agama, berbincang dhamma dan sebagainya. 

Pada hari ini lilin Phansa digunakan untuk menerangi Imej Buddha dalam Ubosot. Lilin Phansa biasanya dibuat khas dengan saiz yang agak besar yang boleh dinyalakan sepanjang 3 bulan. Sesetengah tempat upacara perarakan lilin Phansa ke wat diadakan secara besar-besaran dan meriah sekali. 

Pemberian lilin Phansa ini ada tercatat dalam Tipitaka yang mengisahkan Phra Anurut Thera yang pernah memberikan pelita minyak kepada Sumetha Samma Sambuddha pada kehidupan yang terdahulu. 

Kisahnya bermula apabila Anurut berjumpa dengan Sumetha Samma Sambuddha yang menyendiri di bawah sebatang pokok. Anurut mempersembahkan pelita minyak kepada Baginda bersama seribu sumbunya. Pelita tersebut digantung pada pokok dan dibiarkan menyala terus-menerus selama 7 hari sebelum padam dengan sendiri. 

Kerana kemuliaan hati mempersembahkan pelita kepada Sumeta Samma Sambuddha dengan niat yang ikhlas, Anurut mendapat pelbagai balasan kebaikan. Beliau pernah dilahirkan sebagai Devata yang amat berpengaruh ke atas segala Devata dan pernah menjadi raja sebanyak 28 kali. Beliau mempunyai penglihatan yang amat terang.  Dikisahkan bahawa beliau mampu  melihat sejauh 1 joyana (sama dengan 16 kilometer) pada waktu siang dan malam.


Dalam kehidupan terakhir, beliau mengamalkan dhamma-vinai Buddha (sekarang) sehingga mencapai Arahant. Anurut Thera merupakan Arahant yang mempunyai kebijaksanaan yang tinggi, mempunyai hati yang terang dan mempunyai "dibba-cakkhu" (mempunyai penglihatan yang istimewa sehingga mampu melihat menembusi tembok). Beliau mempunyai Patisampitha 4, Vimokkha 8 dan Abinya 6. Kesemua ini ialah hasil daripada mempersembahkan pelita kepada Sumetha Samma Sambuddha. (Kisah Anurut Thera mesti difahami dengan kebijakan kerana gaya penulisannya menggunakan laras bahasa Dhamma).

Oleh sebab itulah, setiap individu yang memberikan lilin Phansa, berniat agar menjadi bijak, terang mata, terang hati seperti Anurut Thera. 

Zaman telah berubah. Pada hari ini ramai penganut agama Buddha menggantikan pemberian lilin dengan pemberian lampu elektrik. Malahan dari beberapa segi, lampu elektrik lebih efektif. Namun, pemberian lilin Phansa masih kekal sebagai tradisi agama.   


Selain itu, pemberian "kain mandi hujan" (kain basahan) kepada bhikkhu juga dilakukan oleh penganut agama Buddha sempena Phansa. Dahulu, bhikkhu tiada "kain mandi" melainkan, sehelai kain Sabung (kain pakai), Civorn (jubah)  dan Sangkhati (kain sebai bahu).  Apabila hendak mandi hujan pada musim Phansa, bhikkhu tiada pilihan kerana kain pakai hanya sehelai, maka terpaksa mandi tanpa kain. 


Puteri Visakha, Maha Ubasika, individu pertama yang memberikan "kain mandi hujan" kepada para bhikkhu.


Kita selaku putera dan puteri Buddha harus mengambil kesempatan sempena bulan Phansa yang mulia ini untuk melakukan sesuatu yang mulia juga. "Khao Phansa" bukan saja bhikkhu, kita pun boleh "Khao Phansa". Tradisi agama mesti diteruskan, tetapi yang lebih penting ialah mengamalkan ajaran Buddha, iaitu meninggalkan kejahatan, membuat kebaikan dan menyucikan hati. Setiap hari hati kita terdedah kepada kilesa. Maklumlah hidup di dunia dengan ciri-ciri duniawi yang semakin mencabar. "Khao Phansa" boleh mengelak daripada gangguan kilesa, tidak banyak pun sedikit.


