Sunday, July 3, 2011

Kuson Kammabot 10: Kaedah Menilai Diri


Kuson Kammabot (Kusala Kammapatha) bermaksud jalan kebaikan, cara membuat kebaikan, kaedah membuat sesuatu yang berfaedah, perbuatan baik yang membawa kepada kebahagiaan, kemajuan atau Sugati. Diberi nama Kuson Kammabot 10 kerana terdapat 10 cara membuat kebaikan. (Wholesome course of action).


Kuson Kammabot merangkumi perbuatan baik, percakapan baik dan pemikiran baik. Istilah lain yang mempunyai maksud lebih kurang sama dengan Kuson Kammabot ialah Dhamma Cariya, Ariya Dhamma, Ariya Magga dan Sattham.


Perbuatan, percakapan dan pemikiran yang bertentangan dengan Kuson Kammabot dipanggil Akuson Kammabot. 


Kuson Kammabot 10 


Tiga Perbuatan (Kaya Kamma 3)


1. Tidak menyusahkan diri sendiri dan orang lain, tidak membunuh, memukul, mencederakan diri sendiri dan orang lain, termasuk haiwan. (panatipata)


2. Tidak mencuri, merampas dan mengambil barang orang lain. Tidak mengkhianat, merosakkan atau memusnahkan harta masyarakat dan harta orang lain. (adinnadana).


3. Tidak melakukan maksiat, hubungan luar nikah, zina dan pergaulan bebas melepasi batasan. (kamesumicchachara)


Empat Percakapan (Vaci Kamma 4)


1. Bertutur perkara yang benar. Tidak berbohong, memperdaya atau menipu. (musavatha)


2. Bertutur dalam hal yang menyatupadukan. Tidak bertutur perkara yang boleh memecahbelahkan. Tidak jadi batu api. (pisunayavaca)


3. Bercakap secara sopan, lembut dan menarik agar memikat hati pendengar. Tidak bercakap kasar, memaki hamun atau mencaci.(parussayavacaya)


4. Bercakap perkara yang membawa faedah. Cakap yang tidak membawa faedah, cakap kosong, cakap yang menyakiti hati orang lain dielakkan.(sampapplavacaya)


Tiga Pemikiran (Mano Kamma 3)


1. Kawal pemikiran supaya tidak dikuasai perasaan tamak (lobha). Sentiasa subur dengan Metta. Jaga hati agar tidak membenih nafsu serakah dan keinginan terhadap hak milik orang lain. (anapiccaya)


2. Kawal pemikiran supaya tidak dikuasai kemarahan dan dendam (dosa). Sentiada subur dengan Karuna. (appayapatho hoti)


3. Kawal pemikiran supaya tidak berfikir ke arah yang bertentangan dengan Kuson Kammabot 10. Tidak menjurus kepada kesesatan (moha). Sentiasa menyuburkan Mudita dan Ubekkha. (samma ditthiko hoti)


Kuson Kammabot 10 ini menggalakkan kita berpegang pada Sila, memupuk Metta, Karuna, Mudita, ubekkha dan meninggalkan Lobha, Dosa dan Moha. Boleh dikatakan perbuatan baik dan jahat seseorang terangkum dalam Kuson Kammabot dan Akuson Kammabot. 


Sesetengah orang bertanya, kenapa Kuson Kammabot 10 tidak mempunyai larangan meminum arak? Bukan tidak ada, tetapi tidak disebutkan secara terus. Semua orang tahu minum arak atau minuman memabukkan boleh menyebabkan daya pemikiran lemah, menjejaskan konsentrasi, lalai, alpa, hilang siuman dan sebagainya yang boleh dikategorikan sebagai pramat. Buddha melarang keras sikap pramat. Agama Buddha berpaksi pada panya (bijak). Manakala pramat musuh kepada panya. Pesanan terakhir Buddha adalah agar pengaikutnya tidak bersikap pramat. 


Lazimnya, sewaktu ada kematian, kita akan melakukan upacara "meminta ampun" daripada si mati. Kita akan menyebut: "Kaya Kamma 3, Vaci Kamma 4, Mano Kamma 3 ... Kamma yang dilakukan dengan sengaja atau dengan tidak sengaja ... di depan atau di belakang ... minta diampunkan (Ahosi Kamma)." Ini semua merujuk kepada perbuatan salah kita terhadap si mati (Akuson Kammabot 10) yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja. 


