Friday, July 29, 2011

Parinibbana






Prong sangkharn (ปลงสังขาร) bermaksud membicarakan kematian, memahaminya dan menerima hakikat bahawa kita tidak boleh melarikan diri daripada kematian. Ini ialah hakikat yang mesti diterima. Prong sangkarn (sankhara) merupakan keadaan "melepaskan" tubuh badan agar kita tidak terus melekat (upadana) padanya. Setiap orang harus terima hakikat bahawa kehidupan adalah anicca, dukkha dan anatta. Semuanya tidak menentu, tidak pasti dan tidak kekal abadi. Semuanya tidak akan terjadi seperti kehendak kita. Walaupun kita berkata "wahai diri, jangan tua, jangan sakit, jangan mati" tetapi ia tidak akan jadi seperti permintaan kita. Semua yang hidup akan mati. Apabila kita dapat terima kenyataan ini, barulah kita dapat melepaskan kemelekatan kita.

Prong sangkharn penting supaya kita tidak melekat pada sangkharn (tubuh badan) dan menganggap tubuh badan milik kita. Prong sangkharn membantu kita tidak takut kepada kematian, tidak mengabaikan tanggungjawab dan segera membuat kebaikan sebagai bekalan untuk hari selepas mati.


Prong ayu sangkharn (ปลงอายุสังขาร) bermaksud menetapkan hari pengakhiran sangkharn (hari kematian) sebelum tibanya kematian.

Prong ayu sangkharn merupakan istilah yang digunakan kepada Buddha sahaja. Baginda berkenan untuk parinibbana sebagaimana yang diminta oleh Phaya Marn (Raja Iblis).  Phaya Marn datang minta Buddha segera parinibbana dan akhirnya Buddha berkenan. 

Peristiwa penting dalam sejarah agama Buddha ini berlaku ketika Phra Anon pergi berehat di bawah pokok tidak jauh dari tempat berehat Buddha. Phaya Vassatimara (Phaya Marn) datang menghadap Buddha dan memohon Baginda mengingat kembali kisah lampau ketika baru-baru mencapai Trassaru (Pencerahan Sempurna). Ketika itu Phaya Marn pernah datang menghadap dan memohon Buddha segera parinibbana. Namun, Buddha menolak permohonan tersebut kerana kata Buddha, selagi Borisat 4 iaitu Bhikkhu, Bhikkhuni, Ubasok dan Ubasika belum subur, belum kuat, dan Dhamma-vinai (agama Buddha) belum tersebar meluas, Baginda sama sekali tidak akan parinibbana. 

Sekarang, kata Phaya Marn, Borisat 4 sudah subur, sudah kuat dan Dhamma-vinai pun sudah tersebar meluas, maka segeralah Baginda parinibbana. 

Akhirnya Buddha bersetuju memenuhi permohonan Phya Marn. Buddha nasihati Phaya Marn supaya jangan susah hati kerana tidak lama lagi Baginda akan parinibbana, iaitu dalam tempoh 3 bulan dari sekarang. Phaya Marn sangat sukacita mendengar pengakuan Buddha, dan kemudian segera beredar dari situ. 

Prong ayu sangkharn berlaku di Paval Chedi. Menurut kitab, dikisahkan bahawa sewaktu Buddha melakukan prong ayu sangkharn (berkenan untuk parinibbana), bumi bergegar dengan kuat dan gendang ajaib pun bergema ke seluruh cakerawala.

Phra Anon terkejut dan berasa hairan dengan kejadian gegaran bumi lalu meninggalkan pokok dan masuk menghadap Buddha.  Buddha memberitahu Baginda telah melakukan prong ayu sangkharn dan 3 bulan dari sekarang akan parinibbana. Inilah puncanya berlaku gegaran bumi.

Phra Anon memohon agar Buddha boleh hidup lebih lama sehingga 1 kappa untuk mengajar umat manusia. Buddha menolaknya. Buddha berkata kepada Phra Anon jikalau sudah tahu Buddha boleh hidup selama 1 kappa, kenapa tidak memohon sebelum ini walaupun Buddha pernah memberi khutbah olarikanimit sebanyak 16 kali. Sekarang Phaya Marn sudah memohon dan Baginda sudah bersetuju. Mustahil Buddha akan bertukar fikiran. 

Di Paval Chedi, sebelum Phya Marn datang, Buddha memberi khutbah olarikanimit kepada Phra Anon. Buddha memberitahu Phra Anon bahawa individu yang sempurna dalam Ittibat Pavana (Iddhi-pada) mampu hidup sehingga 1 kappa atau 120 tahun atau lebih lama. Buddha memberikan khutbah olarikanimit bukan kerana sayang kepada nyawa atau takut kepada mati, namun kerana mahu mengajar umat manusia yang masih ramai belum mengenali dhamma vinai. Walaupun sebanyak 3 kali Buddha memberikan khutbah olarikanimit, namun Phra Anon tetap diam dan tidak memohon agar Buddha hidup lebih lama. Apabila melihat Phra Anon berdiam diri, Buddha mengarahkan beliau pergi berehat kerana keletihan. Baginda sendiri pun ingin berehat. Phra Anon pergi berehat di bawah pokok tidak jauh dari tempat Buddha berehat. Ketika itulah Phya Marn datang menghadap mohon Baginda parinibbana.