Adakalanya kita terpaksa meninggalkan Sila tertentu, bukan kehendak kita tetapi kehendak keadaan. Atau hambatan-hambatan kerja menyebabkan kita terpaksa (dipaksa) mengenepikan Sila. Bahkan dalam keadaan tertentu kita telah menyakiti hati orang lain, hati kawan-kawan atau ibu bapa dan ahli keluarga kita. Mungkin secara tidak sengaja atau tiada pilihan lain. 


Maka pada bulan Phansa ini, adalah peluang terbaik kita meringankan sedikit fikiran kita daripada masalah duniawi untuk ditumpukan kepada amalan Dhamma-vinai Buddha. Kita cuma meringankan sedikit, bukan meninggalkan terus. Kita manusia biasa, bukan bhikkhu, yang hidup di dunia mustahil boleh melarikan diri daripada duniawi. 


Cukuplah sekiranya kita bertekad untuk berpegang teguh pada Sila 5 (atau Sila 8) setiap hari selama 3 bulan, bermula 16 Julai sehingga 12 Oktober. Jikalau boleh berpegang terus selamanya lebih elok. Jikalau tidak boleh 3 bulan, pilihlah hari tertentu, misalnya Wan Phra. Selain itu, selama 3 bulan ini, kita buat Sanghadanasuatmon setiap pagi/malam ikut keselesaan kita. Sekiranya boleh pergi wat pada waktu malam, suatmon beramai-ramai dan mendengar khutbah dhamma daripada bhikkhu lagilah baik. Jangan terlupa bawa bunga bagi memuja Buddha, Dhamma dan Sangha. 


Seandainya ada kesempatan, duduklah samadhi sama ada di wat atau di rumah. Bermula dengan sehari 30 minit pun memadai. Samadhi bukan untuk "nampak itu dan ini" tetapi sekadar menenangkan minda. Setelah lama bekerja, minda kita perlu rehat. Samadhi kaedah paling mujarab merehatkan minda di samping mengembalikan kekuatan yang hilang. 


Dan yang terakhir yang perlu kita lakukan ialah cuba mengurangkan Lobha, Dosa dan Moha. Untuk mengurangkan Lobha (tamak) kita mesti banyak memberi atau membuat kebajikan. Untuk mengurangkan Dosa (marah) kita mesti memaafkan mereka yang pernah dan sedang menyakiti kita. Biar mereka berdendam dengan kita asalkan kita tidak berdendam dengan mereka. Menyimpan kemarahan hanya akan menyusahkan diri kita sendiri. Bebaskan kemarahan tersebut daripada hati, kita akan berasa lega. Walaupun sukar, kita mampu melakukannya. Untuk mengurangkan Moha (sesat/keliru) kita mesti berbanyak mendalami dan mengamalkan dhamma Buddha (Buddhadhamma). 


Kesimpulannya, bulan Phansa yang mulia jangan dilepaskan berlalu begitu sahaja tanpa melakukan sebarang kebaikan untuk diri sendiri, ahli keluarga, kawan-kawan dan semua umat manusia. Jangan menunda kebaikan kerana kita tidak tahu bila kita akan menghembuskan nafas terakhir.


(artikel berkaitan Phansa

            







     

11 comments:

Anonymous said...

Terima kasih Tuan Pena, Saya tersesat sekejab tapi Tuan membawa saya balik ke landasan yg betul setelah baca blog Tuan.

Tuan saya nak tanya sikit,Patutkah Wat letak harga tetap pada barangan yang dijual disitu? contohnya cavorn. Ada sesetengah Wat,sami jual cavorn RM 350.00 setip satu. Pada saya ia tak mahal tapi pada orang tua tua dan sesetengah orang kampung ia agak berat. Bayangkanlah satu Wat mempunyai 7 sami,Nak beli satu beri satu sami saja segan pula,kesian pula dengan sami lain,beli 7 cavorn dah RM2450 itu tak termasuk barangan harian lagi.Dalam menderma kita tak seharusnya fikir tentang jumlah..tapi jika sampai membebankan diri pun susah juga. Saya kesian kat kakak kakak dan makcik makcik..pergi Wat untuk buat kebaikan tapi muka suram pasal tak mampu beli cavorn.Ini cuma pendapat saya saja...tak mewakili sesiapa..

pena reformasi said...

