Sunday, July 24, 2011

Mati Terpenjara

Siapa yang dikatakan mati terpenjara?


Buddha berkata manusia biasa (putuchon) yang tidak mempelajari (dhamma) akan melihat rupa, vedana, sanya, sangkhara, vinyana ialah diri (aku),melihat diri (aku) ada rupa, vedana, sanya, sangkhara, vinyana; Melihat rupa, vedana, sanya, sangkhara, vinyana dalam diri (aku) atau melihat diri (aku) dalam rupa, vedana, sanya, sangkhara, vinayana.


Inilah yang dipanggil putuchon, individu yang tidak mempelajari (dhamma) lalu terpenjara oleh rupa, vedana, sanya, sangkhara, vinyana. Individu ini diikat dari dalam dan luar. Individu ini tidak melihat daratan sebelah sana, tidak melihat daratan sebelah sini. Dia rela tua dalam keadaan terpenjara dan terikat, dia rela mati dalam keadaan terpenjara dan terikat dan dia rela meninggalkan dunia ini, menuju dunia hadapan dengan keadaan terpenjara dan terikat. 
(Pantana Sutta) Tipitaka Thai 17: 175 


Avijja



Avijja bermaksud jahil atau tidak tahu. Jahil atau tidak tahu tentang apa?

Buddha pernah berkata bahawa manusia biasa (putuchon) yang tidak mempelajari (dhamma) tidak tahu dengan jelas akan rupa, vedana, sanya, sangkhara, vinyana; tidak tahu dengan jelas punca kelahiran rupa, vedana, sanya, sangkhara, vinyana; tidak tahu dengan jelas tentang penghapusan rupa, vedana, sanya, sangkhara, vinyana; tidak tahu dengan jelas akan cara-cara menghapuskan rupa, vedana, sanya, sangkhara, vinyana. Inilah yang dipanggil Avijja.

(Avijja Sutta) Tipitaka Thai 17: 173

Dalam agama Buddha, ajaran berkenaan Rupa, Vedana, Sanya, Sangkhara, Vinyana sangat banyak diajarkan kerana Panca Khandha ini berkaitan langsung dengan penghapusan Dukkha dan pembebasan minda dan diri daripada nafsu dan Vatta Samsara. Untuk menghapuskan Dukkha, membebaskan minda dan melepaskan diri daripada Vatta Samsara, seseorang itu mesti memahami Panca Khandha dengan baik. Apabila seseorang memahami Panca Khanda barulah dia boleh menghapuskan Sangjot 10. Selepas berjaya menghapuskan Sangjot 10 satu persatu, barulah dia mencapai Ariya iaitu Sodaban, Sakadagami, Anagami dan Arahant. 

Jelaslah bahawa Panca Khandha wajib diketahui dengan jelas sekiranya seseorang mahu mengikut jejak Phra Arahant dan Baginda Buddha. 

Kita harus sedar bahawa matlamat Buddha ialah mengajar kita mencapai Arahant atau yang selalu dipanggil Magga, Phala, Nibbana. Buddha mahu membebaskan makhluk dunia daripada kesengsaraan dan Vatta Samsara. Matlamat inilah yang membezakan agama Buddha daripada agama lain. Kita selaku putera dan puteri Buddha mesti berusaha membantu Baginda menjayakan matlamat ini. 

Untuk mengetahui Panca Khanda dengan jelas, seseorang terlebih dahulu mesti memahami Ariya Sacca 4 iaitu Dukkha, Samudaya, Nirodha dan Magga. Ariya Sacca 4 ini ialah teras agama Buddha. Dari sinilah kita memulakan langkah menuju Magga, Phala, Nibbana (Mark, Phon, Nippan). 

Malangnya, kebanyakan penganut agama Buddha tidak memulakan langkah dari sini. Mereka memilih tempat lain. Oleh sebab, langkah permulaan yang salah, menyebabkan langkah seterusnya pun salah. Akhirnya destinasi yang ditujui juga salah. Mereka mati terpenjara. Mereka dilahirkan sebagai putuchon dan rela mati sebagai putuchon. Mereka dilahirkan dengan Avijja dan rela mati dengan Avijja. 

Buddha mengajar kita supaya kenal diri. Kenal diri yang dimaksudkan ialah kenal Rupa, Vedana, Sanya, Sangkhara, Vinyana. Selagi kita tidak kenal dengan jelas akan Rupa, Vedana, Sanya, Sangkhara, Vinyana, maka  selagi itulah kita tidak kenal diri. Sampai mati pun kita tidak akan kenal diri yang sebenar. 

Penganut agama Buddha sekarang terlalu tumpu kepada kebajikan (dana) sehingga terlupa amalan yang lain. Sanghadana merupakan dana yang sangat disanjungi penganut agama Buddha. Sanghadana kepada Ariya Sangha membawa hasil yang lumayan, tiada siapa menafikannya. Namun, dana semata-mata tidak mungkin membawa kita mencapai Arahant (atau Ariya Bukhon); membebaskan diri daripada Vatta Samsara sebagaimana yang menjadi matlamat Buddha. 

Kita mesti mengamalkan Dhamma yang boleh membawa pencerahan minda. Untuk mendapatkan pencerahan minda, kita mesti menghapuskan Avijja. Avijja akan terhapus apabila kita kenal Panca Khandha dengan baik (Rupa, Vedana, Sanya, Sangkara, Vinyana). Manakala Magga 8 ialah jalan yang membawa kita mengenali Panca Khanda, memberikan kita kuasa memutuskan Sangjot 10, menemukan kita dengan Vijja dan Vimutti. Dalam Magga 8 terangkum Sila, Samadhi dan Panya. Malahan semua ajaran Buddha menjurus kepada Sila, Samadhi dan Panya.



Vimutti ialah pembebasan atau penyelamatan (deliverance). Ceto Vimutti ialah pembebasan minda (citta). Manakala Panya Vimutti ialah pembebasan melalui kebijaksanaan (Panya). Inilah puncak pengamalan mulia yang diajarkan oleh Baginda Buddha.


Jikalau kita tidak menambah ilmu dhamma, mengangkat minda ke tahap lebih tinggi; asyik melekat dengan kebajikan atau dana sahaja, bagaimana kita akan mencapai pembebasan atau penyelamatan?  

Kesimpulannya, jikalau kita tidak mahu mati tua seperti orang terpenjara dan terikat di dalam dan di luar, berusahalah memasuki teras ajaran Buddha. Asyik berlegar-legar di bahagian kulit, kita tidak akan ke mana. Untuk lahir sebagai manusia bukan senang. Maka pergunakanlah peluang ini sebaik mungkin untuk merealisasikan matlamat Buddha.



1 comment:

Anonymous said...

Tuan Pena yg dihormati lagi disanjungi,

Terima kasih saya ucapkan diatas Article ini. Saya akan berusaha lagi utk keluar dari Dukkha.

Sawaddi.

Phai Chit Chindamanie.