Sebelum parinibbana, Buddha memberi khutbah, antaranya ialah:


1. Cara memuja Baginda dengan betul ialah dengan mengamalkan dhamma Baginda dengan betul.


2. Penganut yang ingin "menghadap" Baginda boleh pergi ke "Sangvetniyasathan" (tempat lahir, tempat  Trassaru, tempat menyampaikan khutbah pertama dan tempat parinibbana.)


3. Apabila berhadapan dengan wanita,  Bhikkhu mesti mengawal Sati dan tidak mengikut hawa nafsu.


4. Menguruskan Saririkatat (mayat) Baginda ialah urusan kerajaan, bukan urusan Sangha.


5. Perpisahan merupakan perkara biasa bagi dunia.


6. Dhamma dan Vinai ialah pengganti Baginda. (Individu tidak boleh jadi pengganti Baginda kerana individu tidak kekal, sedangkan Dhamma dan Vinai ialah kebenaran yang kekal.) 


Dalam khutbah terakhir, Buddha berpesan: "O, Bhikkhu, kita mahu beritahu awak semua bahawa segala sangkhara (sangkharn) akan musnah dan hancur adalah perkara biasa. Awak semua mesti membuat faedah untuk diri sendiri dan untuk orang lain sehingga sempurna  dengan tekun dan sepenuh hati."


Pesanan terakhir ini amat penting untuk dihayati oleh penganut agama Buddha semua. 


Buddha parinibbana di bawah pokok Sala di Negeri Kusinara ketika usia 80 tahun setelah 45 tahun menyebarkan Dhamma. 














7 comments:

Anonymous said...

Bila mengingati hari parinibba buddha,makna kita pun tidak berkekalan.Entah esok lusa pergi juga.Sebelum itu marilah bersatu membuat perkara yang baik-baik.

pena reformasi said...

Orang yang berjaya prong sangkharn tidak akan melengahkan masa untuk membuat kebaikan. Hanya kebaikan yang boleh dibawa ke dunia selepas mati.

Anonymous said...

Terima kasih tn. pena
Kita patut buat kebaikan untuk semua orang. Tn. pena pun banyak bagi sumbangan untuk kebaikan kaum siam. Saya pun ada baca komen pembaca dari Jitra, beliau juga ada berpesan supaya kita berbuat kebaikan. Beliau ada beritahu kita tentang ukuran kekayaan iaitu mencukupi dan tidak tamak. Beliau juga beritahu bahawa dunia tidak kekal,harta didunia tidak boleh dibawa pergi bila kita mati. Beliau mahu lihat orang Siam bersatupadu dan berbaik antara satu sama lain. Ambil pesanan yang baik, yang tidak baik jadikan sempadan.

PRACHACHON.

Anonymous said...

SAWADI TUAN PENA

ya memang betul setiap detik dan saat kita harus buat perkara yg baik-baik, moga satu ketika kita dpt menghembuskan nafas dgn tenang tanpa memikirkan apa-apa yg boleh menyusahkan fizikal dan spiritual


SADHU SADHU

Ban Nook Ook

pena reformasi said...

Ada seorang achan vipassana (saya terlupa namanya)mengajar perkara yang salah kpd Achan Cha. Pada malamnya achan itu turun bukit datang cari Achan Cha untuk membetulkan kesilapannya. Achan Cha bertanya kenapa achan yang sudah tua bersusah payah turun bukit hanya mahu memperbetulkan kesilapan yang kecil? Kenapa tak tunggu esok pagi? Achan menjawab, setiap kesalahan/kesilapan apabila kita sedar, kita mesti segera perbetulkannya kerana kita tak tahu bila kita akan mati. Jikalau achan mati malam ini dan tak sempat perbetulkan kesilapan, Achan Cha akan mengamalkan perkara yang salah seumur hidup. Inilah antara sebab kenapa Achan Cha sangat menghormati achan ini.

Anonymous said...

Betul sekali Tuan Pena, setiap kesilapan mesti segera dibaiki dan dibetulkan. Orang yang berbudi pekerti mulia berani mengaku kesilapan. Orang keji menutup kesilapan.

Dhamma Tuan Pena ada kelas. Teruskan sumbangan mulia ini Tuan demi orang Siam kita.

Sathuk! sathuk! sathuk!

Anonymous said...

kebaikan dan kejahatan akan dibawa selepas mati.cuma,khasiatnya tidak sama.