Upacara "meminta ampun" (Ahosi Kamma) hanya upacara. Soal keberkesanannya perkara kedua. Namun, jikalau boleh, kita jangan melakukan Akuson Kamma kepada orang. Jikalau kita telah melakukannya, elok sangat diminta ampun sewaktu orang tersebut masih hidup. Kita boleh tahu sama ada dia mengampunkan kita atau tidak. Biasanya, kalau kita ikhlas, kita akan diampunkan. 


Kuson Kammabot 10 ini boleh dijadikan alat untuk memeriksa diri. Setiap malam sebelum tidur, selepas suatmon dan samadhi, cuba kita renungi hari ini perbuatan apa yang telah kita lakukan. Berapa perbuatan baiknya? Berapa pula perbuatan tidak baiknya? Buat perhitungan, lakukan penilaian diri. Adakah kita telah menyakiti hati orang lain; ibu bapa, adik-beradik, anak cucu, saudara mara, kawan atau jiran tetangga? Jikalau ada, segera minta ampun atau minta maaf. 


Kesalahan kepada ibu bapa, walaupun kecil, namun akibatnya sangat besar. Mungkin kita tidak sedar kita telah menyakiti hati ibu bapa kita. Maklumlah gigi pun tergigit lidah sendiri. Oleh itu, penilaian diri sangat penting. Kalau perlu, kita bertanya terus kepada mereka sama ada kita telah melukakan hati mereka berdua. 


Ibu bapa yang membesarkan anak-anak dengan manja yang berlebihan harus berwaspada kerana akan menjerumuskan anak-anak kepada Akusa Kammabot dengan mudah. Anak manja biasanya dituruti kehendak hatinya oleh ibu bapa. Dia buat salah ibu bapa tidak marah. Lama-lama, kepala ibu bapa dia panjat. Ibu cakap sepatah, dia balas sepuluh.  Ibu cakap sepuluh, dia menjerit kemarahan, menendang pintu bilik dan sebagainya. Sikap begini apabila telah masuk ke tulang hitam, sukar diubati lagi, oleh itu, akan terbawa-bawa sehingga ke dewasa. Bayangkan, berbuat tidak baik kepada ibu bapa dari kecil sehingga dewasa, berapa dosa-dosa yang harus ditanggung?  Puncanya, kerana ibu bapa memanjakan dia secara berlebihan. 


Ibu bapa yang sayang kepada anak-anak tidak akan memanjakan anak-anak secara berlebihan. Sayang mesti ada caranya. Sayang cara yang salah akan menghantar anak ke neraka. Mungkin ibu bapa tidak kisah apabila anak "memarahi" mereka. Akan tetapi, kita mesti ingat bahawa Karma tidak pilih kasih. Hari ini dia marah, esok mungkin dimaki dan lusa dipukulnya kepala ibu bapa. Jangan kata pukul, sekadar berniat tidak baik atau terdetik perasaan jahat di hati terhadap ibu bapa, dosanya bertimbun-timbun datang. 


Bagi agama Buddha, ibu bapa ibarat Phra Arahant dalam rumah. Berhati-hatilah agar tidak mendidik anak-anak dengan cara yang salah sehingga mereka tidak nampak Phra Arahant dalam rumah.


Apa gunanya kita menjelajah seluruh dunia mencari jalan ke syurga, menziarahi merata-rata wat dan tempat-tempat suci, ingin membuat kebaikan (bun barami), tetapi Phra Arahant di dalam rumah, kita abaikan dan biarkan mereka hidup menderita tanpa kasih sayang?  


Dan berbanggalah kita sekiranya kita termasuk dalam golangan yang kenal Phra Arahant dalam rumah dan kita jaga mereka dengan baik, selayaknya yang harus dinikmati Phra Arahant. Syurga milik kita. 


Lakukan penilaian diri dari semasa ke semasa. Gunakan Kuson Kammabot 10 sebagai panduan untuk menilai, menghitung dan membaiki perbuatan kita setiap hati.







   

   
    



3 comments:

Anonymous said...

Siapa abaikan emak bapak, tunggu bila dia ada anak, anak dia buat dia pulak. Hukum Karma tak lepaskan sesiapa. Dekat kampung aku, sorang member tu sayang sangat dengan emak mentua dia, tapi dengan emak dia sendir, dia tak peduli.

katanyu

Anonymous said...

President 8liam dan treasures suka suatmon tapi tak ikhlas dalam hal duit, hukum dia apa?tuan pena

pena reformasi said...

Setiap perbuatan ada balasan Karma, cepat atau lambat.