Silap salah lumrah kehidupan manusia. Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Dalam agama Buddha, salah silap bukan soal utama, kerana yang penting setelah sedar akan kesilapan, kesalahan atau kejahatan, terus berhenti daripada perbuatan tersebut.

Wat meletakkan harga pada civorn amat tidak patut kerana wat bukan kedai yang menjalankan urusan perniagaan. Apatah lagi sekiranya civorn itu dijual untuk mengaut untung semata-mata bukannya untuk dipakai oleh Bhikkhu. "Anisong" apa yang akan kita dapat jikalau kita beli civorn, kemudian kita "tawai" phra, tetapi phra tidak pakai. Phra cuma mahu duit jual civorn. Kenapa tak bagi duit saja?

Kebanyakan wat Thai sekarang pentingkan keuntungan duit daripada anisong dan bun-barami.

Anonymous said...

pastikan dulu..kerja letak itu siapa letak?..kadang2 bukan kerja phra tapi kerja comitee punya.Comitee dah besar di mana2,mcm juga di thailand atau malaysia.

Anonymous said...

SAWADI

Syabas dgn penulisan murni ini. Teruskan sadhu sadhu.Tuan pena saya nak tanya sebenarnya ada tak ayat yg harus dibaca oleh penganut buddha cth sebelum makan dan selepas makan, tidur, semasa melawat org uzur/sakit tenat dsbnya. Harap tuan dpt bagi petunjuk utk saya sb nak amal.

sawadi
Ban Nook OOk

pena reformasi said...

Ban Nook Ook, saya sendiri pun tak tahu ayat apa dibaca. Yang saya tahu, phra ada baca, sebelum dan selepas makan.

Anonymous said...

Tak kita kerja sapa, phra kena ambil tahu perkara ada kaitan agama. Duduk diam seperti kucing bodoh tengok kometi buat salah tak boleh. Phra kena bimbing kometi. Buat salah kena tegur.

Anonymous said...

SAWADI TUAN PENA

Saya nak minta jasa baik tuan boleh tak cari doa-doa yg boleh kita ajar utk diri kita sendiri sebelum baca buku,menziarahi org uzur, doa sebelum makan, tidur dsbnya. Secara rutinnya saya akan mulai sesuatu dgn bacaan namo tassa X 3 tu aje, ada lagi tak doa-doa yg tuan tahu utk kegunaan harian utk kearah kesejahteraan bersama.

Sawadi
Ban Nook Ook

pena reformasi said...

Ban Nook Ook,

Saya akan cuba tanya kepada mereka yang lebih arif tentang perkara ini untuk dikongsi bersama.

Anonymous said...

Tuan Pena, ambo minta ahosikham kerana pernah kutuk tuan pena. Sekarang ambo sedar apa yang Ksb paparkan benar kerana ambo tengok wat dan samnak dijadi pusat hiburan dan kutip duit masuk poket beli tanah buat nama sendiri. tanah ditanam buah-buahan hasil dinikmati sanak suadara. Orang yang pergi tambun bagi duit tak boleh hasil apa pun.

Anonymous said...

SAWADI TUAN PENA

TQVM. PLEASE DO THE BEST. I KNOW YOUR AIMS HERE ARE TO PROVIDE KNOWLEDGE AND INFORMATION THAT SOME OF US DOES NOT REALISE THAT VERY IMPORTANT, JUST IGNORE WHAT OTHERS PEOPLE SAID YOU ALREADY DONE A GOOD JOBS. CONGRATE. PLEASE FIND FOR ME DOA-DOA YG IMPORTANT IN OUR DAILY LIVING

SAWADI
Ban Nook Ook

pena reformasi said...

Anon 11.18 am,

Baguslah sekiranya saudara telah faham tujuan tulisan saya dalam KSB. Saya tidak berniat mengutuk atau menyakiti hati sesiapa, melainkan menulis apa yang saya lihat menyalahi ajaran Buddha.

Apabila kita lihat orang buat salah berkaitan agama (kerana agama milik kita semua dan menjadi tanggungjawab bersama menjaga kesuciannya), kita tegur, jikalau mereka tidak dengar, terpulanglah.